Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Ahad, Mei 15, 2011
Pandangan Belantan dan Medan Info Kita di Suara Blog, Utusan Malaysia 13 Mei 2011!
UMNO 65 tahun dan perjuangan Melayu
11 Mei 2011 genap 65 tahun usia Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO. Bagi meraikan ulang tahun parti Melayu terbesar dan tertua itu, ramai penulis blog yang melontarkan pandangan masing-masing tentang UMNO serta perjuangan yang dibawa.
Ruhanie Ahmad (kuda-kepang.blogspot.com) misalnya menulis, dalam usia 65 tahun, inilah masa yang terbaik bagi UMNO untuk mengkaji semula kekuatan dan kelemahannya akhir-akhir ini.
"Pertama, kajilah sama ada benar kini wujud kalangan veteran yang jauh hati dengan UMNO, dianggap berfikiran kuno dan disifatkan sebagai sudah ketinggalan zaman. Kedua, kajilah sama ada benar bahawa kini wujud sekumpulan pemimpin muda yang lebih mementingkan diri daripada parti dan menganggotai UMNO semata-mata untuk mencari kemewahan peribadi.
"Ketiga, kajilah sama ada benar bahawa kini ramai profesional Melayu dan bumiputera yang gagal menganggotai UMNO disebabkan mereka dihalang oleh ketua-ketua cawangan dan bahagian yang takut kedudukannya digugat oleh golongan muda terpelajar ini.
"Keempat, kajilah sama ada benar kini wujud dakwaan kononnya UMNO disifatkan tidak lagi relevan untuk mewakili bangsa Melayu dan bumiputera kerana matlamat perjuangan parti ini dikatakan jauh menyimpang daripada matlamat asalnya," kata beliau.
Kata beliau, banyak lagi hal yang perlu dikaji oleh UMNO tetapi empat perkara di atas perlu diutamakan jika parti itu mahu terus kuat, mantap dan berwibawa.
Taminsari dalam Belantan ( belantan.blogspot.com ) pula berkata, orang Melayu kini dalam dilema yang amat menakutkan apabila ada yang meramalkan kekuasaan dan ketuanan Melayu semakin terhakis dan dominasi Melayu akan hancur akibat perbalahan yang berterusan di kalangan bangsa Melayu sendiri.
Katanya, apa yang menyedihkan selepas 65 tahun UMNO ditubuhkan yang berjuang mempertahankan tanah air dan bangsa Melayu dan setelah 54 tahun negara merdeka, segala susah payah dan pahit-getir perjuangan menegakkan hak bangsa oleh UMNO semakin dipandang sepi oleh golongan muda Melayu.
"Ia dapat dilihat dengan jelas dalam keputusan PRU-12 lepas di mana memperlihatkan senario berbeza terhadap sokongan kepada UMNO dan BN. Adakah selepas lebih enam dekad berbakti, UMNO kini tidak lagi relevan dalam perjuangan menegakkan hak-hak orang Melayu?" kata penulis ini.
Kata beliau, lebih menyedihkan apabila terdapat segelintir pemimpin bukan Melayu yang mengambil kesempatan daripada perpecahan orang Melayu termasuk berani mempersoalkan hak-hak istimewa orang Melayu, memperlekeh raja-raja Melayu dan mempermainkan agama Islam.
Malangnya, jika UMNO dilihat semakin tidak relevan pada masa yang sama tiada satu pun parti Melayu lain, baik Pas apatah lagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dapat meneruskan kesinambungan perjuangan UMNO dalam mempertahankan hak-hak orang Melayu dan agama Islam.
"Walaupun Pas mengatakan mereka juga memperjuangkan Melayu dan Islam namun setakat ini parti itu masih belum menunjukkan kemampuan sebenar dalam memastikan hak Melayu tidak terus tercabar. Malah ada ketikanya Nik Aziz ( Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am Pas ) sendiri tidak mengaku beliau memperjuangkan Melayu. Melayu pada Nik Aziz hanya apabila terdesak untuk mendapatkan undi sahaja," kata blog ini.
Kata beliau, nasib Melayu tidak boleh diletakkan dibahu PKR memandangkan jumlah pemimpin Melayu di dalamnya tidak sampai separuh dan pada masa yang sama ramai anggota Suruhanjaya Antara Agama (IFC) merupakan pemimpin parti tersebut.
Blog Medan Info Kita ( medan-info-kita.blogspot.com ) pula berpandangan, cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO pada masa kini bukanlah sesuatu yang mudah kerana beliau dan parti itu berdepan dengan pelbagai cabaran getir yang tidak dihadapi oleh dua presiden parti terdahulu iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Kata beliau, bukan tugas mudah bagi Najib untuk berdepan dengan kerenah Datuk Seri Anwar Ibrahim terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 berbanding ketika zaman Dr. Mahathir dan Abdullah kerana ketika pilihan rakyat ke-10 dan ke-11, Anwar masih berada di penjara Sungai Buloh.
"Dr. Mahathir harungi PRU-10 tahun 1999, Anwar dalam sel penjara Sungai Buloh. Pak Lah ketuai PRU-11 tahun 2004 Anwar masih lagi menjadi penghuni sel Sungai Buloh tetapi tempiasnya Pak Lah rasai pada PRU-12 Mac 2008 apabila Anwar berada di luar penjara dan kini, PRU-13 adalah cabaran yang tersangat perit dan getir bagi Najib," kata blog ini.
Justeru, katanya, pada sambutan ulang tahun ke-65 ini, semua pucuk pimpinan UMNO di semua peringkat serta ahli-ahli parti perlu menanam niat untuk bekerja dan terus bekerja dengan lebih gigih agar kerajaan Barisan Nasional (BN) akan kekal memegang tampuk kerajaan Malaysia.
Sementara itu, beberapa penulis blog mesra kerajaan menyampaikan rasa sedikit terkilan apabila mereka tidak diundang untuk menghadiri dan memeriahkan sambutan ulang tahun UMNO yang berlangsung di PWTC Rabu lalu.
Dalam pada itu beberapa blog lain seperti RBF Online ( ruangbicarafaisal.blogspot.com ), telah melontarkan beberapa isu yang tidak kurang menariknya.
Kelolaan LUKMAN ISMAIL
lukman@utusan.com.my
Suara Politik
Taminsari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan