Sabtu, November 03, 2012

Isu Selangor : 40 keluarga tagih 'sokongan' Anwar, Azmin dan Nurul untuk selamatkan kediaman mereka?



Hampir 40 buah keluarga di Kampung Sepakat Jaya, Batu Caves dekat sini menarik nafas lega apabila Pejabat Tanah Daerah Gombak (PTDG) menangguhkan kerja-kerja merobohkan rumah 'setinggan' mereka yang dijadualkan semalam.

Biarpun operasi meroboh itu ditangguh, penduduk pada mulanya gusar dengan kehadiran jentolak yang akan digunakan untuk merobohkan rumah mereka serta anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Namun, setelah rundingan hampir dua jam dilakukan antara wakil penduduk dan wakil PTDG, operasi tersebut ditangguhkan pada pukul 12 tengahari sebelum kesemuanya bersurai. Wakil penduduk, Ibrahim Ahmad, 60 berkata, mereka pernah melakukan permohonan secara berkelompok pada 2007 kepada PTDG untuk meneroka kawasan itu bagi membina penempatan.

Namun, ujarnya, permohonan tersebut ditolak sebelum mereka bertindak meneruskan pembinaan rumah pada 2009 setelah mendapat 'sokongan' daripada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Nurul Izzah Anwar.

"Ketika ini sudah 27 daripada 40 keluarga membina rumah di kawasan seluas 1.2 hektar ini, tetapi baru-baru ini penduduk menerima notis daripada PTDG agar mengosongkan kawasan ini dalam tempoh lima hari.

"Alasan mereka adalah kami menceroboh tanah kerajaan, tetapi penduduk juga telah membayar cukai tanah kepada PTDG berjumlah RM46,000 sejak tahun lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ibrahim Ahmad (tiga dari kanan) dan beberapa wakil penduduk lain berbincang dengan seorang pegawai dari PTDG (berbaju putih bertopi) mengenai operasi merobohkan rumah di Kampung Sepakat Jaya, Batu Caves, Selangor semalam.

Difahamkan, kawasan tersebut telah dirancang untuk dijadikan kawasan Kompleks Pelancongan Gua Damai yang telah digazetkan oleh kerajaan PKR Selangor.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Bakar, 63 berkata, rumah yang baru dibinanya di kawasan itu menelan kos sehingga RM120,000 selepas permohonan untuk tinggal di perumahan kos rendah di Selayang Mulia tidak diluluskan beberapa tahun lalu.

"Semua wang simpanan saya dan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digunakan untuk membina rumah ini serta sedikit bantuan pemberian anak-anak, sekiranya dirobohkan di mana lagi kami mahu tinggal," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, sokongan Anwar, Azmin dan Nurul Izzah itu menimbulkan keraguan banyak pihak kerana ia bercanggah dengan tindakan PTDG yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Saya melihat perkara ini seperti ada yang tidak kena. Jadi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu bertanggungjawab kerana PTDG hanya akan bertindak mengikut arahan (kerajaan negeri)," katanya ketika hadir bagi menyatakan sokongan kepada penduduk terlibat.

Pegawai Daerah - Tanah bukan milik kerajaan negeri

Tanah di Kampung Sepakat Jaya, Batu Caves yang diceroboh penduduk adalah tanah yang digazetkan sebagai rizab Batu Caves sejak 1930 dan bukannya milik kerajaan negeri.

Pegawai Daerah Pejabat Tanah Daerah Gombak (PTDG), Nor Hisham Dahlan berkata, surat sokongan pemimpin boleh dipertimbangkan sekiranya tanah yang terlibat milik kerajaan negeri.


"Namun, dalam hal ini tanah tersebut telah digazetkan dan tidak boleh dikeluarkan geran. Penduduk pernah diberi penerangan tahun lalu dan diminta menghentikan projek yang baru bermula itu.

"Kami menerima permohonan pada 2007 dan ditolak setahun kemudian, tetapi surat sokongan pemimpin dijadikan alasan untuk mereka meneruskan pembinaan rumah di situ," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, penceroboh yang ingkar dengan arahan itu boleh didakwa mengikut Notis 425, Akta Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan denda RM10,000 atau setahun penjara.

Mengulas mengenai cukai tanah yang didakwa telah dibayar oleh penduduk, Nor Hisham berkata, bayaran itu berkemungkinan caj terhadap borang permohonan tanah yang telah dibuat.

"Kami tidak menerima sebarang premium setakat ini dan kami juga tiada cadangan untuk membayar pampasan kepada penduduk memandangkan tanah tersebut diceroboh," katanya.

Ujar beliau, arahan penangguhan kerja-kerja meroboh akan berkuat kuasa sehingga tempoh yang akan ditetapkan dan pihaknya akan mengadakan satu lagi pertemuan untuk mencari penyelesaian.

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

  1. "PR boleh ambil tanah kami tapi PR tak akan dapat undi kami..."

    hehehe luahan seorang penyokong tegar Anwar yang sudah insaf...Alhamdulillah

    BalasPadam