Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Selasa, April 03, 2012
Hasan bidas Dr Rani!
Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali membidas kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Rani Osman, yang mendakwa isu video murtad tidak penting berbanding isu pengundi hantu.
Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor menyifatkan kenyataan itu membuktikan Dr Rani ketua parasit di Selangor kerana memandang rendah gejala murtad yang semakin meruncing. Menurutnya, ahli Pas perlu tahu sifat pemimpin dipilih dan beliau menggesa pemimpin itu perlu disingkirkan dari barisan pimpinan Pas.
“Cuba bayangkan isu pengundi hantu dibandingkan masalah orang masuk Kristian, inilah contohnya ketua parasit dalam Pas di Selangor.
“Saya harap Dr Rani kembali kepada sensitiviti dan akal beliau, kembali kepada perkara pokok dalam Pas iaitu sebagai parti akidah, syariah dan akhlak bertunjang Islam,” katanya.
Hasan berkata demikian mengulas kenyataan Dr Rani bahawa tayangan video murtad tidak penting berbanding isu pengundi hantu dan ahli Pas tidak perlu mengikuti pendedahan tersebut.
Beliau turut mempersoalkan mengapa Dr Rani tidak memikirkan kepentingan mengembalikan akidah orang yang murtad dan menganggap perkara itu lebih utama berbanding isu lain. Kelmarin, Pas Selangor memberitahu pihaknya tidak menggalakkan ahli Pas mengikuti pendedahan video murtad oleh Hasan.
Sementara itu dalam sidang akhbar semalam juga Hasan Ali mendedahkan pengakuan seorang murtad yang menemui hingga 400 orang Melayu yang telah murtad!
" Tiga ratus hingga 400 orang Melayu yang saya temui sendiri telah murtad”, begitulah pengakuan salah seorang dari dua individu yang didakwa terbabit dalam gerakan memurtadkan umat Islam di Malaysia.
Ramli Abdullah (bukan nama sebenar), 47, turut memberitahu bahawa beliau pada asalnya didekati kumpulan mubaligh Kristian yang menawarkan pekerjaan, tempat tinggal dan juga makan minum.
Menurutnya, beliau memeluk agama Kristian kerana daya tarikan kumpulan mubaligh terbabit yang sentiasa ambil berat tentang keperluan asas kehidupannya.
"Sepanjang saya mengikuti kegiatan mereka, kumpulan ini mempunyai 20 hingga 30 orang Melayu yang telah bekerja untuk mereka.
"Manakala selebihnya adalah warga asing yang kebanyakkannya warga Korea yang fasih berbahasa Melayu," katanya dalam satu rakaman video yang didedahkan oleh Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, semalam.
Katanya, penglibatan dalam gerakan memurtadkan orang Islam ini bermula pada 2004 setelah kembali dari dihantar belajar oleh kumpulan terbabit di Singapura.
"Dalam gerakan ini tugas saya adalah untuk mendekati orang Melayu yang dikenal pasti berpotensi untuk dimurtadkan," katanya.
Ramli berkata, upacara pembaptisan yang dilaluinya diadakan di sebuah apartmen di satu lokasi eksklusif di Kuala Lumpur. Menurutnya, oleh kerana dia orang Melayu, upacara berkenaan tidak boleh dijalankan di gereja dan mendakwa dia dimasukkan ke dalam satu kolam renang sebagai simbolik upacara.
"Upacara ini dilakukan bagi membersihkan diri dan menjadikan saya orang baru dan kemudian saya perlu lafazkan sesuatu untuk menjamin tempat saya di syurga," katanya.
Ramli memberitahu, kumpulan ini tidak secara terus memberi ganjaran kepadanya, sebaliknya mereka memberi imbuhan secara berperingkat seperti makan minum yang dijaga rapi sehinggalah diberi wang secara bulanan mencecah RM5,000.
Semalam, Hasan mendedahkan video yang didakwa menunjukkan gerakan kristianisasi ke atas orang Islam, seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Dua versi video, masing-masing sepanjang 42 minit dan 16 minit didedahkan kepada media dalam satu sidang media di kediaman bekas Exco Selangor itu di sini. Video berkenaan antara lainnya menunjukkan temu bual dengan sepasang suami isteri yang mendakwa pernah dikristiankan oleh sekumpulan mubaligh Australia.
Lelaki berkenaan, bersama isterinya, bagaimanapun mendakwa telah kembali kepada Islam pada akhir tahun lalu. Wajah kesemua individu yang ditemu bual dalam rakaman tersebut tidak ditunjukkan atas alasan keselamatan, kata Hasan dalam sidang medianya kemudian.
Wartawan juga tidak dibenarkan daripada merakam apa-apa bahagian daripada tayangan tersebut.
Suara Politik
Taminsari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan