Rabu, April 11, 2012

Tuanku Abdul Halim selamat ditabal Yang di-Pertuan Agong Ke-14!


Dengan sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara, Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah, 84, selamat ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 dalam satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu, di Istana Negara, di sini hari ini.

Sebaik selesai kemuncak Istiadat Pertabalan itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu “Perang” bergema di Balairong Seri, dan para hadirin berdiri dan melaungkan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali, diketuai oleh pemangku Datuk Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini.

Serentak itu juga, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu

“Negaraku” dimainkan oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, diketuai Left. Sabri Abdullah.

Istiadat Pertabalan yang berlangsung penuh berwarna-warni itu disaksikan kira-kira 900 orang tetamu termasuk Raja-raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-raja Melayu, Gabenor-Gabenor, Yang Di-Pertua, Yang Di-Pertua Negeri, Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan isteri masing-masing.

Turut menyaksikan acara gemilang itu ialah tetamu-tetamu kehormat yang terdiri dari ketua-ketua diplomat asing dan ketua-ketua jabatan kerajaan lainnya.

Ikrar Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong

Berikut adalah ikrar Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Balairong Seri, Istana Negara hari ini.

“BISMILLAHIRRAHMANNIRAHIM, BETA ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH BERSYUKUR KE HADRAT ALLAH SUBAHANAHU WATA'ALA KERANA DENGAN IZINNYA BETA TELAH DIPILIH MENJADI YANG DI-PERTUAN AGONG.

DENGAN INI, BETA AKAN MENJALANKAN SEADIL-ADILNYA PEMERINTAHAN BAGI MALAYSIA MENGIKUT UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN NEGARA, SERTA MEMELIHARA DENGAN SEMPURNANYA SETIAP MASA, AGAMA ISLAM, DAN BERDIRI TEGUH DI ATAS PEMERINTAHAN YANG ADIL DAN AMAN DALAM NEGARA.”

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat perisytiharan bahawa Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah dipilih oleh Raja-raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Najib melafazkan: “BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM BAHAWA INILAH DIMASYHURKAN KEPADA SEKALIAN ORANG SERTA PENDUDUK NEGARA MALAYSIA IAITU DULI YANG MAHA MULIA RAJA-RAJA TELAH MEMILIH ALMU'TASIMU BILLAHI MUHIBBUDDIN TUANKU ALHAJ ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN BADLISHAH, DAN PADA HARI, WAKTU DAN SAAT YANG GILANG GEMILANG INI, MAKA SERI PADUKA BAGINDA DITABALKAN NAIK TAKHTA KERAJAAN MENJADI TURUS NEGARA BAGI MALAYSIA DENGAN BERGELAR SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG.”

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan: