Rabu, Mei 16, 2012

Anwar sekali lagi cuba gunakan UMNO sebagai ‘batu loncatan’ untuk jadi PM!



Rahsia besar Anwar terbongkar lagi! Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor secara terbuka mengakui sanggup bersumpah bahawa Anwar Ibrahim pernah merayu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi agar membawanya masuk ke dalam UMNO semula.

Ahli Dewan Negara tersebut berkata, perkara itu berlaku seminggu sebelum Abdullah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Katanya, tindakan mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri tersebut adalah usaha terakhirnya untuk menggagalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada terus memegang tampuk kerajaan di negara ini.

"Saya ada bukti kukuh untuk kejadian ini. Tujuan Anwar hanya satu iaitu mahu Pak Lah tidak letak jawatan dan membawanya masuk ke dalam UMNO dan kemudian beliau akan menyusun strategi bagi menyingkirkan Datuk Seri Najib.

"Kenapa beliau lakukan ini? Kerana Anwar tahu Perdana Menteri kita cerdik, cekap dan antara pemimpin UMNO yang tahu perilaku buruk dan terkutuknya sewaktu dalam kerajaan," katanya.

Beliau berucap pada ceramah kedua Sumpah Keramat Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) 2012 Peringkat Parlimen Gombak di sini malam semalam.



Mohamad Ezam juga mendedahkan, Anwar dalam mencapai cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri, pernah membawa seorang rakan ulama Abdullah dari Surabaya, Indonesia bagi memujuk bekas Perdana Menteri itu meletakkannya di peringkat tertinggi dalam UMNO.

"Saya juga yang membawa Anwar pergi ke pesantren di Surabaya itu untuk memujuk kiai atau ulama berkenaan datang ke Malaysia iaitu di Seri Perdana yang ketika itu kediaman Pak Lah.

"Anwar memujuk kiai itu agar berbohong kepada Pak Lah kononnya telah mendapat satu mimpi mengatakan Anwar paling layak menjadi pengganti Pak Lah, tetapi dengan izin Tuhan, Pak Lah tidak berkesempatan berjumpa kiai terbabit," katanya.

Mohamad Ezam berkata, Ketua Pembangkang itu sanggup melakukan apa sahaja asalkan beliau dapat memerintah Malaysia dan memuaskan nafsu serakahnya dalam banyak perkara.

Menurutnya, Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri pernah menyifatkan Najib yang sewaktu itu Exco Pemuda UMNO sebagai individu paling berpotensi menerajui negara kerana kepandaian dan kecerdikan yang ada padanya.

"Justeru, tidak hairanlah kenapa Anwar begitu drastik melakukan pembohongan demi pembohongan untuk menjatuhkan Perdana Menteri kerana beliau terlalu takut dengan individu yang bernama Najib," katanya.


Dalam pada itu Mohamad Ezam juga berkata, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga merupakan saksi utama dalam isu rayuan Anwar Ibrahim untuk menyertai UMNO semula melalui bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Mohamad Ezam berkata, isteri kepada Penasihat PKR itu telah pergi bertemu sendiri Abdullah di pejabat Perdana Menteri suatu ketika dahulu bagi menyatakan hasrat yang sama.

''Saya yang membawa Wan Azizah dan tiga anaknya 'panjat' pejabat Perdana Menteri itu. Kejadian itu ketika Anwar masih di dalam penjara dan pada waktu itu juga Abdullah baru menjadi Perdana Menteri.

''Wan Azizah ketika itu merayu sampai menitiskan air mata. Anda boleh tanya Wan Azizah perkara ini betul atau tidak, kalau dia kata bohong, saya sanggup sumpah di mana-mana sahaja masjid atau surau,'' katanya.

Mohamad Ezam memberitahu, apa yang didedahkan olehnya itu adalah 'kisah mengenai siapa itu Anwar' kepada umum supaya rakyat mengenali bahawa Ketua Pembangkang tersebut tidak mempunyai prinsip dalam hidupnya.

Kata beliau, Anwar sanggup melakukan perkara seperti itu kerana tidak mahu Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri di negara ini ekoran bimbang niat jahatnya diketahui umum.

''Anwar itu pernah bekerja dengan Najib, dia tahu macam mana Perdana Menteri bekerja, dia tahu kemampuan pemimpin kita ini. Mana nak dapat seorang Perdana Menteri hanya dalam tempoh tiga tahun mampu melakukan pelbagai transformasi untuk rakyat dan negara,'' katanya.-UMO

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan