Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Rabu, Julai 04, 2012
NGO desak 'pembersihan' Unisel daripada politik!
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili rakyat negeri ini mendesak kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor agar memecat ahli lembaga pengarah Universiti Selangor (Unisel) yang mempunyai kaitan dengan parti politik.
Tuntutan itu dikemukakan oleh Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) dan Majlis Belia Selangor (MBS) yang menyifatkan penglibatan orang politik dalam pentadbiran Unisel merupakan tindakan yang dibimbangi akan wujud penyalahgunaan institusi pengajian tinggi itu untuk kepentingan politik.
Pengerusi GAPS, Hamidzun Khairuddin berkata, penglibatan ahli politik dalam pengurusan Unisel khususnya sebagai ahli lembaga pengarah sebenarnya tidak membawa apa-apa manfaat kepada usaha membangunkan universiti itu sebagai pusat pengajian tinggi utama di Selangor.
Ini kerana, katanya, pelantikan golongan itu sudah tentunya akan mencetuskan pertikaian dari aspek profesionalisme kerana ia dibimbangi akan mempengaruhi keputusan universiti itu yang mengutamakan politik semata-mata berbanding usaha melahirkan modal insan.
Menurutnya, Unisel diwujudkan oleh pentadbiran negeri sebelum ini (Barisan Nasional) bagi memberi ruang rakyat untuk mendapat peluang pendidikan tinggi selaras dengan usaha melahirkan lebih ramai generasi berilmu untuk kemajuan negara pada masa depan.
''Malangnya Unisel kini dicemari dengan unsur politik dan perkembangan itu bukanlah satu perkara yang sihat khususnya kepada pelajarnya.
''Mempolitikkan institusi berkenaan bukanlah caranya, jadi kita tuntut agar kerajaan negeri melaksanakan pembersihan pengurusan Unisel daripada pengaruh politik," katanya di sini hari ini.
Hamidzun mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar semalam bahawa Unisel mungkin akan menjadi projek gajah putih ekoran terlalu banyak campur tangan politik setelah kerajaan PKR Selangor mengambil alih pusat pengajian tinggi milik kerajaan negeri itu.
Antara pemimpin parti politik yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Unisel ialah Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin; Ahli Parlimen Merbok dari PKR, Datuk Rashid Din dan Ahli Parlimen Hulu Langat dari Pas, Che Rosli Che Mat.
Sementara itu, Timbalan Presiden MBS, Badrul Hisham Badruldin berkata, pihaknya mempertikaikan kewajaran kerajaan negeri melantik tiga individu berkenaan termasuk Faekah yang sebelum ini terpalit dakwaan penyalahgunaan kepala surat Pejabat Menteri Besar.
Beliau berkata, sepatutnya Unisel melantik mereka yang layak sebagai ahli lembaga pengarah terdiri daripada mereka yang bebas, profesional serta berpengalaman dalam urus tadbir seperti bekas pengawai kerajaan, ahli akademik atau tokoh korporat yang berjaya.
''Namun, apabila dilantik orang politik dalam pengurusan tertinggi Unisel, ia seolah-olah satu bentuk 'campur tangan politik' yang diamalkan oleh kerajaan negeri pada hari ini. Begitu juga dengan pelantikan Faekah, apa kewajarannya, kalau sebagai wakil Menteri Besar, bukankah Abdul Khalid sendiri adalah Pengerusi Lembaga Pengarah Unisel,'' ujarnya.
Katanya, begitu juga dengan pelantikan Ahli Parlimen Merbok (Datuk Rashid Din) yang bukannya mewakili rakyat Selangor sedangkan Unisel adalah universiti milik kerajaan negeri.
''Kalau begini keadaannya, ia menunjukkan seolah-olah pelantikan ahli lembaga pengarah Unisel itu berunsurkan politik," kata beliau.-UMO
Suara Politik
Taminsari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan