Isnin, April 16, 2012

Desak hapuskan PTPTN untuk lupuskan hutang?


Dilihat pembangkang sudah terdesak cuba untuk mendapatkan sokongan golongan muda dengan janji memansuhkan PTPTN yang membuatkan peminjam tidak perlu menjelaskan pinjaman mereka.

Menghapuskan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sudah dipolitikkan dengan begitu dahsyat sehingga ke peringkat mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berundur atas alasan 'tidak mampu mencari duit'.

Malah ketika melakukan demo pada hari Sabtu baru-baru ini anak muda yang bergelar 'mahasiswa' ini sanggup dengan biadap menghina dengan mengalungkan bunga kematian keatas potret DS Najib!

Sejak dilaksanakan menerusi Akta 556, iaitu Akta PTPTN 1997, sejumlah RM 43 bilion sudah digunakan menampung perbelanjaan pinjaman pendidikan peringkat tertiari bagi rakyat. Jumlah perbelanjaan itu sebenarnya hanya bagi menampung keperluan membayar yuran dan bagi penuntut IPTA, ia adalah dalam lingkungan 10 peratus daripada keseluruhan kos pendidikan.


Sebanyak 90 peratus lagi kos ditanggung oleh kerajaan dalam bentuk penyediaan infrastruktur, emolumen dan pelbagai kelengkapan bagi menjadikan seseorang pelajar itu berilmu serta mampu mengubah kedudukan sosio-ekonominya.

Sebagai contoh, pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam jurusan perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hanya perlu membayar yuran pengajian sebanyak RM9,000 berbanding kos sebenar iaitu RM166,000. Ini bermakna pelajar hanya perlu membayar yuran pengajian sebanyak 5.2 peratus sahaja dan selebihnya iaitu 94.6 peratus ditanggung kerajaan.

Bagi jurusan kejuruteraan di UKM pelajar hanya perlu membayar yuran pengajian sebanyak RM5,600 berbanding kos sebenar iaitu RM61,200 dan ini bermakna mereka hanya perlu membayar 9.2 peratus sahaja manakala selebihnya ditanggung kerajaan.

Pada 1996, kerajaan meletakkan sasaran 40 peratus dari keseluruhan penduduk mestilah memperoleh pendidikan tertiari, sama ada di peringkat diploma ataupun ijazah. Kerajaan turut berusaha menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau.

Antara galakan yang dilakukan adalah meminda dan meluluskan pelbagai akta, termasuk membenarkan swasta, universiti luar negara dan usahawan menubuhkan institut pengajian tinggi, dengan memberikan pelawaan menubuhkan kolej universiti dan kemudiannya boleh dinaik taraf sebagai universiti penuh.

Bagaimanapun, galakan itu sebenarnya belum boleh merangsang pertumbuhannya jika tiada satu dana untuk membiayai kos pengajian. Peranan itu sebelumnya dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan agensi-agensi kerajaan, tetapi ia terhad kepada pembiayaan di universiti awam. Untuk menggalakkan pertumbuhan institusi pendidikan swasta, satu dana khusus dalam bentuk pinjaman disediakan menerusi PTPTN.


Jika PTPTN dihapuskan, bermakna lebih banyak kolej swasta akan berhadapan dengan masalah disebabkan kos pendidikan tinggi semakin meningkat. Kos yuran pengajian di peringkat diploma sudah mencecah RM20,000 dan ini akan menyebabkan lebih ramai rakyat negara ini tidak berpeluang, kerana mengharapkan kemasukan ke universiti awam, ia perlu bersaing sesama sendiri dan dengan lain-lain kaum.

Daripada perspektif pencapaian akademik, peratusannya masih tidak menunjukkan bumiputera mampu bersaing dengan bukan bumiputera. Ini kerana budaya mencari ilmu dalam kalangan bukan bumiputera jauh berbeza sama ada dari kesungguhan mahupun penggunaan masa. Bukan bumiputera menggunakan masa sebaik mungkin manakala lebih ramai bumiputera sanggup turun ke jalan raya melakukan demonstrasi.

Beberapa siri demonstrasi yang didalangi oleh parti pembangkang misalnya termasuklah pada hari Sabtu yang lepas, memperlihatkan pelajar Melayu lebih ramai berbanding bukan Melayu. Bagi pelajar bukan Melayu, daripada membuang masa menyertai demonstrasi adalah lebih baik berada di perpustakaan ataupun bersama rakan-rakan berbincang mengenai akademik.

Bukan Melayu sedar, kemiskinan keluarga dapat diubah menerusi penguasaan ilmu pengetahuan manakala pelajar Melayu lebih mengharapkan semuanya disediakan oleh kerajaan termasuk menyediakan peluang pekerjaan. Berdasarkan bilangan pelajar yang berjaya diubah status pinjaman PTPTN kepada biasiswa jelas membuktikan situasi tersebut.

Sejak melaksanakan dasar memberikan galakan kecemerlangan akademik, 11,764 orang dikecualikan bayaran balik pinjaman (berjumlah RM339 juta) kerana memperoleh ijazah kelas pertama.


Daripada jumlah itu, 8,818 orang ialah pelajar keturunan Cina, 2,347 orang keturunan Melayu, 456 orang keturunan India manakala 50 bumiputera Sabah, 34 bumiputera Sarawak dan 59 lain-lain keturunan.

Persoalannya, kenapakah pelajar Melayu hampir tiga kali lebih rendah diberikan pengecualian walaupun dari segi jumlah yang mendapat pinjaman berlipat kali ganda. Jawabnya, kerana cara belajar dan sikap pelajar Melayu yang tidak bersungguh-sungguh dalam membudayakan ilmu.

Pengetahuan pelajar Melayu dalam pengetahuan am dilihat mengecewakan. Ini berpunca daripada sikap yang kurang minat membaca dan mengamati perkembangan semasa, sebaliknya cenderung mempercayai nilai-nilai politik yang mirip kepada antiestablishment.

Mereka lebih mudah terpengaruh dengan isu-isu yang dikembangkan oleh pembangkang sehingga tidak mampu membuat analisis secara matang dan mencari kepastian atau kesahihannya.

Persoalannya kenapakah pelajar Melayu lebih mudah terpengaruh dengan politik pembangkang sehingga lebih mudah percaya bahawa pembangkang adalah betul. Mereka tidak dapat memahami bahawa strategi yang digunakan pembangkang itu sebenarnya untuk mengelirukan pemikiran agar tidak mempercayai dasar, program dan tindakan yang dilaksanakan kerajaan meskipun mereka turut merasai faedahnya.

Para mahasiswa sepatutnya mempersoalkan apakah tujuan pembangkang berusaha menggunakan mereka sebagai 'kuda Trojan' bagi mencapai hasrat politiknya. Inilah seharusnya diperjuangkan oleh mahasiswa untuk tidak dijadikan alat kerana dasar terbuka kerajaan telah memberikan mereka ruang untuk bersuara.


Kepercayaan bahawa kerajaan perlu menyediakan semuanya tanpa memerlukan penghargaan sewajarnya dari rakyat merupakan satu tindakan anarkisme yang sedang disuburkan oleh budaya politik pembangkang. Bayangkan, kalau seorang anak yang dididik dan dibela sejak kecil, apabila mempunyai sumber kewangan sendiri setelah tamat pendidikan tinggi melupakan orang tuanya atas pelbagai sebab, boleh dikatakan 'derhaka', maka keengganan membayar balik pinjaman setelah bersetuju melakukannya semasa membuat permohonan ia tetap merupakan dosa dari sudut agama.

Pelajar yang terlibat dalam demo mendesak agar menghapuskan PTPTN pada hari Sabtu lepas sebenarnya tidak memahami prinsip tanggungjawab dan nilai muamalah, untuk membantu memberikan peluang kepada orang lain. Jika PTPTN dihapuskan, bermakna jumlah mereka yang berupaya mendapat akses pendidikan tinggi semakin berkurangan dan seterusnya pertumbuhan kolej swasta terbantut.

Bayangkan apakah akan berlaku jika PTPTN tidak lagi menyalurkan sumber pembiayaan pelajar kepada UNISEL, KUIS, Kolej Insaniah dan kolej-kolej yang dimiliki oleh parti pembangkang, apakah mereka sanggup membiayainya? Jawabnya, kolej itu mungkin ditutup, maka pada saat itulah baharu mereka memahami berjanji sebenarnya lebih mudah, mencerca orang lain adalah lebih senang daripada mencari sumber untuk menaja para pelajar yang tidak mempunyai sumber kewangan untuk meneruskan pelajaran.

Para pelajar tidak perlu terikut-ikut dengan emosi marah, kerana emosi itulah akhirnya menyebabkan 'yang dikendung keciciran, yang dikejar lari bertempiaran', yang lebih untung ialah pelajar bukan Melayu kerana sebahagian besar keluarga mereka sudah menabung sejak anak-anak itu dilahirkan lagi.


Para pelajar Melayu lebih mengutamakan budaya memberontak dan berbahas kepada perkara yang tidak relevan dengan dunia ilmu pengetahuan, dan itulah yang dikritik oleh Imam al-Ghazali, tidak cuba menjadi seorang yang budiman ketika belajar dan tidak menghormati etika dalam menimba ilmu pengetahuan. Kekalutan untuk mencampuradukkan dengan nilai-nilai luaran itulah akhirnya menjadikan Islam tidak mampu mencipta tamadun yang lebih hebat.

Sebenarnya inilah yang hendak dikembangkan oleh pembangkang secara halus. Kejayaan mempengaruhi pemikiran para pelajar akan membolehkan mereka terus dilihat hebat, walaupun secara zahirnya mempamerkan tradisi keintelektualan yang tinggi, secara tidak langsung turut mempamerkan tradisi membina kesombongan, keangkuhan dan riak!

Kesalahan itu diistilahkan sebagai kesalahan etika menuntut ilmu. Kerana asas menuntut ilmu itu tidak ikhlas, maka akhirnya membara perasaan takbur dan ujub dengan sesuatu ilmu (selar Perdana Menteri tidak tahu mencari wang untuk biayai penghapusan PTPTN), gemar menimbulkan konflik setelah berilmu (menggambarkan dirinya sebagai Menteri Kewangan terbaik pernah dilahirkan di Malaysia), merasa bangga setelah berilmu (selar orang lain yang memperjelaskan pengertian konsep contingent), tergesa-gesa dalam memberikan pendapat dan menunjukkan pendirian (kes pemilikan sebuah pasar raya oleh NFC di Singapura), saling menghasut dan dengki (Buku Jingga berbanding kejayaan Pelan Transformasi Kerajaan), dan sentiasa menyalahkan orang lain atas kegagalan sendiri (pertukaran kerajaan pada 16 September 2008 dan kegagalan sokongan wakil rakyat sehingga tumbangnya kerajaan Pakatan Pembangkang di Perak pada Februari 2009).

Hakikatnya, dengan kelebihan dalam ilmu strategi, mereka gunakan untuk merungkaikan hakikat bahawa dalam Islam, jika seseorang itu berhutang ia wajib menjelaskannya. Melarikan diri daripada membayar hutang adalah suatu tindakan yang berdosa dan dilaknat oleh Allah SWT.-UMO

Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan