Selasa, Januari 18, 2011

DAP ibarat 'duri dalam daging' kerajaan Selangor!






















Belum pun reda isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang sengaja dicipta oleh kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, timbul pula pertikaian di kalangan exco kerajaan negeri berhubung larangan orang Islam bekerja di premis yang menyajikan arak.

Sekali lagi apabila berkaitan isu membabitkan orang Islam, Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu dari DAP menunjukkan belang sebenarnya.

Beliau tanpa berlengah bertindak mempertikaikan langkah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyediakan garis panduan yang selari dengan Seksyen 18 (2) Enakmen Jenayah Syariah Selangor. Enakmen itu sudah digubal lebih 14 tahun lalu.

Larangan pada mulanya didedahkan oleh sebuah portal berita yang memetik Pegawai Perhubungan Awam MPSJ, Azfarizal Abd Rashid sebagai berkata, premis perniagaan yang gagal mematuhi peraturan tersebut boleh dikenakan kompaun atau ditarik balik lesen.

Dalam tempoh 24 jam, Ronnie dilaporkan mengesahkan pekeliling telah dikeluarkan kepada Yang Dipertua (YDP) MPSJ, Md. Adnan Ikhsan untuk menarik balik syarat larangan itu kerana mendakwa ia tidak disedari oleh kerajaan negeri.

Sedangkan MPSJ mengeluarkan arahan larangan itu kerana ia selari dengan undang-undang yang termaktub dalam enakmen syariah.

Ronnie dilaporkan berkata, larangan tersebut tidak praktikal selain kononnya beliau bimbang ada pekerja Islam hilang pekerjaan. Sikap yang sama juga ditunjukkan oleh Exco kanan, Teresa Kok yang baru sahaja menduduki jawatan Pengerusi DAP Selangor juga mahu larangan itu ditarik balik.

''Saya sudah bercakap kepada YDP majlis (MPSJ) supaya menarik balik larangan itu. Ya, kami tidak gembira dengannya." katanya yang dipetik dari laporan sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris minggu lalu.

Itu belum mengambil kira ulasan-ulasan dalam Twitter oleh pemimpin DAP yang begitu menyakitkan hati orang Islam. Soalnya sekarang, bagaimana seorang Exco boleh melangkaui bidang kuasa keputusan yang telah diputuskan oleh PBT.

Lebih menjengkelkan arahan menarik balik peraturan tersebut seolah-olah mencabar kedudukan enakmen syariah yang sudah sedia ada itu. Bagaimana mahu menarik balik sesuatu arahan yang sudah termaktub dalam perundangan yang sah?

Ini bukan kali pertama Ronnie 'menyusahkan' pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Dalam kes pertama dulu, beliau juga yang buat kecoh apabila Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) cuba melaksanakan peraturan larangan penjualan arak di kawasan majoriti umat Islam di bandar raya ini.

Sebelum ini beliau juga yang mencetuskan ribut soal penggunaan logo 1Malaysia di premis perniagaan persendirian. Abdul Khalid menjelaskan ada kekeliruan berhubung peraturan penggunaan logo itu.

Dalam soal ini, siapa lagi yang keliru, kalau bukan Ronnie? Beliau sendiri tidak faham peraturan tetapi menunjuk kuasa apabila dengan mudah mengeluarkan 'arahan menarik balik' peraturan yang tidak disenanginya.

Setelah dikritik hebat oleh pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ronnie hari ini dilihat cuba menepis apabila menyatakan beliau tidak anti-Islam. Bolehkah permainan kata-katanya dipercayai kerana apa yang disanggahnya itu ialah peraturan dan bukannya soal pelaksanaan.

Rakyat Selangor tidak tahu sampai bilakah pentadbiran Abdul Khalid boleh menyimpan exco yang sedemikian rupa. Malah, Menteri Besar sendiri dalam kenyataan awal berhubung isu larangan orang Islam bekerja di premis menjual arak langsung tidak menyentuh arahan Ronnie itu.

Nampak DAP terlalu berkuasa dalam kerajaan negeri dan boleh berbuat apa sahaja kalau ada perkara yang tidak sebulu dengan kehendak 'nafsu' mereka.

Selain itu, sekutu mereka, Pas tidak berani membuka mulut menegur sikap pemimpin DAP dalam kerajaan negeri meskipun Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali membuat kenyataan menyokong langkah MPSJ menguatkuasakan peraturan larangan orang Islam bekerja di premis menyajikan minuman keras.

Sebelum ini, Pas beriya-iya mengatakan DAP sudah banyak berubah dalam soal Islam. Namun tindakan pemimpin parti itu seperti Ronnie ternyata memperlihatkan tanggapan itu ternyata 'jauh panggang dari api'.

Antara kepentingan Islam dan kerjasama politik dengan DAP, parti itu meletakkan Pas dalam dilema. DAP bagaikan menjadi duri dalam daging kerajaan Selangor.

Sebab itu, sekarang sudah mula kedengaran desakan termasuk dari kalangan anggota parti pakatan pembangkang di negeri ini supaya Ronnie segera digugurkan daripada barisan Exco.

Soalnya, beranikah Abdul Khalid melakukannya atau relakah DAP pimpinan Teresa Kok berbuat demikian meskipun menyedari Ronnie sendiri sudah tidak popular setelah ditolak dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Sementara itu, bagi umat Islam yang masih waras, mereka perlu menyokong penuh langkah PBT di negeri ini berusaha mematuhi enakmen syariah yang sedia ada termasuk mengadakan peraturan bersesuaian.

PBT dan JAIS boleh memainkan peranan melaksanakan kempen kesedaran misalnya antara enam bulan hingga setahun kepada orang Islam agar mereka meninggalkan pekerjaan yang tidak halal itu.

Syarikat-syarikat swasta juga harus tampil menawarkan jawatan kosong untuk golongan itu agar dapat mengubah hidup mereka. Peraturan tersebut hanya membabitkan orang Islam manakala kebebasan orang bukan Islam mengamalkan budaya dan agama mereka tetap terjamin.

Dalam, menguatkuasakan undang-undang Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak semestinya menggunakan kaedah yang keras. Agensi agama itu mempunyai ruang yang luas untuk mendidik masyarakat ke arah jalan yang diredai.

Sebagaimana usaha mereka membanteras maksiat, selain melakukan pendakwaan di mahkamah, masyarakat seolah-olah lupa sebenarnya begitu ramai pesalah syariah telah diberikan kaunseling agar mereka berubah menjadi Muslim yang baik.

Sementara itu : MB Khalid nafi ada arahan tarik balik

MB Khalid dilihat cuba melindungi Exconya, Ronnie Liu apabila hari ini menyatakan bahawa tiada sebarang arahan menarik balik syarat larangan terhadap orang Islam bekerja di premis yang menyajikan arak.

Beliau juga menjelaskan, sebenarnya arahan tersebut bukan satu bentuk larangan sebaliknya hanya tatacara atau syarat baru yang dihantar Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kepada premis hiburan ketika mahu memperbaharui lesen dan ia tidak mempunyai sebarang kuasa perundangan.

Malah katanya, kerajaan negeri juga memutuskan agar kajian terperinci perlu dibuat berhubung implikasi pelaksanaan undang-undang syariah.

Selain itu, Abdul Khalid menegaskan, sebarang langkah oleh mana-mana PBT selepas ini untuk mengadakan usaha berkaitan pematuhan Enakmen Jenayah Syariah perlu mendapat kelulusan Exco kerajaan negeri terlebih dahulu.

"Tidak ada larangan buat.., itu surat ingatan bahawa (pemilik premis hiburan) perlu menghormati keinginan kerajaan negeri mahu mengurangkan pekerja Islam di premis-premis hiburan.

"Setakat ini juga tiada peraturan kecil dan itu pun kita kena buat kajian sama ada PBT ada kuasa hendak buat (peraturan kecil), yang ada ialah syarat berkaitan pelesenan, bukannya peraturan kecil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perbincangan dengan Datuk-Datuk Bandar dan Yang Dipertua melibatkan 12 PBT di negeri ini.

Perbincangan itu adalah susulan isu larangan orang Islam bekerja di premis menyajikan minuman keras yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) minggu lalu.

Hadir sama Ronnie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri dan Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md. Ikhsan.

Laporan akhbar Khamis lalu, menyebut dua Exco kerajaan negeri dari DAP iaitu Teresa Kok dan Ronnie Liu meminta MPSJ menarik balik peraturan melarang orang Islam bekerja di premis yang menyajikan arak.

Larangan itu didedahkan oleh sebuah portal berita yang memetik Pegawai Perhubungan Awam MPSJ, Azfarizal Abd. Rashid sebagai berkata, premis perniagaan yang gagal mematuhi peraturan tersebut boleh dikenakan kompaun atau ditarik balik lesen.

Abdul Khalid bagaimanapun menyatakan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempunyai kuasa untuk melaksanakan penguatkuasaan larangan orang Islam bekerja di premis menyediakan minuman keras.

"JAIS ada hak menguatkuasakan undang-undang ke atas pekerja Islam dan mereka boleh meminta bantuan PBT bagi melaksanakan sebarang tindakan.

"Apa yang saya cakap sebelum ini adalah atas dasar PBT dengan kita sekarang memberikan tumpuan menyelesaikan perkara berkaitan pekerja Islam di premis hiburan," katanya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, syarat yang dikenakan MPSJ sejak tahun lalu itu berjaya dipatuhi sebahagian besar premis hiburan apabila daripada 170 premis yang diberikan lesen, 157 premis didapati tidak lagi menggajikan pekerja Islam.

Katanya, angka pekerja Islam yang bekerja di premis hiburan di Subang Jaya hanya berjumlah kira-kira 140 orang.

Ini baru di Subang Jaya sahaja MB Khalid..tempat-tempat lain bagaimana pula ya? Jangan kata tak tahu pula lepas ini!

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan