Khamis, Julai 05, 2012

Apa Motif Sebenar 'Tawaran' Pas?



Adalah sesuatu yang melucukan apabila Pas cuba menyeret UMNO dalam isu pahala apabila mengundi sesuatu parti.

Ia jelas apabila Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd.Amar Nik Abdullah mencabar UMNO membuat kenyataan mengundi parti itu atau Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan dikira sebagai amal soleh dan mendapat pahala sama seperti yang dinyatakan Pas kepada penyokongnya.

Sebagai orang kepercayaan kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan disebut-sebut sebagai Menteri Besar Kelantan, Mohd.Amar mungkin ingin menunjukkan kewibawaan beliau membela 'bosnya' apabila menyatakan sesiapa yang menganggap kenyataan Nik Abdul Aziz 'Undi Pas dapat pahala' sebagai ajaran songsang adalah kerana UMNO kurang dalam ilmu agama.

Baguslah, sebagai seorang bertaraf ulama, Mohd.Amar begitu mudah menuduh pihak lain kurang agama semata-mata hanya membuat kenyataan yang tidak menyebelahi Pas.

Tetapi tidak apalah itu hujah beliau, maklumlah sebagai individu yang dilihat pemimpin masa depan Pas Kelantan, Mohd.Amar juga ingin menampilkan diri sebagai seorang yang mampu berlawan hujah dengan UMNO.

Namun begitu satu perkara yang diperingatkan ialah sejauh manakah Pas begitu yakin bahawa mengundi parti itu mendapat pahala. Sebagai hamba Allah kita tidak berhak untuk begitu yakin bahawa sesuatu kebaikan yang kita lakukan itu mendapat pahala, biarlah soal mendapat pahala atau tidak itu urusan Allah. Kita hanya berdoa agar segala perbuataan baik kita dicatatkan sebagai satu ibadat.

Tetapi Pas nampaknya awal-awal lagi sudah berani menyatakan siapa yang mengundi parti itu mendapat pahala. Persoalannya, apakah ia bermaksud orang yang tidak mengundi Pas tidak mendapat pahala? Bagaimana pula kalau kita mengundi sebuah parti yang kita tahu tidak berupaya melakukan apa-apa jika diberi tanggungjawab atau dalam kata mudahnya memberikan amanah kepada orang yang tidak selayaknya.

Sejarah politik negara sudah membuktikan sejauh manakah kemampuan Pas untuk melaksanakan pentadbiran apabila diberi amanah. Contohnya di Kelantan, tidak apalah kalau Pas hendak mendakwa ramai yang mendapat pahala kerana terus setia bersama parti itu tetapi persoalannya apakah perkembangan Islam di negeri itu lebih baik berbanding apa yang dilakukan oleh UMNO di peringkat pusat.

Tidak gugurkah pahala-pahala mereka yang mengundi Pas di Kelantan apabila kesudahannya mereka dilihat memilih pihak yang tidak berupaya mentadbir, bukankah Rasulullah SAW sudah mengingatkan kita agar menyerahkan amanah kepada orang yang selayaknya.

Oleh itu tidak payahlah Pas hendak begitu bangga dengan menguar-uarkan mengundi parti itu mendapat pahala hanya kerana semata-mata parti tersebut masih bermimpi mereka memperjuangkan Islam.

Pemimpin-pemimpin Pas yang terus bercakap dosa dan pahala ini mungkin masih dibuai mimpi indah bahawa mereka adalah gerakan Islam tetapi hakikatnya mereka tidak ubah seperti 'pak turut' sahaja dalam pakatan pembangkang yang turut dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Pas sudah lama menguburkan impian menubuhkan negara Islamnya dan kini menumpu pula kepada negara berkebajikan yang belum tentu akan dapat diterima sepenuhnya oleh rakan-rakan sekutunya.

Berbanding dengan Pas, UMNO jauh lebih baik dalam soal memperjuang dan memartabatkan Islam tetapi UMNO tidak pernah menguar-uarkan kepada umat Islam kalau undi parti itu mendapat pahala.

Sebaliknya apa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO ialah terus melakukan tindakan bagi memartabatkan Islam di negara ini dan menggesa umat Islam supaya sentiasa berusaha mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Tetapi sesetengah ulama-ulama Pas hebat kerana berupaya menentukan bahawa kalau undi Pas dapat pahala.

Hakikatnya, dalam senario politik sekarang 'undi Pas dapat pahala' adalah modal terakhir Pas untuk menarik perhatian orang Melayu untuk mengundi parti itu. Bagi mereka yang taksub menyokong Pas, maka mereka akan percaya semua hujah itu tetapi bagi mereka yang mahu berfikir panjang 'tawaran' Pas itu hanyalah bermotif politik semata-mata.

Ia kerana ramai semakin memahami sejauh manakah keupayaan Pas untuk menegakkan Islam di negara ini.

Pas bukannya tidak diberi peluang untuk membuktikan kewibawaan mereka, rakyat sudah pun memberi peluang terutamanya di Kelantan dan terbaru di Kedah. Tetapi lihatlah apa yang berlaku di negeri-negeri berkenaan, apakah perkembangan Islam benar-benar berada di puncak atau sekadar menjadi slogan dan retorik politik semata-mata.

Justeru Pas sepatutnya bermuhasabah dan tidak lagi mengula-gulakan isu pahala dalam meraih sokongan politik. Adalah lebih baik jika Pas menumpukan perhatian untuk memperkukuhkan parti itu sebagai gerakan Islam yang sebenarnya. Kajilah semula asas perjuangan parti itu, apakah perjuangan Pas sekarang sama seperti mana ia mula-mula ditubuhkan?

Dianggotai oleh ramai ulama, bercakap berdegar-degar soal Islam dan bijak berhujah menggunakan ayat al-Quran dan hadis bukanlah jaminan bahawa Islam akan mampu diperkembangkan oleh sesebuah organisasi. Apa yang lebih penting ialah tindakan dan inilah yang dilakukan oleh UMNO yang menjadi tunjang BN sejak dahulu lagi.

UMNO tidak pernah bercakap soal mengundi parti itu mendapat pahala tetapi sebaliknya UMNO melalui kepimpinannya mengatur pelbagai program dan tindakan bagi meningkatkan syiar Islam di negara ini.

Pas boleh sahaja menuduh pihak yang mempertikaikan 'tawaran pahala' mereka sebagai kelompok yang kurang agama tetapi agama Islam juga tidak suka kepada mereka berjanji tetapi tidak mengotakannya dan sanggup mengubah prinsip semata-mata demi memburu kuasa politik.

Pas tidak boleh menafikan hakikat itu kerana inilah sikap Pas sejak berkawan dengan PKR dan DAP apatah lagi Pas sendiri tidak boleh memberi jaminan sejauh manakah perjuangan Islam mereka mampu ditegakkan apabila pakatan pembangkang memerintah negara ini.

Justeru adalah lebih baik jika Pas berhenti sahaja bercakap soal pahala ini kerana kita bimbang ia akhirnya hanya akan menguntung pihak lain kerana hakikatnya mengundi Pas belum tentu mampu memartabatkan Islam kerana Pas hanyalah 'pak turut' bukannya dominan dalam pakatan pembangkang.

Zulkifli Bakar

Suara Politik
Taminsari

3 ulasan:

  1. Dosa dan Pahala adalah rahsia Allah. Adakah PAS tahu bila ALLAH bagi Pahala dan bila ALLAH bagi DOSA. Satu soalan aku kepada orang PAS, "Bagaimana rupa PAHALA?"

    BalasPadam
  2. Mungkinkah ini jawapannya:

    http://www.youtube.com/watch?v=XMvkU9Cmk5g

    BalasPadam
  3. Habat pas ni,mereka mampu menentukan sendiri soal dosa dan pahala,setahu saya kita disuruh melakukan kebaikkan manakala soal dosa dan pahala adalah hal Allah dan adakah selama ini tiada satu pun kebaikkan yang dilakukan oleh umno???

    BalasPadam