Rabu, Januari 11, 2012

Nilai 'prima facie' kes liwat!


Kelmarin Anwar Ibrahim dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan meliwat pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Kes yang menjadi perhatian ramai malah diheret ke mata antarabangsa itu sememangnya mencatatkan rekod tersendiri. Bukan satu rekod tetapi pelbagai rekod.

Anwar dituduh pada 7 Ogos 2008 dan kes berakhir kelmarin iaitu 9 Ogos 2012. Penangguhan kes sebanyak 55 kali. Alasan penangguhan terlalu banyak untuk diungkap selain pelbagai permohonan termasuk supaya hakim bicara menarik diri atas dakwaan berat sebelah. Hakim bicara itu ialah Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang membuat keputusan mengejutkan banyak pihak kelmarin. Keputusan itu memihak kepada Anwar.

Penantian kes yang berlangsung lebih tiga setengah tahun (mungkin boleh dimasukkan dalam Guiness Book of Record) hampir 80 peratus selesai pada 16 Mei tahun lalu apabila Anwar dipanggil membela diri. Tentunya keputusan memanggil Ketua Pembangkang itu berbuat demikian kerana hakim bicara mendapati kes tersebut ada prima facie. Apatah lagi hakim bicara sendiri mendapati Saiful Bukhari adalah saksi yang boleh dipercayai (witness of truth).

Prinsip undang-undang prima facie amat jelas seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 180 Kanun Acara Jenayah. Tidak sukar memahami prinsip tersebut. Apabila hakim bicara sudah berpuas hati pasukan pendakwa dapat membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, hakim bicara mestilah memanggil tertuduh membela diri.

Dalam erti kata lain - laluan prima facie ke sabitan kesalahan tidak jauh, malah ada yang menyimpulkannya sebagai terlalu hampir. Apabila ada prima facie maknanya ruang untuk tertuduh disabitkan kesalahan sangat luas.

Mungkin kerana prinsip prima facie itulah, maka Anwar sendiri pada 10 Februari 2011 semasa berucap di Washington DC dengan yakin menjaja keyakinannya. Dalam ucapannya dia memberitahu, apabila kesnya diputuskan kelak, dia pasti akan disabitkan dan dipenjarakan.

Memanjangkan lagi keyakinannya, Anwar menyimpulkan bahawa plot kesnya itu telah dirancang. Didorong oleh prima facie itu juga mungkin para penyokong Anwar melancarkan Kempen Bebaskan Anwar.

Perkataan 'bebaskan' itu sendiri memberi gambaran bahawa Anwar akan didapati bersalah dan akan dipenjarakan justeru satu kempen untuk membebaskan pemimpin kesayangan mereka mesti dijalankan.

Persoalannya apakah kayu pengukur atau kriteria untuk menentukan sama ada hakim bicara berpuas hati atau sebaliknya sebelum menentukan wujud kes prima facie? Dan sejauh mana pula nilai prima facie itu sendiri dalam sesuatu kes sehinggakan ramai yang menyebut perkataan itu, walaupun mungkin tidak begitu arif atau memahaminya.

Prof. Salleh Buang ketika diaju persoalan itu menarik perhatian terhadap kes prima facie yang menuntut penilaian menyeluruh di pihak hakim bicara sebelum dapat menentukan nilai bukti dan keterangan yang dikemukakan pendakwa raya.

"Sebelum hakim bicara boleh mengatakan dia berpuas hati ada kes prima facie terhadap tertuduh, beliau mestilah melakukan penilaian maksimum (maximum evaluation) segala keterangan yang dikemukakan oleh pasukan pendakwa,'' katanya.

Profesor Undang-Undang itu memetik dua kes tempatan untuk menjelaskan lagi tentang prinsip prima facie. Kes pertama Looi Kow Chai lwn Pendakwa Raya [2003] 2 MLJ 65.

Dalam kes tersebut Hakim Mahkamah Rayuan Gopal Sri Ram ada menjelaskan tugas hakim bicara di bawah Seksyen 180 Kanun Acara Jenayah.

"Beliau (hakim bicara) mesti menguasai keterangan pendakwaan ke peringkat penilaian maksimum dan bertanya dirinya sendiri: Jika saya memutuskan untuk memanggil tertuduh membela diri dan dia memilih untuk berdiam diri, adakah saya bersedia untuk menyabitkannya berdasarkan keseluruhan keterangan yang terkandung di dalam kes pendakwaan? Jika jawapannya negatif maka tiada kes prima facie dan tertuduh layak dibebaskan.''

Satu lagi menjadi rujukan iaitu Balachandran lwn Pendakwa Raya [2005] 2 MLJ 301, Mahkamah Persekutuan menjelaskan lagi maksud Seksyen 180 Kanun Acara Jenayah seperti berikut - "Kes prima facie adalah hasil daripada sesuatu yang mencukupi untuk tertuduh dipanggil memberi jawapan. Ini bermakna bukti keterangan yang diperoleh mestilah ke peringkat ia hanya boleh 'dimusnahkan' oleh bukti-bukti sebaliknya''.

Salleh mengaitkan penjelasan Gopal Sri Ram dan Mahkamah Persekutuan dalam kedua-dua kes itu dengan kes Anwar.

"Tentunya apa yang orang awam tahu pasukan pendakwa telah dapat membuktikan satu kes prima facie di penghujung kesnya.

"Berdasarkan prinsip undang-undang yang digariskan mahkamah dalam kes-kes terdahulu, pastinya hakim bicara telah membuat penilaian maksimum keterangan yang dikemukakan pasukan pendakwa di hujung kesnya sebelum memutuskan untuk memanggil Anwar membela diri,'' katanya.

Lalu dilontarkan kemusykilan jika hakim bicara telah membuat penilaian maksimum dan mendapat ada kes prima facie dalam pertuduhan liwat, mengapa keputusan kelmarin umpama pusingan U?

Salleh sendiri sukar membuat kesimpulan kerana penghakiman semalam tidak dibuat secara bertulis. Hakim bicara hanya membaca penghakiman secara ringkas dalam masa tiga minit. Justeru semua pihak terpaksa menunggu penghakiman penuh sebelum dapat membuat penelitian dan penilaian.

Yang pasti menurut Salleh (seperti diketahui ramai), ketika memutuskan tertuduh tidak bersalah dan hendak dilepas dan dibebaskan, hakim bicara menyandarkan alasan tiada bukti kukuh dan "tidak selamat" untuk mahkamah bergantung kepada bukti DNA.

"Disebabkan kita belum berpeluang meneliti sepenuhnya teks penghakiman hakim bicara, sukar bagi kita membuat kesimpulan bagaimana hakim bicara membuat dapatan sedemikian rupa,'' kata Salleh.

Apa pun dalam seksyen 182A Kanun Acara Jenayah, katanya, ada dinyatakan bahawa di penghujung perbicaraan, mahkamah hendaklah menimbangkan semua keterangan yang ada di hadapannya sebelum memutuskan sama ada pendakwa telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah.

Ditanya sama ada kes tersebut perlu dibawa ke peringkat rayuan, Salleh berpendapat langkah tersebut adalah wajar sekiranya pasukan pendakwa terkilan dengan keputusan mahkamah.

Apatah lagi, memandangkan pasukan pendakwa telah berjaya membuktikan kes prima facie di penghujung kes pendakwaan dulu.

Beliau yakin proses rayuan itu akan memberi peluang sepenuhnya kepada panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan menilai semula sama ada keputusan hakim bicara itu betul atau pun tidak di sisi undang-undang dengan meneliti secara terperinci alasan-alasan penghakiman hakim bicara itu.

Apa pula beban di pihak pendakwaan jika berhasrat membawa kes tersebut ke peringkat rayuan? Salleh berpandangan, pendakwaan terpaksa meneliti secara terperinci setiap perkataan, setiap baris dan setiap ayat yang terdapat dalam penghakiman hakim bicara.

"Mereka mesti mengemukakan hujah berasaskan prinsip undang-undang kepada Mahkamah Rayuan bahawa hakim bicara telah melakukan kesilapan dalam penghakimannya,'' katanya.

Persoalannya, apakah pasukan pendakwa akan dapat mengemukakan hujah sekuat itu di Mahkamah Rayuan nanti? Pastinya pasukan peguam bela Anwar akan menghujah balas bahawa keputusan hakim bicara adalah betul dan tidak ada salah silapnya. Bertitik-tolak daripada itu mereka akan membuat permohonan agar rayuan pasukan pendakwa ditolak.

Perjalanan kes pertuduhan liwat membabitkan Anwar ini hakikatnya masih jauh. Keputusan Hakim Mohamad Zabidin terlalu singkat untuk dianalisis lantaran ketiadaan penghakiman bertulis, lari daripada kebiasaan amalan hakim-hakim terdahulu. Apakah yang tersirat di sebaliknya, sama-sama kita tunggu.-UM.

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

  1. tgk muka jijah tu...apasal marah sgt? ooo...sebab madu dia ada kat belakang...madu dia pun senyum meleret semcm jer...hehehe!!

    BalasPadam