Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Ahad, November 04, 2012
Isu Selangor : 200 peniaga di Kompleks PKNS Shah Alam resah, MB Khalid buat tak kesah?
Rancangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk memindah hak milik aset-aset komersialnya menimbulkan keresahan kira-kira 200 peniaga bumiputera di Kompleks PKNS Shah Alam di sini.
Keadaan itu berikutan para peniaga tersebut sehingga kini tidak dapat menyambung kontrak penyewaan premis perniagaan di kompleks tersebut dan nasib mereka masih menjadi tanda tanya sekiranya pengurusan baharu dilantik selepas pemindahan aset berkenaan dilaksanakan.
Pengerusi Persatuan Peniaga Kompleks PKNS Shah Alam, Amran Yahya berkata, ketika ini kesemua peniaga bimbang akan diberi kata dua oleh pihak pengurusan mengenai terma-terma penyewaan baharu memandangkan setiap perbincangan melibatkan sewa, pengurusan baru kompleks tersebut dibuat tanpa pengetahuan persatuan.
Beliau berkata, memandangkan kontrak yang tidak disambung, majoriti peniaga di kompleks tersebut menyewa mengikut bayaran secara bulanan sejak Januari lalu dan nasib mereka juga tidak terjamin seandai berlaku pertukaran pengurusan.
Sekarang ini 200 peniaga tersebut bila-bila masa sahaja boleh diusir memandangkan kontrak mereka mengikut bulan dan terpaksa menerima hakikat sekiranya diberi kata dua - terima atau tidak syarat-syarat yang dikenakan oleh pihak pengurusan pada masa depan.
Kadar sewa di PKNS Shah Alam ketika ini ialah dari RM750 hingga RM10,000 mengikut keluasan. Sewa yang tinggi juga akan membebankan peniaga memandangkan ketika ini pelanggan agak berkurangan ekoran tiada promosi meluas oleh PKNS untuk memajukan aset mereka," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan situasi sebenar yang dialami oleh para peniaga bumiputera di Kompleks PKNS Shah Alam.
Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar mencabar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tampil memberi penjelasan penuh berhubung dakwaan Lembaga Pengarah Perbadanan PKNS meluluskan penjualan lima aset milik anak syarikat kerajaan negeri itu berjumlah RM321 juta.
Lima aset tersebut ialah Menara PKNS Petaling Jaya dengan harga RM90 juta; Shah Alam Mall (RM97 juta); Kompleks PKNS Shah Alam (RM85 juta); Kompleks PKNS Bangi (RM42 juta) dan Wisma Yakin (RM7 juta).
Difahamkan proses penjualan aset itu belum dimuktamadkan kerana surat perjanjian penjualan itu masih belum ditandatangani tetapi berada pada peringkat akhir kerana secara asasnya Lembaga Pengarah PKNS telah bersetuju untuk menjualnya.
Mengulas penjualan aset PKNS, Amran berkata, PKNS perlu membuat penjelasan secara terperinci kepada para peniaga kerana kebanyakan mereka bimbang dengan keadaan semasa tempat mereka mencari rezeki yang kebanyakannya sudah beroperasi lebih 30 tahun.
Selain itu katanya, sebagai salah sebuah kompleks perniagaan contoh yang membangunkan ekonomi peniaga Melayu, PKNS seharusnya mempertahankan aset-asetnya daripada diambil alih atau dijual kepada syarikat-syarikat yang belum pasti terjamin masa depannya.
Jika pertukaran pengurusan berlaku, perkara itu sememangnya akan menyulitkan para peniaga yang beroperasi di sini terutamanya mengenai sewa premis dan juga krisis pengurusan pada masa depan," katanya.
Sementara itu, katanya, Abdul Khalid juga perlu memainkan peranan untuk memberikan kenyataan rasmi berkenaan isu-isu melibatkan aset PKNS kerana perbadanan itu merupakan anak syarikat kerajaan negeri.
Dalam pada itu, katanya, ahli-ahli Persatuan Peniaga Kompleks PKNS Shah Alam bersedia bergabung dengan empat lagi persatuan di Menara PKNS Petaling Jaya, Shah Alam Mall, Kompleks PKNS Bangi, Wisma Yakin bagi menentang pengambilalihan atau penjualan aset-aset milik PKNS.
Suara Politik
Taminsari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan