Selasa, Julai 13, 2010

Artikel pilihan : Bahaya kaki ampu di sekeliling Presiden MIC!



















Perhimpunan Agung MIC Ke-64 yang 'menumpang' di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra pada Sabtu dan Ahad lalu tidaklah menarik untuk dibincangkan. Tiada apa tindakan dan resolusi yang memberangsangkan.

Balik-balik cerita tentang kepimpinan MIC yang banyak jasa. Mereka tidak banyak berbincang kaedah untuk menarik pengundi India menyokong MIC dan Barisan Nasional (BN).

Ingatlah pesanan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya MIC segera melakukan perubahan bagi mengelakkan ia ditolak sepenuhnya oleh komuniti India dan akhirnya musnah dalam sistem politik negara.

Gesaan itu perlu diberi perhatian serius kerana masalah dalaman MIC sehingga kini masih wujud dan boleh merosakkan masa depan parti itu.

Antara perubahan yang perlu dilakukan ialah memastikan MIC kembali menjadi parti pembela rakyat dan bukannya sebagai medan untuk melebarkan pengaruh atau kuasa politik bagi pihak-pihak tertentu. Tetapi apa yang banyak dibahaskan oleh perwakilan lebih kepada unsur mengampu.

Ada pula perwakilan MIC yang kaki ampu meminta presidennya supaya memegang jawatan tertinggi parti itu untuk 100 tahun lagi.

Kalau hendak mengampu biarlah berdasarkan realiti. Kalau dikatakan pemimpin MIC itu mempunyai kredibiliti tinggi, masakan undi masyarakat India sudah beralih arah kepada pemimpin India dari parti pembangkang seperti DAP dan PKR.

Hal ini masih belum banyak berubah. Kalau sokongan masyarakat India kepada BN dikatakan sudah kembali, itu pun bukan dengan usaha pemimpin MIC sebaliknya atas daya usaha Perdana Menteri sendiri dan pemimpin Barisan Nasional yang lain.

Jadi janganlah pemimpin-peminpin MIC cepat membuat rumusan tentang kejayaan mereka.

Saya bimbang, golongan kaki ampu yang berada di sekeliling Samy Vellu boleh memudaratkan Presiden MIC itu sendiri. Dua bulan lalu, Samy Vellu mengumumkan pelan perletakan jawatannya yang mungkin berlangsung pada akhir tahun depan. Tetapi cadangan itu mendapat bantahan daripada ahli-ahli MIC dan pelbagai pihak.

Malah melalui komen-komen mengampu di Perhimpunan Agung MIC itu dibimbangi Presiden MIC yang sudah 31 tahun memimpin MIC akan berubah fikiran.

Kalau Samy Vellu membatalkan janjinya sendiri, bermakna MIC tak akan ke mana-mana. Bukan Samy Vellu tidak bagus, tetapi jika terlalu lama dalam tampuk pimpinan, maka barisan pelapis pun jadi tua dan tiada idea untuk kemajuan kaum India.

Kalau hanya perwakilan mempunyai kuasa memastikan presiden meletakkan jawatan, maka biarkanlah MIC dengan haluannya. Masyarakat India akan melihat orang MIC memang tidak boleh ditegur dan dinasihat. Mereka fikir dengan kuasa yang ada sebagai perwakilan MIC boleh menentukan siapa yang mempunyai kuasa di negara ini. Dan tiada sesiapa berhak menggesa presiden partinya meletakkan jawatan.

Jika demikian, biarkanlah Samy Vellu dan penyokongnya. Jangan sesiapa pun memaksa beliau berhenti. Tidak perlulah MIC sibuk-sibuk menilai diri. Sebagai rakyat Malaysia berketurunan India, saya malu apabila orang MIC suka menyalahkan orang lain atas kelemahan parti mereka.

Kenapa menyalahkan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali sebagai punca utama masalah antara kaum di negara ini.

Perkasa mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang dianggap melampau sehingga menimbulkan kemarahan di kalangan masyarakat India dan Cina di negara ini kerana mereka mahu pertahankan hak yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada saya kalau pemimpin MIC bijak dalam menjalin kerjasama dengan Perkasa atau NGO Melayu yang lain, tidak timbul perbalahan di kalangan masyarakat Malaysia.

Begitu juga kenapa perwakilan MIC tiba-tiba mengutuk akhbar Utusan Malaysia dengan mendakwa menjadi pencetus masalah masyarakat India di negara ini. Masalah kaum India berpunca daripada mereka sendiri yang mungkin diabaikan oleh pemimpin MIC juga.

Hakikatnya perwakilan MIC terlalu emosional. Mereka bagaikan tidak tahu menari tapi mahu menyalahkan lantai yang tidak rata.

Belajarlah daripada kejatuhan Parti Kongres India, yang kemudian bangkit untuk menarik minat rakyat semula. MIC boleh melakukan kebangkitan dengan syarat berani berubah dan melaksanakan perubahan.

Ada beberapa bulan lagi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13, mungkin MIC dapat menunjukkan sesuatu dan bukan sekadar slogan dan retorik semata-mata.

PAUL MUTUSAMY

Suara politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan