Selasa, Februari 01, 2011

Amalan kasta di Malaysia : Sanggupkah kaum India hapuskannya!

Sebenarnya penulis tidak berminat untuk mengulas tentang isu kemelut novel Interlok. Sama ada suka atau tidak, keputusan telah dibuat. Ada pihak yang suka dan ada yang membantah termasuk secara diam-diam. Malah ada yang cuba mengugut untuk membawa isu ini ke PRK Tenang baru-baru ini jika tidak dapat diselesaikan!

Sebagai negara yang berbilang kaum, kita sepatutnya melihat isu tersebut ke hadapan. Mungkin ianya boleh menjadi titik permulaan kepada perubahan secara drastik apa yang membelenggu minda kaum India selama ini. Sebenarnya isu tersebut mempunyai hikmah dan titik tolak baru dalam menghapuskan sistem kasta di kalangan orang India di Malaysia.

Amalan kasta inilah punca sebenarnya kepada masalah kaum India di negara kita. Walaupun sesetengah daripada mereka tidak mengakuinya, tetapi masih lagi terdapat " jurang yang besar " sesama mereka. Dalam erti kata lain masyarakat India di negara ini masih kuat lagi mengamalkan amalan tersebut sepertimana yang masih diamalkan lagi di negara India itu sendiri. Yang menghairankan mengapa masyarakat India di negara ini masih menganggap negara India sebagai “ kiblat” mereka dalam mencorakkan kehidupan mereka disini!

Walaupun apa yang diceritakan oleh Datuk Abdullah itu berkisar fakta sejarah diwaktu itu namun perkara ini memang tidak boleh dinafikan. Ianya masih berlanjutan sehingga sekarang ini!

Kontroversi Interlok boleh menjadi pencetus kesedaran untuk kaum India sendiri bangkit membetulkan ketidakadilan itu. Kasta adalah amalan yang tidak lagi relevan dan menjadi penghalang kemajuan kaum tersebut terutama golongan bawahan.

Penulis mengambil contoh sebuah parti politik kaum India iaitu IPF. Kalau kita masih ingat, mendiang Tan Sri Pandithan sentiasa berusaha keras cuba merapatkan jurang perbezaan ini. MIC mewakili kaum India manakala IPF juga mewakili kaum yang sama. Cuma yang berbeza adalah " darjat ".

MIC sepatutnya boleh menerima ahli-ahli IPF menjadi ahli mereka jika mereka memikirkan untuk mendapat sokongan dan menambah kekuatan parti dari kaum India, tetapi sebaliknya tidak. Apabila IPF memohon untuk menjadi komponen Barisan Nasional, mereka membantah. Yang menjadi batu penghalangnya adalah amalan kasta atau darjat ini.

Tan Sri Pandithan cuba meleraikan " batu halangan " ini telah menjadi amalan bagi kaum India di Malaysia sejak turun temurun, tetapi usaha mendiang dipandang sepi oleh ketua-ketua masyarakat India. Walaupun kaum India mewakili penduduk minoriti iaitu lebih kurang 2 juta dari penduduk Malaysia, namun pemimpin-pemimpin kaum India sebenarnya tidak boleh duduk semeja untuk berbincang.

Walaupun terdapat ramai dikalangan kaum India yang sudah berjaya menjadi kaya, menjadi golongan professional seperti doktor, peguam, jurutera dan lain-lain lagi, namun mereka gagal bersatu untuk membantu kaum India yang hidup dibawah paras kemiskinan ataupun kemiskinan tegar.

Mereka tiada persatuan-persatuan kebajikan yang boleh menolong dan mengurangkan beban golongan yang miskin. Kalau ada pun tak banyak. Masing-masing ego dengan kekayaan atau kepandaian masing-masing. Lebih-lebih lagi jika ada diantara mereka yang terdiri dari golongan atasan.

Sebab itu kita boleh lihat dimana yang kaya dari golongan berdarjat tinggi akan bertambah kaya, manakala yang miskin dari golongan berdarjat rendah atau bawahan akan pula menjadi bertambah miskin. Yang kaya agak sukar untuk membantu golongan miskin. Mereka tiada kata sepakat dalam mencari jalan untuk membantu kaum mereka sendiri.

Selagi ikatan " darjat atau kasta " ini tidak terlerai, selagi itu lah masyarakat India akan berdepan dengan masalah kemiskinan tegar dan masalah-masalah lain kerana dikalangan orang-orang India sendiri tidak bersatu. " Sistem kasta " inilah yang sebenarnya menjadi batu halangan atau duri dalam daging kepada masyarakat India di Malaysia untuk bersatu dalam memajukan bangsa mereka sendiri. Hakikatnya orang India sendiri yang gagal membantu kaum mereka sendiri.

Mungkin diatas sebab-sebab inilah Tan Sri Pandithan bertindak keluar dari parti MIC dan menubuhkan parti IPF kerana kecewa dengan tindak tanduk MIC tidak mahu membantu golongan miskin dikalangan penduduk keturunan India. Contohnya penduduk-penduduk India di estet-estet diseluruh negara.

Penulis masih lagi mengingati apa yang pernah diucapkan oleh mendiang Tan Sri Pandithan semasa terlantar di hospital suatu ketika dahulu yang begitu menyentuh perasaan:

" Bukan pilihan saya untuk lahir dalam keluarga berkasta rendah, ini semua ditentukan oleh Tuhan yang juga menentukan siapa yang akan dilahirkan sebagai Melayu, Cina atau India. Malangnya manusia tidak menyedarinya." katanya.

Semasa Kongres MIC berlangsung di PWTC tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan kongres tersebut, menggesa MIC supaya tidak menggunakan sistem kasta sebagai faktor utama atau penentu untuk memilih pemimpin di semua peringkat. Perdana Menteri berkata, pemimpin perlu dipilih berdasarkan keupayaan, kebolehan dan kewibawaan untuk berkhidmat kepada masyarakat India. Dan kenyataan ini juga telah disanggah oleh ahli MIC selepas itu.

Diharap parti-parti politik dan NGO kaum India akan lebih komited untuk membebaskan masyarakat India daripada sistem kasta. Mulai sekarang sebelum asyik menyalahkan atau menuding jari kepada pihak lain sebagai tidak sensitif dan gagal melaksanakan keadilan kononnya, lihatlah terlebih dahulu kepada isu kasta.

Selagi ia tidak dapat ditangani, selagi itulah para pemimpin parti dan NGO India akan dilihat menjadi penaung kepada suburnya sistem tersebut di negara ini. Mulakanlah gerakan pembaharuan. Apa makna melaungkan keadilan jika kita tidak langsung berlaku adil kepada kaum sendiri!

Ini cuma satu pandangan ikhlas dari penulis sebagai rakyat Malaysia untuk melihat semua rakyat Malaysia dapat hidup dengan aman damai dan bersatu dalam memakmurkan negara.

Suara Politik
Taminsari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan