Jumaat, Julai 30, 2010

Nik Abdul Aziz : Usah takbur!



















Datuk Nik Abdul Aziz perlu bertanggungjawab terhadap kekeliruan dan perpecahan di kalangan umat Islam yang dicetuskan oleh kenyataan-kenyataan mengenai agama yang disesuaikan dengan kepentingan politiknya.

Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah, 64, berkata, beliau membuat teguran secara terbuka itu biarpun akan dimusuhi kerana tindak-tanduk Mursyidul Am Pas itu sudah keterlaluan dan diselubungi rasa takbur.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Pondok Kelantan berkata, banyak kenyataan Nik Abdul Aziz tidak bersandarkan ijtihad ulama dan beliau mentafsirkan al-Quran berdasarkan pemahaman sendiri yang sentiasa disesuaikan dengan kepentingan tertentu.

''Bagi saya, beliau bukan lagi Mursyidul Am," katanya ketika ditemui di madrasahnya di sini baru-baru ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah berkata, teguran yang dibuat oleh Persatuan Pondok Kelantan ditolak mentah-mentah oleh Menteri Besar Kelantan itu termasuk memorandum yang dihantar kepadanya pada penghujung tahun lepas.

"Teguran dibuat agar beliau lebih berhati-hati supaya tidak memesongkan akidah, tetapi beliau seolah-olah menyamakan kami dengan ahli UMNO sedangkan kami berjumpa dengannya penuh rasa hormat. "Malah, saya sendiri pernah dua kali mengunjungi rumahnya bagi mendapatkan penjelasan mengenai situasi semasa tetapi gagal menemuinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pelbagai kenyataan yang dikeluarkan Nik Abdul Aziz sebelum ini dalam memberi gambaran terhadap sifat Allah dan Nabi Muhamad SAW.

Ia juga berhubung penolakan Nik Abdul Aziz terhadap pembentukan kerajaan perpaduan, penghargaan terhadap orang bukan Islam membaca al-Quran dan isu penjualan arak yang berleluasa di Selangor. Dan sebelum ini mengenai isu Nik Abdul Aziz menerima tajaan untuk menunaikan haji pada musim yang lepas dan soal orang ramai cuba mengambil keberkatan melalui dirinya.

Abdullah menarik perhatian bahawa kebanyakan kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz tidak selari sama sekali dengan aliran Sunnah Wal Jamaah malah lebih bersifat Wahabi. "Nik Abdul Aziz berasa alim disebabkan dia mempunyai ijazah sarjana tetapi bab keseluruhan agama seperti akidah, tasawur, fikah dan usuluddin (dia) terlalu jahil, dia bukan Mursyidul Am," katanya.

"Madrasah saya terikat kerana masalah dasar saja iaitu al-Quran dan hadis. Dari situ saya muafakat (dengan Pas) tetapi pembawaan Nik Abdul Aziz dari segi akidah dan fikah saya menentang selama-lamanya dan habis-habisan.

"Bukan saya suka nak memecah-belah atau menghuru-harakan masyarakat, kita berani dan bersedia nak berdebat dengannya seperti dalam ceramahnya sebelum ini yang menyatakan Nabi Muhammad SAW masa kecil sama dengan orang kampung seperti kita," katanya.

Beliau juga amat kecewa dengan tindakan melulu Nik Abdul Aziz menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan sedangkan ia menyentuh kepentingan umat Islam dan kuasa politik Islam. Katanya, dalam keadaan sebegini, tentunya wajib bagi Pas dan UMNO bekerjasama bagi menjaga kedaulatan agama kerana situasi politik pada masa kini amat membimbangkan apatah lagi rakan politik Pas secara terang-terangan menolak pemerintahan Islam.

"Beliau terlalu takbur, tanpa sebarang perbincangan beliau telah menolak cadangan kerajaan perpaduan kerana syak wasangka. Perkara yang lepas (Pas keluar dari UMNO) biarlah berlalu, sekarang orang lain yang menerajui UMNO.

"Kita wajib mempertahankan kedaulatan orang Islam walaupun kita kata mereka (UMNO) tidak berdasarkan Islam. "Dasar UMNO begitu disebabkan terdesak pada mula-mula penubuhannya disebabkan tekanan British dan kurang pengalaman dalam agama,'' ujarnya. Menurutnya, selepas 50 tahun mentadbir negara, UMNO yang menjadi tulang belakang perkembangan Islam di Malaysia terus berada di barisan hadapan pemerintahan.
Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Email dari pembaca : Sedia air sebelum kering!



















Masalah berkaitan industri bekalan air di Selangor dan Lembah Kelang nampaknya semakin kompleks sekarang. Sinarnya semakin suram bukannya terang benderang. Terbaru, Menteri Besar Selangor ingin menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji semula tahap perbekalan air di negeri itu kerana tidak yakin dengan laporan yang dikeluarkan Syabas dan juga laporan menteri yang bertanggungjawab berkaitan air.

Saya berpendapat bahawa para pengguna air kesemuanya mahukan bekalan air bersih yang berterusan tanpa gangguan. Masalah utama sekarang adalah paip-paip lama yang belum dapat ditukar penyebab banyak paip bocor di sana sini. Lagi lama ia tidak ditukar maka lagi cepat bekalan air habis lebih-lebih lagi jika berlaku kemarau yang berpanjangan.

Penduduk KL dan Selangor yang pernah terbabit dalam kemelut bekalan air kronik 10 tahun dulu seboleh-bolehnya tidak mahu lagi hidup dalam igauan buruk itu sekali lagi.

Yang sudah tu sudahlah.Nasihat kami pada Tan Sri MB, usahlah terus bertelagah dengan kerajaan Pusat dan anggaplah nasihat TPM, menteri air dan operator bekalan air sebagai peringatan ikhlas yang mahu memastikan kami sebagai pengguna air tidak menjadi mangsa keadaan yang tragis kelak.

Lebih awal kita mempersiapkan diri lebih baik.. dalam hidup ini semuanya jangkaan sahaja, namun ketentuan Allah mengatasi segalanya. Cuma satu sahaja pesanan saya sebagai pengguna air, 'sediakan payung sebelum hujan' kerana bila dah basah kuyup kena hujan, maka tempoh untuk mengeringkan pakaian akan mengambil masa yang panjang. Itulah kiasan untuk kita renung-renungkan bersama.

Wak Parman
Kuala Selangor

Suara Politik
Taminsari

Rabu, Julai 28, 2010

Nik Aziz : Perpaduan ahli PAS dan UMNO dalam Barisan satu nekmat besar!

Kalau dulu Nik Aziz kata perpaduan antara UMNO dan PAS adalah satu NEKMAT Besar. Dan sekarang ini Nik Azis lebih rela bersatu dengan DAP yang suatu ketika dahulu pernah dipanggilnya SYAITAN. Apakah dosa UMNO pada Nik Aziz? Apakah Nik Azis masih berdendam dengan UMNO kerana PAS telah dipecat dari Barisan Nasional membuatkan Nik Aziz begitu marah dan benci pada UMNO?

Dalam senario politik sekarang, Nik aziz dilihat semakin takbur dan riak! Nik Aziz sama sekali menolak usaha-usaha yang dijalankan untuk menyatupadukan bangsa Melayu yang beragama Islam di Negara ini. Sikap Nik Aziz mengecam keras ulama yang menjadi perantara kepada kerjasama antara UMNO dan Pas menunjukkan Mursyidul Am Pas itu semakin takbur.

Kekuasaan yang dimiliki oleh Nik Aziz dalam PAS dan kerajaan negeri menyebabkan beliau lupa bahawa Islam mahu umatnya sentiasa menjalin hubungan persaudaraan. Komen-komen Menteri Besar Kelantan itu yang selama ini konsisten mengecam mana-mana pemimpin yang tidak bersetuju dengan pendapatnya, menampakkan lagi sikap takburnya itu.

Kenyataan Nik Abdul Aziz menyifatkan sesiapa sahaja yang cuba menjadi orang tengah untuk parti itu dengan mengadakan perbincangan dengan UMNO sebagai 'hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong'. Jelas kenyataan Nik Aziz ini sudah sampai ke peringkat takbur sebab cap mufti macam itu sekali. Nik Abdul Aziz juga menegaskan bahawa Pas tidak memerlukan peranan sesiapa untuk menjadi orang tengah sekiranya parti itu mahu berbuat demikian.

Baru-baru ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyatakan kesediaan beliau untuk terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak tidak menyenanginya. Harussani berkata, terdapat beberapa pemimpin kedua-dua parti itu yang bertemu dengannya untuk berbincang dan meminta pandangan ke arah menjayakan perpaduan tersebut. Bagaimanapun, hasrat beliau dikritik pelbagai pihak dalam Pas dan penyokong parti itu.

Sebagai seorang ulama, Harussani cuma menjalankan tanggungjawabnya berdasarkan ajaran agama bagi menyatukan umat Islam di negara ini. "Dalam al-Quran ( ada menyebut ) jika dua bersaudara bergaduh mereka perlu didamaikan, inilah yang dilakukan oleh Harussani sebagai seorang pemimpin agama.

Kalau dia ( Nik Aziz ) rasa dirinya ulama janganlah bersikap demikian. Dulu dia juga pernah berseorangan tetapi sekarang apabila sudah kuat jadi macam begini. Soal dia tidak mahu perpaduan tidak mengapalah tetapi Nik Aziz harus memikirkan kehendak majoriti rakyat Islam Malaysia mahu kita bersatu dan memastikan orang Islam kembali kuat di negara ini. Kalau dahulu Nik Aziz boleh berkata perpaduan antara ahli PAS dan UMNO dalam Barisan Nasional sebagai satu nekmat besar, mengapa tidak sekarang.

Penulis masih lagi teringat senario ini semasa ramadhan pada malam terakhir kempen Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Permatang Pasir dimana solat tarawih perdana diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Bukit Mertajam. Majlis tersebut dihadiri bukan sahaja oleh semua pemimpin-pemimpin kanan UMNO dan Pas yang terlibat dalam kempen pilihan raya itu tetapi juga kedua-dua calon yang bertanding.

Mereka bersolat bersama-sama dan kemudian bermaaf-maafan. Mereka meninggalkan majlis itu dengan fikiran yang lapang dan tali persaudaraan Islam sesama mereka semakin erat, biarpun mereka berbeza parti dan akan bertarung dalam pilihan raya.

Mungkin senario ini, jika dibayangkan nampak indah dan menarik, siapa yang tidak mahu melihat orang Melayu bersatu padu dan meningkatkan ukhuwah Islamiah sesama mereka. Tetapi buat masa ini, kita hanya mampu membayangkan sahaja, apa yang dicatatkan tidak mungkin akan menjadi kenyataan, biarpun itulah sikap terbaik bagi melambangkan perpaduan di kalangan orang Melayu dan umat Islam.

Sebenarnya, kita sudah bosan untuk menyebut soal penyatuan Melayu, malah kita juga sudah malas untuk membincangkan soal perpaduan umat Islam di negara ini. Ia berlaku kerana setakat ini apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, umat Islam terus berpecah belah dan lebih buruk dari semasa ke semasa semakin banyak pula kenyataan-kenyataan dibuat oleh pemimpin politik tertentu yang mengecam sesama Islam.

Penyatuan ini bukanlah mustahil dan bukanlah sesuatu yang sukar tetapi ia terhalang kerana ada pihak meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya. Bagi mereka, kalau ada unsur-unsur untuk bekerjasama dengan UMNO demi perpaduan orang Melayu dan Islam maka ia boleh menjejaskan kedudukan politik mereka.

Pemimpin-pemimpin dalam kelompok berkenaan sanggup mengatakan UMNO mengamalkan Islam palsu dan Islam plastik tetapi yang anehnya mereka tidak pula mempertikaikan apa pula bentuk Islam yang dibawa oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bagaimana pula dengan pendirian DAP, jika ada pihak hendak melaksanakan pemerintahan Islam?

Kita sudah lihat contoh di beberapa negeri, apabila ada sesetengah parti tidak mampu bersuara langsung, biarpun ada tindakan oleh rakan-rakan pakatan mereka melanggar prinsip perjuangan namun mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana suara politik mereka 'tidak laku'. Kalau mereka hendak bersuara sedikit, semangat yang mereka ditunjukkan itu hanya menjadi `hangat-hangat tahi ayam' sahaja, mereka akan diam apabila ditegur oleh rakan dalam pakatan.

Tetapi bahana ini masih belum mahu dipelajari oleh sesetengah umat Islam. Bagi mereka, apa yang penting berebut kerusi dalam pilihan raya dan kuasa politik. Soal sama ada perebutan yang berlaku akan melemahkan umat Islam ia adalah soal kedua.

Kita tidak perlu membuang masa untuk bercakap soal kejatuhan empayar Islam dan mengimbas kembali bagaimana orang Melayu dijajah suatu ketika dahulu, semua itu tidak akan menginsafkan puak-puak berkenaan. Apa yang boleh kita peringatkan ialah mereka harus bersedia bertanggungjawab seandainya suatu hari kelak orang Melayu dan umat Islam menjadi pelarian di tanah air sendiri.

Ketika ini keluarkanlah apa juga kenyataan bagi menyakiti hati sesama Islam demi mencari keuntungan politik dan lodehkanlah apa juga keburukannya musuh politik kita. Mungkin mereka akan berjaya mendapat sokongan politik yang diinginkan, apatah lagi di kalangan penyokong tegar yang taksub tetapi tanpa mereka sedari dalam masa yang sama mereka juga sedang menghakis sedikit demi sedikit tembok kekuatan umat Islam di negara ini.

Sehebat manapun kuasa politik yang kita miliki, ia tidak akan mampu menggantikan tali persaudaraan Islam yang ditetapkan oleh Allah SWT. Jangan terlalu sombong menolak salam perpaduan yang dihulurkan. Lagipun apalah gunanya kita bersikap seperti 'harimau' kepada saudara seagama tetapi menjadi 'kucing' kepada rakan yang bukan seagama dengan kita. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Isnin, Julai 26, 2010

Siri ceramah Roadshow Gelombang Selamatkan Selangor Darul Ehsan ( SSDE ) di Ijok, Kuala Selangor!













Ceramah Roadshow ini berlangsung di Dewan Generasi Warisan, Batu 8 Kampung Ijok. Walaupun hujan lebat turun sejak petang, namun ceramah yang sepatutnya di buat di kawasan dataran tetap diteruskan di dalam Dewan Generasi Warisan. Para hadirin yang datang dilihat tidak berganjak sehingga memenuhi luar dewan.

Kedinginan malam itu dihangatkan lagi dengan ceramah yang begitu bersemangat dibawa oleh Sdr. Zahid Md Arip dan juga YB Datuk Seri Noh Omar. Seperti ceramah-ceramah sebelum ini, Sdr. Zahid Md Arip yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan membongkar kisah pembohongan dan juga penyelewengan Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai manusia Pembohong No.1 di Malaysia. Juga tidak ketinggalan cerita-cerita mengenai PAS dan DAP. Manakala Datuk Noh Omar pula terus membongkar isu penyelewengan perlombongan pasir di Selangor.

Antara yang menarik yang diceritakan oleh Sdr. Zahid adalah bagaimana percubaan kali kedua Anwar untuk memalukan allahyarham Tun Ghafar Baba gagal. Selepas dibebaskan dari penjara semasa awal bulan puasa, Anwar cuba mengatur pertemuan dengan Tun Ghafar Baba melalui Sdr. Zahid yang juga cucu kepada allahyarham Tun Ghafar.

Anwar menyuruh Sdr Zahid mengatur pertemuan dengan Tun Ghafar di rumah Tun sendiri selepas hari raya puasa. Kali pertama apabila Zahid menyampaikan berita itu kepada Tun Ghafar, beliau tidak bercakap apa-apa pun, kata Zahid. Bermakna Tun Ghafar masih tidak dapat menerima apa yang Anwar telah lakukan terhadap beliau sebelum ini. Setelah gagal mendapat jawapan dari Tun, lantas Zahid terus menalifon Anwar dan memberitahunya yang Tun tidak memberi sebarang jawapan diatas permintaan Anwar.

Anwar bagaimana pun terus mendesak Zahid agar memujuk Tun Ghafar sekali lagi yang beliau benar-benar mahu berjumpa dengan Tun Ghafar. Sdr. Zahid memberitahu yang beliau terpaksa sekali lagi bertemu Tun Ghafar dan memberitahu beliau yang Anwar sudah nampak berubah dan ikhlas hendak bertemu dengan Tun. Mungkin Tun ketika itu memikirkan yang Anwar sudah berubah, maka Tun menerimanya tetapi dengan bersyarat. Anwar hanya boleh datang bersama dengan Wan Azizah sahaja?

Nak dijadikan cerita ketika pertengahan bulan puasa Zahid menceritakan yang semasa beliau ke Pasar Ramadhan di Segambut untuk membeli juadah berbuka , secara tak sengaja beliau telah bertemu dengan seorang lagi bekas ahli majlis tertinggi PKR iaitu Sdr.Abdul Rahman. Abdul Rahman memberitahu Zahid yang beliau baharu sahaja bertemu dengan Anwar . Dalam pertemuan itu Anwar memberitahu yang Tun Ghafar telah menalifon dan hendak bertemu dengan beliau.

Setelah mendengar apa yang di cakapkan oleh bekas ahli majlis tertinggi PKR itu, Zahid memberitahu yang beliau terus menalifon TunGhafar untuk membatalkan sahaja pertemuan itu setelah mendapati Anwar cuba memutarbelit kenyataannya. Anwar cuba spin cerita yang “ Tun Ghafar yang hendak berjumpa dengan beliau dan bukannya beliau yang hendak bertemu dengan Tun Ghafar”. Dilihat percubaan Anwar untuk memalukan allahyarham Tun Ghafar Baba buat kali kedua teryata gagal! Zahid memberitahu sejak dari hari itu beliau langsung tidak percayakan lagi apa yang Anwar cakapkan!

Isu seterusnya yang agak menarik adalah isu bom C4 dan Kalimullah. Sdr.Zahid meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat berhubung artikel yang ditulis Datuk Seri Kalimullah Hassan mengenai bahan letupan C4 ketika beliau menerajui The New Straits Times Press Berhad (NSTP).

Sdr. Zahid Md Arip memberitahu yang sebelum ini beliau sudah meminta Kalimullah supaya menjelaskan mengenai artikelnya itu. Artikel mengenai bahan letupan C4 ini amat serius..., maka kita meminta KDN supaya segera menyiasat mengenai perkara ini, katanya.

Semasa temu bual beliau bersama TV3 yang disiarkan menerusi Buletin Utama Sabtu lalu, beliau meminta Kalimullah menjelaskan kaitannya dalam plot menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak ketika menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.

Dalam temu bual berkenaan, beliau mendakwa, Kalimullah dipercayai mempunyai kaitan dengan plot itu dan turut mendakwa, Kalimullah menyiarkan artikel tidak tepat ketika menerajui NSTP mengenai bahan letupan C4 yang digunakan dalam kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006. Dalam artikel itu, C4 ini kononnya hanya dimiliki oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan perlu kelulusan tertinggi Kementerian Pertahanan.

Berita ini tidak tepat kerana kita tahu bahan letupan ini juga ada di semua depot senjata Polis Diraja Malaysia dan penggunaannya tidak memerlukan kelulusan tertinggi. Jika Kalimullah tidak mahu bertanggungjawab, tidak mahu menjawab, dan berdiam diri, beliau jangan marahkan saya. Seluruh rakyat percaya beliau salah seorang yang merancang plot untuk menjatuhkan Najib ketika itu dan agenda itu berterusan sehingga sekarang, dakwa Mohd Zahid.

Manakala Datuk Seri Noh Omar terus membongkar isu skandal pasir yang melibatkan anak syarikat kerajaan negeri Selangor sekarang. Beliau memberitahu Akibat kegiatan mencuri pasir yang berleluasa sekarang di lihat kerajaan negeri gagal menunai janji untuk mengutip hasil pasir negeri bernilai RM150 juta tahun 2009.

Janji sasaran kutipan RM 150 juta hasil pasir ini jelas disebutkan dalam ucapan bajet 2009 Dato’ Menteri Besar. Namun ketika bentang bajet 2010 pada November 2009, YAB MB menyatakan sehingga 21 Oktober 2009, hasil daripada royalti pasir yang diperolehi hanya RM 4.6 juta sahaja. Ini hanya 3 % sahaja dari jumlah sasaran. Ia tersasar jauh, bagai langit dengan bumi.

Menteri Besar mendakwa kewujudan hanya satu syarikat boleh membendung aktiviti mencuri pasir. Persoalan mengapa masalah kecurian pasir masih berleluasa dan kerap dilaporkan? Antaranya dakwaan kegiatan curi pasir di belakang kampus Unisel, Lembangan Sungai Langat di Kuala Langat dan Dengkil, Sepang. Malah ada laporan polis dan dakwaan kecurian pasir menggunakan lori KSSB di mana KSSB merayu atas kompaun akibat “kesalahan mengeluar bahan batuan tanpa wibawa yang sah” misalnya di Kuala Selangor sendiri.

Datuk Seri Noh Omar juga mendakwa yang beliau mempunyai bukti wujud penyelewengan dan amalan pilih kasih oleh anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam menawarkan pembelian pasir kepada syarikat kontraktor.

Beliau mendakwa, daripada maklumat yang diperolehnya, sebuah syarikat diberikan diskaun sebanyak 22 peratus atau RM4.00 bagi pembelian satu tan pasir yang berharga RM17.50 sementara syarikat-syarikat lain hanya diberi potongan 50 sen sahaja bagi setiap tan pasir yang dibeli."Atas keistimewaan ini, saya difahamkan syarikat itu telah mengambil kesempatan dengan menjadi broker penjualan pasir kepada syarikat-syarikat lain dan membuat keuntungan besar.

"Adakah syarikat itu menjadi proksi mana-mana parti politik. Apa muslihat kerajaan negeri sehingga beri cukup keistimewaan kepada syarikat itu,” katanya . Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mendakwa KSSB turut memberi kemudahan kredit kepada sebuah syarikat dan lima kontraktor untuk mengorek pasir pasir tanpa perlu membayar deposit.

"Syarikat-syarikat terbabit menyalahgunakan keistimewaan itu dengan tidak membayar kepada KSSB selepas mengorek pasir. Sikap pilih kasih ini juga menyebabkan KSSB hanya jadi alat dan kuda tunggangan kepada syarikat-syarikat tertentu,” katanya. Noh mendakwa KSSB juga membenarkan pihak kontraktor memproses dan menjual pasir halus di kawasan melombong tetapi mengeluarkan resit yang menyatakan bagi pengeluaran pasir kasar.

Namun kata Noh terdapat juga kemungkinan ada-ada unsur penipuan kepada Pejabat Tanah oleh pihak KSSB dalam soal pembayaran doket pasir. KSSB membayar doket kepada Pejabat Tanah sebanyak RM3.00/tm. Mengambil contoh bukti penipuan yang berlaku di Lot 19439 di Rawang pada tahun 2009. KSSB membayar sebanyak RM 30 ribu untuk pengeluaran 10,000 tm pasir dengan kadar bayaran RM3.00 bagi setiap 1 tm.

KSSB pula mengenakan bayaran doket kepada sebuah syarikat kontraktor sebanyak RM8.00 bagi setiap 1 tm. Bukti yang didapati adalah syarikat berkenaan telah membayar KSSB sejumlah RM116,400 bagi pengeluaran 14,550 tm pasir 4550 tm daripada apa yang diistiharkan oleh pihak KSSB kepada Pejabat Daerah Gombak. Ini bermakna pihak KSSB telah menipu Pejabat Tanah Gombak!

Lebih memburukkan, KSSB turut mengawal kutipan doket pasir yang dahulu dibuat oleh pejabat tanah daerah. Pihak swasta telah ambil alih peranan kerajaan. Ini lebih mendedahkan pada amalan rasuah dan penyelewengan. Kerajaan negeri sepatutnya mengambil tindakan dengan memberhentikan pemberian permit pasir sekiranya mereka ingin menyelesaikan masalah pasir dengan telus dan bukan menyalahkan kerajaan Persekutuan atas kegagalan mereka.,katanya.

Dilihat begitu banyak pembohongan dan penipuan yang telah dilakukan oleh Pakatan Rakyat yang di ketuai oleh Anwar Ibrahim telah berjaya dibongkarkan oleh para penceramah. Diharap kepada hadirin yang datang pada malam itu agar dapat mengambil iktibar dengan apa yang berlaku sekarang di negeri Selangor. Harta bumi Selangor sedang di rompak oleh PR dan kroni-kroninya. Ceramah berlanjutan sehingga larut malam sebelum ditamatkan pada jam 12 tengahmalam. Siri ceramah Roadshow seterusnya akan bersambung ke minggu hadapan di enam lagi kawasan parlimen negeri Selangor.

Suara Politik
Taminsari

Ahad, Julai 25, 2010

Nasihat Kepada MB Khalid : Jangan sudah terhantuk, baru nak tergadah!

Air merupakan sumber semula jadi dan nadi hidup kepada hidupan di mukabumi ini. Sedihnya, pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menghadapi catuan air sekiranya kerajaan Selangor tidak memberi kerjasama dalam pembinaan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) ataupun Langat 2 ini.

Rakyat Selangor akan menjadi mangsa apabila krisis bekalan air berlaku di negeri ini jika kerajaan negeri masih terus berdegil enggan menerima pelan Projek loji rawatan air Projek Langat 2. Catuan air tidak hanya membawa masalah kepada pengguna, bahkan kepada sektor industri juga.

Keperluan air di Selangor akan mencapai 4,326 juta liter sehari pada akhir tahun ini tetapi mungkin mencecah 4,625 juta liter sehari berdasarkan pembangunan pesat di Selangor. Selangor akan menghadapi kekurangan air sebanyak 299 juta liter sehari bermula pada tahun 2012.

Adakah kerana kerajaan negeri gagal menguasai SYABAS maka Projek PPAMPS dijadikan mangsa dendam Khalid? Atau adakah Projek PPAMPS bakal dijadikan sebagai “ umpan “ mengugut supaya Khalid dapat mengambil alih SYABAS. Atau jika Khalid gagal mendapatkan SYABAS dan tidak mahu meluluskan Projek PPAMPS, maka lombong pasir yang begitu banyak digali tanpa dikawal di Selangor sekarang bakal dijadikan kolam takungan untuk menyalur air ke seluruh Selangor! Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Mungkin Khalid sudah berkira dari sekarang yang kolam-kolam lombong yang ada di sekitar Selangor akan penuh dalam 2 atau 3 tahun lagi. Mungkin disebabkan kemewahan Khalid membuatkan beliau tidak merasa keperitan semasa krisis air di Selangor tidak lama dahulu!

Ketua Pusat Penyelidikan Alam Sekitar, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Ku Halim Ku Hamid berkata, kepayahan rakyat ketika negara mengalami krisis air sebelum ini seharusnya dijadikan iktibar agar ia tidak berulang.

"Pelaksanaan PPAMPS tidak boleh ditangguhkan sehingga 2019 dan pelan tersebut seharusnya dimulakan segera bagi mengelak berlakunya krisis air. Pembinaan infrastruktur bekalan air mengambil masa yang panjang dan pelaburan yang tinggi bagi memastikan bekalan air mencukupi pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi di sini .

Beliau mengulas cadangan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya ditubuhkan suruhanjaya bagi mengkaji semula keperluan sebenar air bersih bagi Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Menurut Khalid, Selangor tidak perlu terlalu bergantung kepada PPAMPS kerana berdasarkan kajian pakar menunjukkan sumber air di negeri itu mencukupi sehingga 2019.

Menurut Ku Halim, pengurusan secara bersepadu perlu dirancang dari sekarang bagi memastikan permintaan bekalan air yang semakin meningkat dapat dipenuhi. "Sebagai contoh, kita perlu melihat bagaimana negara maju menguruskan sumber air. "Selain itu, proses merawat air minuman serta kegunaan harian dan industri juga perlu diasingkan agar kualiti air dapat ditingkatkan," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nazarudin Zainun berkata, sumber air perlu diuruskan dengan bijak bagi mengelakkan krisis air berlaku. "Tumpuan harus diberikan bagi menguruskan sumber air dengan baik selain penambahan peruntukan untuk memastikan permintaan air yang sentiasa meningkat dapat dipenuhi.

"Selain itu, penggunaan air yang dikitar semula terutamanya untuk kegunaan industri juga antara langkah yang wajar difikirkan dalam menangani krisis air pada masa hadapan," ujarnya.

Untuk makluman Projek PPAMPS sedang rancak dalam pembinaan sekarang. Kerja-kerja yang dijalankan sudah boleh dikatakan sudah lebih 40%. Terowong dari Pahang ke Selangor sudah pun ditebuk. Semua dilakukan mengikut jadual dan jika kerajaan Selangor masih berdegil tidak mahu meluluskan projek tersebut, maka akan tergendala lah projek itu nanti.

Projek ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan untuk kemudahan rakyat. Loji Rawatan Air Projek Langat 2, yang bernilai RM8.65 bilion, telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menampung keperluan air bersih di tiga tempat ini sehingga tahun 2025.

Tetapi mengapa kerajaan negeri tidak mahu memberi kerjasama! Jika diberhentikan separuh jalan, siapakah yang bakal menanggung kerugian sebanyak lebih RM 8 billion ini. Janganlah nanti sudah terantuk baru nak tergadah. Ketika itu tiada rotan, akar pun berguna.

Suara Politik
Taminsari

Sabtu, Julai 24, 2010

Artikel Pilihan : Usah persoalkan nasionalis!

Banyak pihak mula mempersoalkan kerelevanan nasionalis. Mereka menganggap Assabiyyah, bagaimanapun faham bahawa mencintai watan adalah tuntutan agama. Wacana yang berasaskan nasionalis dianggap perkauman atau pro chauvinist. Perangkap di sebalik prinsip-prinsip globalisasi, ketelusan, kebebasan bersuara, hak-hak kemanusiaan menjadi obor bagi mencabar pemerintah, sama ada dengan tujuan yang baik atau dengan tujuan untuk mengambil kesempatan bagi mencapai cita-cita masing-masing.

Situasi politik dan situasi ekonomi sangat mempengaruhi kebangkitan suara-suara ketidakpuasan, dan merebak secara cepat dan mudah mendapat pengaruh di media internet serta media alternatif.

Keadaan kemelesetan ekonomi akan menambahkan lagi desakan dan suara-suara protes. Masyarakat sangat sensitif terhadap soal kewangan. Perkembangan semasa dalam krisis ekonomi di Eropah, kecelaruan ekonomi Amerika Syarikat dan China, memburukkan lagi ekonomi dunia.

Kesannya, Malaysia juga sedang berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi. Dalam masa terdekat dijangkakan "The External Uncertainty" akan membawa Malaysia ke ambang inflasi, sekali gus akan memungkinkan Bank Negara menaikkan kadar faedah. Kesannya akan menyebabkan sedikit kemakmuran tergugat.

Dan kita pasti bahawa ada pihak yang akan menyalahkan pihak lain dalam keadaan yang celaru tersebut. Suara protes akan meningkat kerana gangguan ekonomi. Pihak yang menguasai ekonomi tidak akan senang duduk. Pihak ini akan mencabar mitos syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan mitos UMNO mengawal ekonomi negara. Maka mereka berpaling tadah kepada imaginasi ekonomi pihak pembangkang.

Sistem perundangan, sistem penguatkuasaan dan kehakiman akan dilihat korup. Krisis kepercayaan dan krisis keyakinan akan meningkat. Ini merupakan cabaran besar terhadap membina negara bangsa.

Di manakah relevannya nasionalis dalam situasi ini? Perjuangan cintakan negara akan berubah kepada perjuangan mencintai jati diri dan kenegaraan. Bukankah pemikiran ini juga merupakan pemikiran nasionalis.

Semangat kebangsaan dan obor patriotisme dihidupkan bertujuan untuk membina kesedaran pihak-pihak yang menguasai politik dan ekonomi supaya memikirkan sejarah panjang yang terbina, kesedaran terhadap neo-nostalgia masa lalu yang mungkin sangat tidak disukai dan tidak difahami oleh generasi muda. Bahayanya ialah ramai anak muda yang tidak mengerti akan kesengsaraan duduk di bawah pemerintahan orang asing.

Dalam situasi ini pentingnya semua pihak berfikir untuk mengekalkan kemakmuran negara. Yang pastinya juga mengekalkan kemakmuran ekonomi dan keadilan sosial. Sekaranglah masanya, semua pihak pemerintah dan pembangkang harus berlandaskan prinsip membahagikan "sama rata kemakmuran untuk rakyat".

Untuk itu semua kaum harus memahami inspirasi kebangsaan, inspirasi nasionalis bahawa kita tidak boleh lari daripada memahami kembali jalur sejarah dan kesan perkembangan politik dan bentuk ekonomi yang dihasilkan oleh peninggalan kolonial. Ini termasuk pola-pola bandar dan luar bandar.

Permintaan dan desakan melampau yang kita dengar pada hari ini daripada pihak-pihak tertentu sebenarnya akan mencetuskan ketidakstabilan kemakmuran yang dikecapi bersama. Oleh itu apabila masyarakat Cina dengan pelbagai persatuan meminta secara berlebih-lebihan, maka akan muncul ratusan persatuan-persatuan Melayu yang akan menuntut untuk kemakmuran bersama bagi mempertahankan hak mereka.

Tuntutan itu akan datang dari jauh dari daerah-daerah pedalaman kerana kesedaran yang meningkat. Fenomena ini adalah lazim dalam negara yang sedang berhadapan dengan krisis politik dan krisis ekonomi.

Itali dan Rusia pernah mengalami situasi yang sama pada abad-abad lampau. Sehinggakan dunia menyaksikan kebangkitan tokoh pemikir seperti Marxis dan Musolini.

Perubahan pada pihak yang memerintah sangat diperlukan dalam situasi sekarang. Dan cabarannya bukanlah mudah. Pembuktian terhadap dasar kesamarataan kek ekonomi adalah satu senjata yang perlu dipercepatkan.

Secara sejarah, negara-negara yang jatuh dan dibangunkan semula adalah hasil daripada gerakan rakyat. Dan gerakan rakyat adalah revolusioner yang tidak siapa dapat jangkakan, bom waktu akan meletup jika kemakmuran tidak diagihkan sama rata.

Memenangkan pihak tertentu akan menaikkan kemarahan rakyat. Kita tidak mahu ada pihak yang menggelarkan pihak lain sebagai primitif dan satu pihak lagi menggelarkan pihak lain pula barbaric. Cetusan-cetusan sebegini adalah kelemahan kita sendiri. Oleh itu ekosistem politik dan ekosistem ekonomi ini perlu distrategikan satu persatu. Ya, Konsep 1Malaysia adalah salah satu jawabannya, tetapi jangan sampai konsep itu disalah tafsir kerana keterbukaannya.

Dengan itu, gerakan-gerakan kesedaran tentang bahayanya masyarakat Malaysia tidak memahami prinsip Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara akan menyebabkan api kemarahan kaum akan marak dengan cepat.

GAPENA merupakan sebahagian NGO yang memikul tanggungjawab untuk menggerakkan semangat nasionalis itu terus hidup dalam wadah baharu, iaitu dengan menerangkan elemen-elemen perpecahan yang timbul sekarang ini kerana kita tidak faham jati diri dan kenegaraan.

Membina negara bangsa dalam bentuk menjaga kemakmuran bersama yang adil dan saksama. Justeru, konsep 1Malaysia itu adalah bahaya jika ditafsirkan secara berpihak. Konsep 1Malaysia hendaklah berasaskan meratakan kemakmuran yang sebenarnya telah diletakkan pada semangat Perlembagaan Persekutuan. Bacalah Perlembagaan Persekutuan. Anak-anak kita harus ditanamkan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan itu demi kemakmuran yang merata dan keadilan sosial.

Untuk parti-parti Melayu, landaskan kepada Perlembagaan Persekutuan, tetapkan sebagai tonggak perjuangan. Kita perlukan keadilan sosial dalam imej kepelbagaian kaum yang ada dalam negara.

Zaman orang mendesak itu dan ini. Kita membuka diri untuk lebih bersifat rasional. Terasnya ialah terhadap permuafakatan sejarah yang telah sedia wujud dan Islam merupakan agama yang meletakkan asas keadilan sosial itu.

Orang lain mungkin khuatir dengan istilah kemelayuan atau kebangsaan sekali pun, namun Islam adalah contoh pembawaan keadilan sosial dan merupakan tamadun yang universal. Oleh itu Melayu mempunyai Islam sebagai satu permuafakatan.

Cetusan Pena - UM

Suara Politik
Taminsari

Khamis, Julai 22, 2010

Selangor Bangkit : UMNO Selangor anjur 19 program ceramah ”roadshow”!


UMNO Selangor akan menganjurkan 19 program ceramah sempena program ”Roadshow Gelombang Selamatkan Selangor Darul Ehsan (SSDE)” bermula esok sehingga 8 Ogos depan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, program ceramah itu merangkumi 19 bahagian UMNO di negeri itu yang bermula dengan bahagian Shah Alam esok.

"Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, roadshow SSDE bertujuan untuk menjelaskan mengenai pembohongan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat terhadap rakyat di Selangor.

"Melalui program ini kita akan berceramah dan berkomunikasi secara terus dengan rakyat Selangor bagi menerangkan isu seperti penyelewengan pasir dan isu membabitkan Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noh berkata, program SSDE fasa satu itu akan memberikan gambaran lebih jelas kepada rakyat Selangor mengenai isu-isu kontroversi termasuk membabitkan dakwaan penyelewengan anggota pentadbiran, tadbir urus anak syarikat yang buruk dan isu peribadi serta moral pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat.

Nota : Pada malam esok siri ceramah Roadshow Gelombang Selamatkan Selangor Darul Ehsan (SSDE) ini akan diadakan serentak di Parlimen Shah Alam dan juga Parlimen Kota Raja. Semua di jemput hadir.

Suara Politik
Taminsari

Diploma Fisioterapi UNISEL tidak mendapat kelulusan daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA)!

Berikut adalah keluhan seorang ibu yang mendapati Diploma yang diperolehi oleh anaknya tidak diiktiraf.

Anak saya mula belajar di UNISEL ( Universiti Industri Selangor, Kampus Shah Alam ) pada 3 Mei 2007 dan tamat pengajian pada April 2010 dalam bidang Diploma Fisioterapi dengan nilai purata gred yang cemerlang. Sebelum mendaftar, pihak UNISEL telah memberi jaminan bahawa bidang yang diambil oleh anak saya ini telah mendapat kelulusan daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA).

Setelah anak saya mengikuti pengajian selama setahun lebih, dia kemudian mendapat tahu bahawa bidang pengajiannya di UNISEL tidak mendapat kelulusan MQA. Perkara ini terbongkar setelah anak saya ingin menjalani latihan praktikal tetapi ditolak mentah-mentah oleh pihak hospital. Hal ini terjadi kerana UNISEL tidak memenuhi syarat-syarat yang diingini oleh pihak hospital di mana salah satunya tidak mendapat kelulusan MQA.

Selain itu, suami saya pula harus bersusah payah menghabiskan kudrat dan wang ringgit bagi mendapatkan tempat praktikal buat anak saya. Saya rasa ibu bapa pelajar lain juga menghadapi masalah yang sama.

Setelah anak saya tamat pengajian, dia telah memohon untuk menyambung pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan berkat doa saya dan suami, anak saya diterima sebagai pelajar sepenuh masa Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi (Kepujian) Fakulti Sains Kesihatan di salah sebuah pusat pengajian tinggi awam (IPTA). Beliau telah mendaftar pada 2 Julai 2010. Sebagai seorang ibu, saya rasa sangat gembira di atas kejayaan anak saya.

Saya sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kegembiraan terhenti hanya setakat itu sahaja. Pada 8 Julai 2010 anak saya telah dimaklumkan bahawa beliau tidak boleh lagi meneruskan pengajiannya di IPTA tersebut kerana setelah disemak dan diteliti oleh pihak IPTA, kursus diploma yang diikuti anak saya dulu tidak mendapat kelulusan MQA sepenuhnya. Saya amat kecewa dan marah apabila mengetahui perkara tersebut. Jadi dengan berat hati, saya dan suami terpaksa mengambil anak saya untuk dibawa pulang.

Sampai sekarang saya masih memikirkan nasib yang menimpa anak saya. Tentang masa depan dan umurnya yang semakin meningkat. Penat dan jerih anak saya selama ini belajar untuk mendapatkan segulung diploma dan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi hayalah sia-sia belaka.

Harapan saya semoga pihak UNISEL, kerajaan negeri Selangor, Kementerian Pengajian Tinggi dan kerajaan akan mengambil tindakan segera bagi mengelakkan orang lain menghadapi nasib malang seperti anak saya.

Sekiranya pihak UNISEL dapat memenuhi segala syarat-syarat dan keperluan yang disenaraikan oleh pihak MQA, saya amat yakin dan percaya pihak MQA dapat memberikan kelulusan secepat mungkin seperti IPTS-IPTS lain di Malaysia. Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ‘Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’.

Harapan saya semoga pelajar lain tidak menghadapi masalah sama seperti anak saya.

IBU SEDIH
Kemaman, Terengganu

Komen : Apa dah jadi pada UNISEL sekarang. Sudah terdesak ke sehingga sanggup menipu semata-mata untuk menampung beban kewangan yang dihadapi sekarang oleh UNISEL. Penurunan bilangan pelajar yang begitu besar telah menjejaskan pendapatan UNISEL, sedangkan kos pengurusan dan operasi tidak dapat dikurangkan kerana kemudahan-kemudahan yang sedia ada terpaksa diselenggara walaupun tidak digunakan sepenuhnya.

Mengikut satu laporan yang kesahihannya mungkin dipersoalkan oleh kerajaan, perbelanjaan UNISEL meningkat daripada RM 79 juta pada tahun 2008 kepada RM 94 juta pada tahun 2009 walaupun bilangan pelajar menurun dengan besar. Pada tahun 2009, UNISEL mengalami defisit sebanyak RM 20 juta.

Sebenarnya UNISEL sekarang sedang menghadapi masalah kredibiliti dan keyakinan awam. Kerajaan Selangor jangan bersifat ‘defensive’, dengan izin, – sindrom penafian. Hanya menyalahkan pentadbiran yang lalu. Kita hendaklah melihat sejauhmana wawasan menjadikan UNISEL bertaraf dunia dapat dicapai sepenuhnya dengan masalah-masalah yang sedang dihadapi sekarang.

" BN Mampu Berubah. Sayangi Selangor, Yakini Barisan NAsional ( BN )"

Suara Politik
Taminsari

Rabu, Julai 21, 2010

Artikel Pilihan : Sejarah 1977 Mengapa PAS Disingkir Dari Barisan Nasional !

Ucapan Perdana Menteri, Tun Hussein Onn pada 9 Disember 1977 sempena Perjumpaan Ketua-ketua UMNO Bahagian di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

TERLEBIH dahulu saya dengan sukacitanya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan setinggi-tingginya penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang telah bersusah payah datang dari jauh dan dekat dan secara tergesa-gesa menghadiri perjumpaan ini. Perjumpaan ini amat penting bagi menentukan nasib orang Melayu khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya.

Perjumpaan kita hari ini diselubungi oleh suasana sedih dan pilu. Sedih kerana kehilangan seorang menteri yang telah banyak berjasa kepada UMNO dan negara. Kemalangan kapal terbang MAS di Tanjung Kupang, Johor yang telah mengorbankan 100 nyawa, sungguh mengejut dan mengharukan kita semua. Oleh itu sempena dengan perjumpaan kita yang bersejarah ini, marilah kita beramai-ramai mendoakan semoga Allah s.w.t mencucuri rahmatnya ke atas roh Allahyarham Dato’ Seri Ali bin Haji Ahmad serta lain-lain roh orang yang telah terkorban dalam kemalangan itu.

Sebelum saya menyebut perkara penting dalam perjumpaan ini, marilah kita menoleh sejenak ke belakang mengkaji semula dengan secara ringkas perkembangan yang telah berlaku sehinggalah keperjumpaan yang diadakan pada petang ini.

Saya tidaklah berhajat hendak menerangkan kemajuan dan kejayaan UMNO yang telah lalu atau kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh Perikatan sejak ia ditubuhkan. Kesemuanya ini ada dalam pengetahuan tiap-tiap ahli UMNO. Demikianlah juga dengan hasrat dan tujuan menubuhkan Barisan Nasional yang telah menyatupadukan sehingga ke hari ini sebelas buah parti politik yang yang sebilangannya telah menentang UMNO pada masa sebelumnya.

Sesungguhnya UMNO telah membuat membuat banyak pengorbanan politik bagi memenuhi hasrat dan matlamat Barisan Nasional. Walaupun perjalanan kita masih jauh dan penuh dengan liku-liku tetapi Barisan Nasional telah dapat menumpukan sepenuh tenaga memupuk dan menyuburkan semangat kerjasama dan persefahaman dalam melaksanakan rancangan pembangunan, membawa kemakmuran dan kebahagiaan kepada rakyat berbilang kaum.

Barisan Nasional berazam akan terus dengan penuh keberanian dan dengan usaha yang lebih bersungguh-sungguh mewujud dan mengeratkan perpaduan. Dengan sokongan rakyat saya percaya Barisan Nasional akan mencapai kejayaan.

Barisan Nasional merupakan satu federasi yang longgar kerana tiap-tiap parti yang bergabung ingin mengekalkan identiti partinya masing-masing. Tetapi parti-parti komponen adalah terikat dengan semangat ingin bekerjasama, saling mengerti sesama sendiri dan yang paling penting sekali ialah mematuhi disiplin parti.

Semangat kerjasama dan persefahaman adalah penting bagi menyelesaikan masalah negara. Ia lebih berharga dengan membuktikan dalam amalan daripada semata-mata mengadakan perakuan-perakuan sahaja tetapi tidak dipraktikkan.

Inilah caranya Barisan Nasional bergerak selama ini dari semenjak ia ditubuhkan. Hasil kejayaan penubuhan Barisan Nasional telah dapat dilihat dengan nyata apabila parti ini mencapai kemenangan yang paling gemilang dalam pilihan raya tahun 1974. UMNO yang paling mempelopori gabungan ini serta memastikan ia dapat terus wujud kukuh dan teguh supaya pembangunan negara dapat diselenggarakan dengan lebih licin, sempurna dan jayanya.

Parti-parti politik yang bercorak gabungan seperti Barisan Nasional ini sudah pasti sekali-sekala menghadapi masalah. Pertentangan pendapat dan perbezaan cara mendekati dan menyelesaikan sesuatu masalah merupakan satu perkara biasa yang memang diramalkan dari mula-mula lagi.

Peristiwa perpecahan parti komponen Barisan Nasional di Sabah merupakan kejadian pertama yang telah berlaku. Walaupun perkara ini belum dapat diselesaikan dengan sepenuhnya tetapi Insya Allah penyelesaian terakhir akan dapat dibuat dengan secara beransur-ansur. Pergolakan yang sedang kita hadapi di Kelantan sekarang merupakan peristiwa kedua. Perkara ini besar, yang berkehendakkan pengkajian dan pertimbangan yang serius kerana ia melibatkan soal pokok.

Sebagaimana kita maklum, Dato’ Haji Mohamad Nasir telah dipilih menjadi Menteri Besar hasil daripada persefahaman dan semangat tolak ansur di antara Allahyarham Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Ketua Barisan Nasional di masa itu dengan pucuk pimpinan PAS yang mempunyai suara majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan. Semangat tolak ansur seperti ini patut sentiasa wujud, digalak dan dikekalkan. Ia merupakan faktor utama bagi mengekal dan menjamin perpaduan dalam Barisan Nasional.

UMNO tidak berhajat dan tidak mahu mencampuri langkah-langkah pimpinan PAS melucutkan jawatan Dato’ Haji Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan semata-mata kerana menghormati kehendak-kehendak pucuk pimpinan PAS mendakwa perkara itu merupakan soal rumah tangga PAS. UMNO menganggap perkara itu sebagai masalah Barisan Nasional. Langkah itu juga telah diambil oleh pucuk pimpinan dengan tidak ada sedikit pun perundingan dengan pucuk pimpinan Barisan Nasional terlebih dahulu.

UMNO tidak dapat menyokong langkah yang diambil oleh pucuk pimpinan PAS dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 15 Oktober itu bukan kerana UMNO tidak dibawa berunding, tetapi kerana UMNO tidak tahu sebab atau diberitahu sebab-sebab mengapa Menteri Besar Dato’ Haji Mohamad Nasir dilucutkan daripada jawatannya. Oleh itu sikap berkecuali yang telah diambil oleh UMNO itu adalah satu tindakan yang munasabah. Tambahan pula UMNO masih lagi berharap hendak mengekalkan perpaduan dengan PAS.

Malangnya peristiwa melucutkan jawatan Menteri Besar itu dengan tidak disangka-sangka telah mencetuskan kejadian yang buruk. Peristiwa yang telah mengakibatkan kecederaan sebilangan orang yang tidak berdosa, kemusnahan harta benda dan boleh mengancam nyawa dan keselamatan rakyat telah juga mengancam keselamatan negeri Kelantan. Jika keadaan ini tidak dikawal segera ia akan melibatkan keselamatan negara seluruhnya.

Sebagai Perdana Menteri saya bertanggungjawab di atas keselamatan negara dan kebajikan rakyat, saya terpaksa mengambil langkah yang tegas. Keadaan darurat telah diisytiharkan bagi negeri Kelantan. Satu undang-undang dirangka yang meletakkan kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan. Langkah-langkah ini diambil pada masa menteri-menteri dari Parti PAS masih lagi bersama-sama kita dalam jemaah Menteri. Rang Undang-Undang ini kemudiannya telah diluluskan oleh Parlimen.

Kerajaan Darurat terpaksa ditubuhkan di Kelantan dengan tidak mengira siapakah yang menjadi parti pemerintahnya. Sama ada ia dari parti lawan ataupun parti kawan tidaklah penting kerana yang pentingnya ialah keselamatan dan kebajikan rakyat Kelantan sendiri. Saya memanglah sentiasa meletakkan kepentingan keselamatan di atas segala-galanya.

Memang benar demokrasi telah mati di Kelantan. Tetapi rakyat Kelantan telah dapat terus hidup dengan penuh keyakinan di atas keselamatan dan masa depan mereka. Demokrasi di Kelantan tetap akan dipulihkan sebaik-baik sahaja keadaan mengizinkan.

Bukti nyata kita semua telah dapat nikmati sekarang dimana pemerintahan NOC atau Mageran tahun 1969 telah dimansuhkan dan kita telah kembali kepada pemerintahan demokrasi. Tempoh dan lama masa berjalannya kerajaan darurat di Kelantan itu hanya dikehendaki sekadar yang wajib sahaja.

Lebih pendek adalah lebih baik. Kerajaan Pusat berikrar akan memulihkan kembali pemerintahan demokrasi seberapa segera yang boleh. Sebagaimana kita semua sedia maklum bahawa parti PAS yang mempunyai anggota di Dewan Undangan yang lebih ramai akan tetap memegang teraju pemerintahan negeri itu semula dan bukanlah UMNO.

Malang sekali tujuan baik Kerajaan Pusat dan rang Undang-undang yang telah mendapat persetujuan daripada Parlimen itu telah sengaja disalah faham dan disalahtafsirkan oleh pucuk pimpinan PAS. Semua wakil rakyat PAS, telah menyokong rang undang-undang penubuhan kerajaan Darurat di Kelantan itu.

Biarlah saya bersalah dalam tindakan saya mengadakan undang-undang itu. Tetapi saya tidak sanggup memikul dosa yang lebih besar dengan membiarkan berlakunya pertumpahan darah, pengorbanan nyawa, kecederaan dan kemusnahan harta benda. Sebagai Perdana Menteri saya tidak boleh memandang ringan perkara ini. Saya berkewajipan penuh melindungi nyawa rakyat.

Tindakan saya ini telah disambut baik dan disokong oleh sebahagian besar penduduk dan rakyat Kelantan sendiri. Saya tidak faham kenapa pucuk pimpinan PAS tidak mahu menyokongnya. Saya tahu tidak semua ahli PAS bersetuju dengan tindak tanduk pucuk pimpinannya. Sebenarnya UMNO juga memerlukan kerjasama PAS dan tidak sekali-kali meragukan penyertaan PAS tetapi yang kita sangsikan ialah sikap dan pendirian pucuk pimpinannya.

Perbuatan pucuk pimpinan PAS menentang arahan parti anggota Barisan Nasional sama ada di dalam atau pun diluar dewan ini dimasa akan datang. Jika semangat kerjasama dan saling mengerti ini luntur dan disiplin parti diketepikan, akibatnya Barisan Nasional akan hancur. Kita semua tahu bahawa disiplin merupakan rahsia perpaduan dan kekuatan Barisan Nasional selama ini.

Disiplin adalah paling mustahak dalam penghidupan manusia dan hendaklah diutamakan. Mengenakan disiplin di atas diri sendiri pun merupakan perkara penting, apatah lagi masyarakat atau pertubuhan seperti parti-parti politik.

Satu daripada sebab-sebab kejayaan UMNO selama selama ini ialah kerana ahli-ahlinya mematuhi disiplin parti serta menghormati dan menjunjung tinggi peraturan yang ditetapkan. Parti-parti yang ahlinya tidak patuh kepada disiplin akan membawa kehancuran kepada parti itu sendiri.

Soal mengenai siapa yang bersalah sehingga mengakibatkan tercetusnya kejadian buruk di Kelantan itu tidaklah berfaedah dibangkitkan. Tetapi perkara yang paling penting dan yang patut diutamakan ialah melindungi nyawa rakyat terlebih dahulu. Sebagai Perdana Menteri, saya mengetahui dengan sedalam-dalamnya masalah keselamatan dalam negeri. Saya mesti bertindak sewajarnya mengikut keadaan.

Saya telah pun menerangkan bahawa saya tidak menyebelahi mana-mana pihak yang terlibat dalam peristiwa Kelantan itu. Saya jalankan segala tindakan yang perlu bagi mengawal dan mententeramkan keadaan di atas sifat saya sebagai Perdana Menteri.

Yang bertanggungjawab di atas kepentingan, keselamatan dan kebajikan rakyat, bukan sahaja di Kelantan bahkan di seluruh tanah air kita. Inilah amanah yang telah bertanggungjawab oleh rakyat kepada saya. Saya tidak faham mengapa pucuk pimpinan PAS tidak tidak memahami hakikat ini. Soal keselamatan adalah satu perkara yang tidak boleh dijadikan tawar menawar.

Di bawah kuasa-kuasa darurat, Pengarah Kerajaan negeri Kelantan adalah bertanggungjawab kepada saya sebagai Perdana Menteri. Saya pula bertanggungjawab kepada Jamaah Menteri di mana menteri-menteri dari PAS menganggotainya.

Saya akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri dimana menteri-menteri dari PAS menganggotainya. Saya akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri dari masa ke semasa mengenai perkembangan dan kemajuan di negeri Kelantan masa itu menteri-menteri dari PAS boleh membangkitkan sebarang kemusykilan mengenainya. Sebaliknya mereka telah mengambil tindakan meletakkan jawatan beramai-ramai dari menyertai kerajaan.

Dalam masa kita sedang mencari-cari jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi mengatasi keadaan buruk yang tercetus di Kelantan itu, tiba-tiba pucuk pimpinan PAS menimbulkan lagi berbagai masalah lain dengan mengemukakan undi tidak percaya kepada beberapa orang Menteri Besar yang terdiri draipada ahli-ahli UMNO.

Di antara yang yang paling baru ialah di negeri Kedah. Menteri-menteri Besar boleh ditukar ganti tetapi apa yang meragukan ialah tentang sejauh mana keikhlasan pucuk pimpinan PAS melakukan perbuatan-perbuatan ini dengan tidak mahu berunding terlebih dahulu dengan kita.

Dimanakah letaknya semangat kerjasama pucuk pimpinan PAS dalam Barisan Nasional? Apakah salahnya jika perkara ini dirundingkan dengan kita terlebih dahulu? Jika kita sanggup merundingkan terlebih dahulu mengenai hal-hal negeri Kelantan dengan pucuk pimpinan PAS, mengapakah pucuk pimpinan PAS mahu membelakangkan kita mengenai hal di negeri-negeri yang lain?

Sungguh sukar sekali bagi kita hendak memahami tindak-tanduk pucuk pimpinan PAS ini. Setelah menimbulkan gejala-gejala ini, pucuk pimpinan PAS melahirkan hasrat hendak terus kekal dalam Barisan Nasional. Kita sungguh tidak faham dengan sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS ini.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah yang akan datang pada 17 Disember ini sudah pasti akan menimbulkan perbalahan yang hebat. Tidakkah pucuk pimpinan PAS sedar atas perkara ini?

Apakah tujuan pucuk pimpinan PAS membuat demikian? Bukankah ini semuanya merupakan gejala-gejala yang sengaja ditimbulkan dengan niat hendak memecah-belahkan Barisan Nasional? Di negeri Johor pula, pucuk pimpinan PAS di sana telah memberi amaran yang merupakan kata dua bahawa calon-calon PAS akan bertanding dalam semua kawasan pilihan raya menentang Barisan Nasional.

Dalam pilihan raya tahun 1974, UMNO sebenarnya menghadapi kesulitan kerana terpaksa bertolak ansur dengan memberikan beberapa kerusi baru dan kerusi-kerusi tambahan kepada PAS. UMNO terpaksa berbuat demikian semata-mata dengan tujuan hendak mewujud dan mengekalkan semangat kerjasama UMNO dengan PAS demi kepentingan dan faedah rakyat.

Pucuk pimpinan PAS telah juga memberi amaran bahawa kononnya lima buah negeri di Semenanjung Malaysia akan menerima nasib seperti di Pulau Pinang.

Agaknya mereka merujuk kepada peristiwa pilihan raya tahun 1969 dahulu jika sekiranya PAS meninggalkan atau dikeluarkan daripada Barisan Nasional. Ugutan dan ancaman seperti ini merupakan satu provokasi yang merbahaya. UMNO mempunyai maruahnya sendiri.

Kita sering kali juga mendengar desakan supaya pucuk pimpinan PAS mengkaji semula kedudukan PAS dalam Barisan Nasional, Perkara ini telah dibangkitkan dalam tiap-tiap Perhimpunan Agung PAS selama tiga tahun berturut-turut setelah PAS menyertai gabungan besar ini.

Penubuhan ranting-ranting PAS dalam kawasan-kawasan UMNO juga menimbulkan kecurigaan dan boleh membangkitkan salah faham di kalangan rakyat. Banyak lagi perbuatan dan tindakan pucuk pimpinan PAS yang meragukan.

Kita sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh memelihara perpaduan Barisan Nasional. Tetapi bagaimanakah perpaduan dapat dikekalkan jika ada pihak-pihak yang tidak mahu mengikuti peraturan dan tidak mahu mematuhi keputusan yang dipersetujui oleh ramai. Perpaduan yang hanya ada pada nama sahaja tidak membawa erti apa-apa tidak berfaedah.

Walaupun Barisan Nasional terpaksa berpecah, tetapi ini tidak bererti pembangunan akan terjejas dan terhenti. Pembangunan tetap akan berjalan terus. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mesti dijayakan dengan sepenuh-penuhnya. Inilah janji saya kepada rakyat sekalian.

Berikutan dengan berlakunya kejadian-kejadian ini, saya telah mengadakan sidang tergempar Dewan Tertinggi Barisan Nasional pada Disember 1977, Fasal 14, Perlembagaan Barisan Nasional membolehkan dengan suara majoriti memecat parti-parti ahli yang bergabung yang didapati melanggar disiplin. Tetapi Barisan Nasional sekali-kali tidak berniat hendak menggunakan Fasal tersebut bagi memecat PAS.

Barisan Nasional masih lagi, jika boleh, berkehendakkan PAS tinggal kekal dalam Barisan Nasional. Sungguhpun demikian, disiplin parti mesti dipelihara dan dipatuhi kalau kita mahu melihat Barisan Nasional hidup berpanjangan. Oleh itu satu usul yang merupakan suatu tolak ansur sebagai jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi meyelesaikan masalah ini telah dikemukakan dalam Dewan Tertinggi Barisan Nasional itu.

Tolak ansur ini merupakan usul yang berkehendakkan supaya parti-parti anggota yang ahli-ahlinya didapati menentang arahan parti whip mengenai sesuatu masalah yang dibentangkan di dalam dewan rakyat, dewan negara atau dewan negeri hendaklah mengambil tindakan disiplin terhadapnya dengan memecat mereka itu daripada parti masing-masing.

Apabila semangat kerjasama yang tulus ikhlas itu luput dan disiplin parti telah diketepikan, Barisan Nasional sudah tentu akan pecah dan musnah. Jika ini berlaku tentulah tidak berguna lagi. Eloklah kekusutan yang berlaku ini diselesaikan sekarang juga kerana jika dibiarkan berlanjutan akan merugikan parti dan rakyat.

Daripada sebelas parti anggota dalam Barisan Nasional, sembilan telah menyokong, PPP berkecuali dan PAS menentang usul itu. Keputusan suara terbanyak ini telah dimaklumkan dengan secara rasmi kepada pucuk pimpinan PAS.

Memandangkan betapa pentingnya masalah yang kita hadapi, saya telah mengadakan mesyuarat khas majlis Tertinggi UMNO malam tadi. Majlis tertinggi UMNO telah membincangkan dengan teliti segala akibatnya terutama sekali tentang sikap pucuk pimpinan PAS yang ada sekarang, yang terang-terang menggugat perpaduan Barisan Nasional khususnya dan perpaduan orang Melayu amnya. Kami berpendapat bahawa haruslah diwujudkan kesungguhan dan keikhlasan bagi memperkukuhkan Barisan Nasional.

Memandangkan kepada perbuatan, sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS selama ini, UMNO berpendapat kerjasama yang erat tidak mungkin dapat terus wujud di antara UMNO dengan PAS dalam Barisan Nasional.

Oleh yang demikian, bagi mengelakkan pertelingkahan ini berpanjangan, yang akhirnya akan membawa perpecahan kepada Barisan Nasional, Majlis Tertinggi UMNO telah dengan perasaan amat dukacita mengambil pendirian, jika pucuk pimpinan PAS tidak mematuhi dan mengambil tindakan sebagaimana yang dikehendaki di dalam Mesyuarat Dewan Tertingginya pada 5 Disember yang lalu, UMNO akan meminta diadakan mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional supaya dipersetujui resolusi memecat PAS daripada Barisan Nasional.

Pagi ini saya telah menyampaikan pendirian UMNO itu kepada ketua-ketua parti anggota Barisan Nasional. Ketua-ketua parti anggota Barisan Nasional dalam perjumpaannya pagi ini telah bersetuju supaya mesyuarat khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional diadakan pada 13 Disember yang akan datang ini.

Inilah tujuan kami mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua bahagian UMNO petang ini bagi menjelaskan pendirian yang telah diambil oleh Majlis Tertinggi UMNO itu.

UMNO sudah membuat keputusan dan menentukan pendiriannya. Keputusan dan pendirian itu adalah dibuat dengan hati yang suci, demi kepentingan Barisan Nasional dan negara. Saya yakin dengan kesucian hati kita itu, Allah akan memberkati perjuangan kita.

Saya merayu kepada semua ahli UMNO supaya bertenang dan terus menjalankan tanggungjawab kita dengan lebih berhati-hati lagi, lebih bersungguh-sungguh lagi dan lebih berdedikasi lagi. Masa hadapan Barisan Nasional penuh dengan cabaran. Kita akan menghadapinya dengan meminta petunjuk dan keredhaan Allah.

Dengan ini maka kita menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada Allah."

TUN HUSSEIN ONN.
PERDANA MENTERI MALAYSIA
19 DISEMBER 1977

Sumber : Taiping Mali
Suara Politik
Taminsari

Selasa, Julai 20, 2010

Perpaduan Islam : Sampai bila PAS hendak memusuhi UMNO!























Dalam menuju alaf baru ini, banyak perkara yang patut diambil kira oleh masyarakat Malaysia. Di samping berusaha berusaha menjadi sebuah negara yang serba membangun dalam bidang ekonomi, teknologi maklumat, sains dan teknologi, soal-soal dasar survival negara patut menjadi suatu hal penting dalam agenda kita.

Dalam hal ini, orang Melayu perlu berbuat sesuatu untuk menguatkan perpaduan mereka, walaupun dalam masa yang sama perbezaan pendapat politik di antara mereka tetap ada. Perpecahan mutlak di antara mereka akan membawa kehancuran kepada kedudukan dan kuasa politik yang dimiliki. Perpecahan di antara golongan kanan dan kiri Melayu antara 1946-1948 dan perpecahan ulama UMNO daripada badan induknya untuk membentuk Parti Islam Se-Malaya pada 1951, patut menjadi teladan.

Jika dilihat keadaan senario politik negara sekarang, perpecahan umat Islam sudah semakin membimbangkan. Umat Islam Melayu sudah berpecah kepada tiga! Soal mementingkan pendapat sendiri ataupun menegakkan kepentingan sekumpulan kecil pemimpin Melayu sehingga perpecahan politik Melayu menjadi begitu ketara, patut dielakkan.Tanpa parti yang mengutamakan kepentingan Melayu sebagai modus operandinya, seperti di Singapura, nasib orang Melayu pada masa depan akan terancam. Tanpa ada parti yang kuat untuk menjadi wakil orang Melayu dalam setiap pilihanraya kebangsaan,kuasa politik yang tinggal sedikit ini akan musnah. Atas kesedaran ini UMNO dapat terus bertapak selama 64 tahun dalam politik negara ini.

Pergelutan politik Melayu secara tegas bermula dengan perebutan kuasa sebagai wakil politik Melayu kepada British, apabila Malayan Union diperkenalkan pada Januari 1946. Golongan kiri dan kanan cuba sedaya upaya bekerjasama dengan British supaya penjajah itu menerima mereka sebagai wakil orang Melayu. Malah, ada pihak telah bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya demi untuk mengalahkan lawannya walaupun kepentingan bangsa Melayu menjadi taruhannya.

Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada Oktober 1945 di Ipoh , Perak atas anjuran Parti Komunis Malaya, cuba menyatukan orang Melayu dalam politik. Dalam dasar Malayan United Front, Parti Komunis Malaya cuba menyatukan semua bangsa di Tanah Melayu untuk menyokong ideologi komunisme sebagai satu alternatif kepada sistem politik beraja yang dimiliki oleh masyarakat dan kerajaan negeri-negeri Melayu.

British pula cuba memperkenalkan sistem kerajaan republik dan unitary state kepada Tanah Melayu melalui Malayan Union. Segala sistem politik Melayu yang diterima oleh British sebelum Perang Dunia Kedua dihapuskan dengan meletakkan seorang Gabenor yang bertanggungjawab terus kepada Raja England.Tekanan dua kuasa besar ini menyedarkan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu terhadap perlunya mereka bersatu tenaga dalam sebuah gerakan politik yang bersifat kebangsaan.

Soal parokialisme atau kenegerian yang menguasai politik orang Melayu selama ini cuba dilupakan. Seruan untuk bersatu itu mengatasi sempadan politik yang menguasai orang Melayu Semenanjung sejak awal kurun ke 20. Kongres Melayu 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada 1-4 Mac 1946 di bawah pimpinan Datuk Onn Jaafar, menjadi benteng perpaduan Melayu yang memeranjatkan British dan pemerhati politik masa itu.

Perhimpunan bangsa Melayu yang paling bersejarah itu bersetuju menubuhkan UMNO, yang dirasmikan di Istana Besar Johor Bahru pada 11 Mei 1946. UMNO dengan itu menjadi suara padu orang Melayu menentang Malayan Union. Parti radikal Melayu iaitu PKMM turut sama hadir untuk menubuhkan UMNO di Johor Bahru. Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Presiden PKMM sama-sama menandatangani Piagam UMNO 1946, Perlembagaan UMNO yang pertama. Inilah perpaduan yang pertama dan terakhir bangsa Melayu yang pernah dicatat oleh sejarah.

Namun , perpaduan ini tidak disenanagi oleh Parti Komunis Malaya. Berbagai-bagai helah dilakukan untuk memecahkan perikatan UMNO-PKMM ini. Melalui beberapa pemimpin kedua PKMM, Parti Komunis Malaya menjalankan jarumnya untuk menjadikan PKMM sebuah parti yang sentiasa tidak puas hati dengan pucuk pimpinan UMNO.

Hal pertama yang dibangkitkan ialah soal pendekatan politik UMNO. Pendekatan politik UMNO yang sederhana dan suka berunding itu dianggapnya kolot. Keduanya, UMNO dibidas kerana tidak menuntut kemerdekaan penuh daripada British; matlamat UMNO yang hanya mahu status quo tradisional Melayu ( kedudukan peribumi dan pengembalian takhta Raja-Raja Melayu ) dihidupkan semula sebelum menuntut kemerdekaan, dianggap terlalu remeh.

PKMM lebih suka sebuah republik dan kerakyatan sama rata kepada semua penduduk Tanah Melayu. UMNO dituduh tidak progresif. PKMM juga membangkitkan soal ketidakadilan UMNO dalam memberi undi/suara kepada parti besar dalam pengundian UMNO, ini tercetus dalam dalam soal pemilihan bendera UMNO. PKMM juga mempersoalkan kepimpinan UMNO yang terus dikuasai oleh golongan feudalis dan bukan rakyat biasa. Kesemua sungutan PKMM disebarkan dalam akhbar rasminya Pelita Malaya, yang berpusat di Kuala Lumpur. Musuh utamanya ialah Majlis yang menjadi jurucakap UMNO.

Parti Komunis Malaya secara terbuka menyokong PKMM dengan menuduh UMNO memanjangkan penjajahan British, tidak progresif dan feudalistic. Melalui desakannya, PKMM menarik diri dari UMNO pada Jun 1946, setelah hanya tiga bulan bekerjasama. Selepas penarikan itu, kerjasama di antara keduanya dipertingkatkan. UMNO dibidas bukan sahaja oleh Pelita Malaya, tetapi juga oleh Malaya Tribune yang memang bersimpati dengan gerakan radikal dan komunisme.

Pengaruh Parti Komunis Malaya terus mencengkam PKMM apabila kepimpinan Dr. Burhanuddin yang sederhana tidak disenanginya. Melalui dua kumpulan berbeza, iaitu kumpulan komunis PKMM dan golongan radikal Melayu PKMM, Parti Komunis Malaya berjaya meletakkan Ishak Mohamad sebagai Presiden PKMM manakala Dr. Burhanuddin hanya menjadi penasihat. Dengan kepimpinan lebih radikal, PKMM lebih cergas menentang UMNO.

Keupayaan UMNO bersama Raja-Raja Melayu meminta British membubarkan Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu merancakkan permusuhan PKMM dengan UMNO. Dengan sokongan AMCJA ( All Council of Joint Action ) yang berpusat di Singapura yang diketuai oleh Tan Cheng Lock dan Parti Komunis Malaya, PKMM mengubah nama kepada PUTERA. Dengan nama dan kerjasama itu, golongan anti UMNO menegakkan prinsip demokrasi dan kerajaan republik serta membidas Perjanjian Persekutuan tidak demokratik dan progresif.

Kerakyatan jus soli kepada orang Melayu dianggap satu diskriminasi kepada bangsa lain. Kedudukan istimewa Melayu dipersoalkan. Pemulangan takhta dan negeri kepada Raja-Raja Melayu juga dibantah. Perjanjian Persekutuan 1948 dianggap pro-Melayu. Ia juga dianggap tidak progresif kerana kerana suara rakyat dan pilihanraya tidak diperkenalkan.

Konsep Malayan Malaya menjadi pegangan PUTERA dan sekutunya. Mereka mengemukakan perlembagaan 10 perkara untuk menentang UMNO, Raja-Raja Melayu dan British yang dinamakan Perlembagaan Rakyat. Ternyata prinsip utama sistem politik Melayu sebagai dasar politik Tanah Melayu ditolak oleh PUTERA-AMCJA-Parti Komunis Malaya, dan mendesak sistem politik sama rata diwujudkan. Kegagalan mendapatkan kedudukan politik sama rata itu telah menyebabkan pemulauan perniagaan diadakan diseluruh Tanah Melayu dan Singapura. Bagaimanapun, ini gagal mengubah pendirian British, Raja-Raja Melayu dan UMNO.

Perjanjian Persekutuan 1948 yang ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu pada 21 Januari 1948 itu mengesahkan kejayaan UMNO dan mengetepikan PKMM/PUTERA sebagai wakil politik orang Melayu dalam kerajaan British. Parti Komunis Malaya yang gagal mendapatkan kuasa melalui cara perlembagaan, mengadakan pemberontakan bersenjata. British dan orang Melayu menentangnya sehingga 1960. Kekuatan perpaduan orang Melayu sederhana secara langsung mengalahkan golongan radikal kiri.

Parti Komunis Malaya juga menggunakan ulama yang bekerjasama dengan PKMM untuk menentang kekuatan perpaduan orang Melayu dalam UMNO. Berpusat di Gunung Semanggol, Padang Rengas, Perak, kumpulan radikal agama dan PKMM menubuhkan beberapa organisasi ekonomi, pelajaran dan agama untuk memberi alternatif kepada UMNO. Kepada golongan ulama radikal ini, UMNO hanya memperjuangkan kepentingan pembesar dan Raja-Raja Melayu tanpa membela nasib rakyat bawahan yang masih miskin, kurang pendidikan dan terbiar.

Walaupun ini tidaklah begitu tepat kerana UMNO juga mempunyai program-program untuk membaiki pendidikan, ekonomi, perniagaan dan soal kebajikan yang lain, tetapi bagi golongan radikal ini adalah pentas politik alternatif untuk menentang UMNO. Penubuhan Hizbul Muslimin sebagai sebuah parti politik Islam pada Mac 1948, memang merupakan tandingan terbuka kepada UMNO. Perpecahan Melayu kepada fahaman kanan, kiri/ radikal serta ulama menguntungkan Parti Komunis Malaya. Dengan begitu yakin ia melancarkan pemberontakan kerana kelemahan perpaduan orang Melayu.

Pengharaman parti-parti radikal Melayu dan Parti Komunis Malaya pada Julai 1948 dibawah Undang-Undang Darurat, telah meninggalkan parti UMNO sebagai parti tunggal dan penting untuk orang Melayu. UMNO cuba menyatukan semula orang Melayu dengan membuka pintunya kepada bekas-bekas ahli API, PKMM, AWAS, BATAS, sebagai ahli UMNO. Kemasukan mereka menyebabkan slogan Hidup Melayu ditukar kepada Merdeka pada awal 1951 sebagai tanda perubahan matlamat perjuangan UMNO.

Keduanya, UMNO menubuhkan Perikatan Pemuda UMNO pada 1949 dengan tujuan menyatukan semua tenaga pemuda Melayu ke dalam UMNO. Ini juga melahirkan satu arena politik baru bagi bekas-bekas penyokong golongan radikal/kiri.Ketiganya, menyerap semua tenaga ulama, terutama yang beraliran radikal ke dalam UMNO. Persidangan ulama pertama dan kedua diadakan di kuala Lumpur dan Muar pada tahun 1950 dan 1951. Dalam persidangan di Kuala Lumpur, Persatuan Ulama Malaya ditubuhkan bagi memberi cadangan untuk kemajuan masyarakat Melayu.

Ini termasuklah soal penyelarasan pentadbiran Islam, penubuhan Universiti Islam dan lain-lain lagi.UMNO dengan itu telah menjadi parti yang sempurna sebagai tonggak politik Melayu. Namun, perbezaan idea dan permainan politik British, bukan Melayu dan rebutan kuasa pemimpin memecahkan UMNO kepada tiga parti besar. Datuk Onn meninggalkan UMNO untuk menubuhkan IMP. Persatuan Ulama Malaya pimpinan Ahmad Fuad membawa diri sebagai sebuah organisasi politik ulama dan dalam Mesyuarat September 1951 di Seberang Perai, persatuan itu menjadi Parti Islam Se-Malaya (Pas).

IMP kemudian menjadi Parti Negara, yang menjadi lemah dengan kematian Dato Onn pada 1962. Namun, Pas kekal sebagai parti saingan UMNO hingga kini.Perpecahan memang tidak akan menguntungkan survival bangsa Melayu terutama dalam masyarakat majmuk yang menggunakan sistem demokrasi dan Parlimen sebagai alat pentadbiran dan politiknya.

Keterbukaan yang tidak bertempat, perebutan kuasa dan kelalaian kepada perjuangan utama, tanpa mengambil kira kehidupan generasi Melayu akan datang dan perpecahan yang berlarutan akan menjadi senjata makan tuan kepada orang Melayu. Semangat bulan Mac 1946 patut menjadi indeks politik masyarakat Melayu Malaysia. Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.”Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Ahad, Julai 18, 2010

Wujud penyelewengan pembelian pasir oleh KSSB - Noh Omar!

Pewujudan syarikat tunggal Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) menguruskan pasir dari tanah-tanah kerajaan menjadi KSSB tidak kompetitif, tidak telus dan tidak bertanggungjawab. KSSB di beri hak eksklusif oleh pentadbiran kerajaan negeri untuk melombong pasir di negeri ini. Di lihat kerajaan negeri cuba mewujudkan monopoli dalam industri pasir. KSSB tidak takut hilang perniagaan kerana mereka tidak mempunyai pesaing dalam industri ini.

Akibat kegiatan mencuri pasir yang berleluasa sekarang di lihat kerajaan negeri gagal menunai janji untuk mengutip hasil pasir negeri bernilai RM150 juta tahun 2009. Janji sasaran kutipan RM 150 juta hasil pasir ini jelas disebutkan dalam ucapan bajet 2009 Dato’ Menteri Besar. Namun ketika bentang bajet 2010 pada November 2009, YAB MB menyatakan sehingga 21 Oktober 2009, hasil daripada royalti pasir yang diperolehi hanya RM 4,678,021.84. Ini hanya 3 % sahaja dari jumlah sasaran. Ia tersasar jauh, bagai langit dengan bumi.

Menteri Besar mendakwa kewujudan hanya satu syarikat boleh membendung aktiviti mencuri pasir. Persoalan mengapa masalah kecurian pasir masih berleluasa dan kerap dilaporkan? Antaranya dakwaan kegiatan curi pasir di belakang kampus Unisel, Lembangan Sungai Langat di Kuala Langat dan Dengkil, Sepang. Malah ada laporan polis dan dakwaan kecurian pasir menggunakan lori KSSB di mana KSSB merayu atas kompaun akibat “kesalahan mengeluar bahan batuan tanpa wibawa yang sah” misalnya di Kuala Selangor. SPRM turut menahan setiausaha sulit seorang Exco kerajaan negeri bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan kelulusan kontrak perlombongan pasir dan lawatan ke China.

Ketika mendedahkan perkara ini, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar hari ini mendakwa mempunyai bukti wujud penyelewengan dan amalan pilih kasih oleh anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam menawarkan pembelian pasir kepada syarikat kontraktor.

Beliau mendakwa, daripada maklumat yang diperolehnya, sebuah syarikat diberikan diskaun sebanyak 22 peratus atau RM4.00 bagi pembelian satu tan pasir yang berharga RM17.50 sementara syarikat-syarikat lain hanya diberi potongan 50 sen sahaja bagi setiap tan pasir yang dibeli."Atas keistimewaan ini, saya difahamkan syarikat itu telah mengambil kesempatan dengan menjadi broker penjualan pasir kepada syarikat-syarikat lain dan membuat keuntungan besar.

"Adakah syarikat itu menjadi proksi mana-mana parti politik. Apa muslihat kerajaan negeri sehingga beri cukup keistimewaan kepada syarikat itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mendakwa KSSB turut memberi kemudahan kredit kepada sebuah syarikat dan lima kontraktor untuk mengorek pasir pasir tanpa perlu membayar deposit.

"Syarikat-syarikat terbabit menyalahgunakan keistimewaan itu dengan tidak membayar kepada KSSB selepas mengorek pasir. Sikap pilih kasih ini juga menyebabkan KSSB hanya jadi alat dan kuda tunggangan kepada syarikat-syarikat tertentu,” katanya. Noh mendakwa KSSB juga membenarkan pihak kontraktor memproses dan menjual pasir halus di kawasan melombong tetapi mengeluarkan resit yang menyatakan bagi pengeluaran pasir kasar.

Namun kata Noh terdapat juga kemungkinan ada-ada unsur penipuan kepada Pejabat Tanah oleh pihak KSSB dalam soal pembayaran doket pasir. KSSB membayar doket kepada Pejabat Tanah sebanyak RM3.00/tm. Mengambil contoh bukti penipuan yang berlaku di Lot 19439 di Rawang pada tahun 2009. KSSB membayar sebanyak RM 30 ribu untuk pengeluaran 10,000 tm pasir dengan kadar bayaran RM3.00 bagi setiap 1 tm.

KSSB pula mengenakan bayaran doket kepada sebuah syarikat kontraktor sebanyak RM8.00 bagi setiap 1 tm. Bukti yang didapati adalah syarikat berkenaan telah membayar KSSB sejumlah RM116,400 bagi pengeluaran 14,550 tm pasir 4550 tm daripada apa yang diistiharkan oleh pihak KSSB kepada Pejabat Daerah Gombak. Ini bermakna pihak KSSB telah menipu Pejabat Tanah Gombak!

Lebih memburukkan, KSSB turut mengawal kutipan doket pasir yang dahulu dibuat oleh pejabat tanah daerah. Pihak swasta telah ambil alih peranan kerajaan. Ini lebih mendedahkan pada amalan rasuah dan penyelewengan. Kerajaan negeri sepatutnya mengambil tindakan dengan memberhentikan pemberian permit pasir sekiranya mereka ingin menyelesaikan masalah pasir dengan telus dan bukan menyalahkan kerajaan Persekutuan atas kegagalan mereka. Jalan yang terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah membubarkan KSSB dan melantik semula pejabat tanah untuk mengutip hasil pasir negeri.

Suara Politik
Taminsari

Jumaat, Julai 16, 2010

Komplot PERKASA CINA : Adakah DAP Parti Pelbagai Kaum?

Benarkah hipotesis bahawa Pilihan Raya Umum Ke-12 telah mengubah landskap politik Malaysia secara monumental dengan menjadikan parti-parti politik yang berasaskan kaum seperti UMNO, MCA dan MIC tidak lagi relevan?

Untuk mengesahkan kebenaran atau kepalsuan hipotesis itu, maka rakyat Malaysia perlu mengkaji sama ada parti-parti yang hari ini mendakwa mereka bersifat pelbagai kaum adalah tulen dakwaannya dan bukan semata-mata bersifat pelbagai kaum secara kosmetik.

Oleh itu mari kita meletakkan sebuah parti politik tempatan yang amat gah mendakwa bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa bahawa ia adalah parti politik untuk semua kaum di Malaysia di bawah mikroskop sebagai bahan kajian. Parti yang dimaksudkan adalah Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Slogan Malaysia untuk orang Malaysia atau Malaysian Malaysia adalah asas perjuangan DAP. Di bawah konsep ini DAP menentang hak istimewa yang berasaskan kaum dan memperjuangkan sistem meritokrasi di mana pembahagian sumber hendaklah kepada individu yang terbaik, paling berkebolehan, rajin dan yang tercekap.

Sekali pandang amat muluk matlamat perjuangan DAP, namun kita harus mengkaji sama ada kemulukan slogan memperjuangkan kepentingan semua kaum diikuti dengan pelaksanaanya. Pertama mari kita lihat sama ada dilihat dari segi keahliannya DAP memenuhi kriteria pelbagai kaum atau hanya beretorik.

Statistik menunjukkan bahawa pecahan penduduk Malaysia mengikut kaum adalah 65.1 peratus daripada etnik Melayu dan bumiputera, 26 peratus etnik Cina dan 7.7 peratus etnik India. Maka untuk sesebuah parti mengaku bersifat pelbagai kaum parti berkenaan haruslah tidak mempunyai keanggotaan satu kaum melebihi 50 peratus dari keseluruhan keahlian parti tersebut. Oleh kerana tidak ada sebarang statistik pecahan keahlian DAP mengikut kaum, maka kita boleh membuat ujian terhadap sifat kepelbagaian DAP dengan meninjau barisan kepemimpinannya.

Kajian yang dibuat berdasarkan maklumat yang terkandung di laman web DAP menyaksikan dari 30 orang ahli jawatankuasa pusatnya, 22 (73 peratus) adalah terdiri daripada kaum Cina, 6 (20 peratus) adalah kaum India dan hanya 2 (7 peratus) adalah orang Melayu. Jelas barisan kepemimpinan DAP tidak membuktikan ia sebuah parti yang bersifat pelbagai kaum.

Untuk berlaku adil kepada DAP oleh kerana dari segi statistik kepemimpinannya DAP tidak membayangkan ia sebuah parti politik untuk semua kaum di Malaysia, maka marilah kita melihat pula kepada corak perjuangan parti berkenaan manalah tahu jikalau perjuangannya membuktikan ia sebuah parti untuk semua kaum sepertimana slogannya Malaysia untuk orang Malaysia. Sudah tentu semua rakyat Malaysia bermaksud untuk orang Melayu, kaum bumiputera, Cina, India dan kaum-kaum lain di Malaysia.

Persepsi

Tetapi apabila melihat isu-isu yang diperjuangkan parti DAP akan semakin terbukti bahawa bagi DAP slogan Malaysia untuk orang Malaysia tidak termasuk untuk orang Melayu. Persepsi ini timbul kerana apa yang dilihat sebagai penentangan DAP terhadap segala simbol kemelayuan yang terdapat kehidupan bernegara kita.

Contohnya keputusan memakai atau tidak memakai songkok telah dijadikan polemik oleh DAP. Perkara ini berlaku walaupun memakai songkok telah menjadi sebahagian pakaian formal bagi majlis yang melibatkan raja-raja Melayu sebagai tanda kesopanan. Persepsinya DAP melihat songkok sebagai tanda dominasi orang Melayu.

Walaupun setelah menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran di Selangor dan Perak ( negeri beraja ) di mana anggota DAP yang menjadi anggota pentadbiran terpaksa memakai songkok namun masih terdapat penentangan seperti yang berlaku di Johor.

Soalan cepu emas yang perlu ditanya oleh orang Melayu dan perlu dijawab secara jujur oleh DAP ialah adakah pernah pada sebarang masa badan pembuat dasar tertinggi DAP iaitu Jawatankuasa Pusatnya mengeluarkan arahan melarang pemakaian songkok, adakah larangan ini masih berkuat kuasa dan kenapa ia berlaku. Begitu juga tindakan DAP yang lantang menentang sebarang usaha untuk mengkelaskan Malaysia sebagai negara Islam walaupun Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi bagi Malaysia.

Kenapa terdapat kedegilan di pihak DAP untuk terus mempertahankan status Malaysia sebagai negara sekular? Selain usaha untuk menyempitkan signifikan peruntukan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan DAP juga menentang peruntukan Perkara 121 (1A) yang tidak membenarkan campur tangan mahkamah sivil di dalam apa yang menjadi bidang kuasa mahkamah syariah. Kedua-dua peruntukan perlembagaan ini menjadi teras kepada status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Walaupun bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara dan sekolah kebangsaan adalah sekolah untuk semua kaum DAP dikenali sebagai parti yang paling lantang memperjuangkan bahasa dan sekolah Cina. Begitu kerasnya pendirian DAP di dalam persoalan bahasa dan pendidikan ini sehingga mereka menentang pengajaran matapelajaran sains dan matematik di dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan penubuhan sekolah wawasan yang pernah dicadangkan kerajaan satu ketika dahulu.

Bukan sahaja kepentingan agama, bahasa dan pendidikan orang Melayu tidak diperjuangkan oleh DAP malah ia ditentang hebat oleh parti berkenaan. Begitu juga hak-hak istimewa orang Melayu juga ditentang oleh DAP kerana hak istimewa orang Melayu ini disifatkan sebagai antimeritokrasi. Penentangan ini berlaku walaupun hak-hak istimewa ini telah terbukti berjaya membantu orang Melayu dan bumiputera untuk memperoleh sedikit keadilan sosial. Begitu antiDAP kepada hak-hak istimewa orang Melayu sehinggakan walaupun hanya 30 peratus pemilikan ekuiti negara disasarkan untuk orang Melayu, telah diasak dengan begitu hebat oleh DAP.

Hakikatnya hari ini majoriti 65.1 peratus (orang Melayu) penduduk Malaysia hanya menguasai 19.4 peratus kekayaan negara berbanding minoriti 26 peratus rakyat Malaysia (kaum Cina) yang menguasai 42.4 peratus. Nampaknya kejayaan yang sedikit ini pun hendak dicemburui dan mahu dihapuskan. Bagi DAP sebarang kejayaan orang Melayu akan dikaitkan dengan faktor rasuah atau pilih kasih bukannya usaha kaum tersebut.

Terbukti dari semua segi sama ada statistik kepemimpinan mahukan corak perjuangannya DAP bukanlah parti untuk semua kaum apatah lagi untuk orang Melayu. DAP adalah sebenarnya sebuah parti untuk orang Cina. Tanggapan terhadap DAP juga sebagai parti yang secara agresif memperjuangkan kepentingan untuk semua ras sebenarnya hanyalah ilusi.

Menggunakan kriteria ujian yang sama terhadap parti-parti politik lain di Malaysia yang juga mendakwa mereka bersifat pelbagai kaum sepertimana ujian kriteria yang digunakan terhadap DAP maka kita boleh menyimpulkan bahawa dakwaan landskap politik berhubung peranan ras yang dikatakan berubah pasca-Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah sebenarnya lebih bersifat indah khabar dari rupa. Amat perlu bagi parti-parti politik Malaysia duduk semeja dan merangka satu tata etika agar mereka tidak terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung untuk menipu rakyat dalam konteks sifat kepelbagaian kaum.

Salah satu tataetika utama yang harus di persetujui semua adalah mana-mana parti politik yang ingin mendakwa bahawa mereka bersifat pelbagai kaum tidak boleh mempunyai dominasi keahlian sesuatu kaum melebihi 50 peratus sama ada dari segi ahli mahupun barisan kepemimpinannya, parti yang mendakwa bersifat pelbagai kaum juga perlu melambangkan komitmen berkenaan di dalam platform dasar mereka. Jika tidak dapat memenuhi syarat-syarat ini maka sebarang parti politik hendaklah dilarang daripada menggunakan label pelbagai kaum.

Suara Politik
Taminsari..

Khamis, Julai 15, 2010

Artikel Belantan seperti yang disiarkan di ruangan forum Utusan Malaysia pada 14-7-2010.














FORUM UTUSAN MALAYSIA - ARKIB : 14/07/2010

Gesaan Perdana Menteri wajar

KETIKA Kongres MIC berlangsung di PWTC, seorang perwakilan membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ekoran komen beliau mengenai amalan kasta dalam menentukan siapa yang harus memimpin parti itu.

Ketika membahaskan ucapan Presiden MIC, Ramasamy menyifatkan Perdana Menteri tidak wajar membuat komen seumpama itu di dalam dewan yang penuh orang India yang menghadiri Kongres MIC ke-64.

Minggu lepas, ketika merasmikan kongres tersebut, Najib menggesa MIC supaya tidak menggunakan sistem kasta sebagai faktor utama atau penentu untuk memilih pemimpin di semua peringkat. Perdana Menteri berkata, pemimpin perlu dipilih berdasarkan keupayaan, kebolehan dan kewibawaan untuk berkhidmat kepada masyarakat India.

Bagi saya apa yang dikatakan oleh Najib itu ada kebenarannya. Memang dari dahulu 'kasta' adalah duri dalam daging bagi MIC! Jika dilihat secara logiknya keadaan kaum India di negara ini, mengapa mereka memerlukan begitu banyak parti politik mewakili mereka padahal jumlah mereka cuma mewakili peratusan kecil jumlah penduduk Malaysia.

Sebenarnya masalah masyarakat India hendaklah diselesaikan sendiri oleh orang India seperti ketua-ketua masyarakatnya. Datuk Seri S.Samy Vellu mungkin telah cuba sedaya upaya semasa beliau berada di dalam Kabinet. Malangnya, masalah terbesar di kalangan pemimpin India ialah mereka tidak boleh bersatu. MIC dengan Samy Vellu-nya, IPF dengan ketua barunya, PPP dengan Kayveas-nya manakala MIUP dengan Nalakarupan-nya.

Walaupun mewakili penduduk minoriti iaitu lebih kurang dua juta daripada penduduk Malaysia, namun pemimpin-pemimpin mereka tidak boleh duduk semeja untuk berbincang. Masyarakat keturunan India Malaysia sebenarnya masih kuat berpegang dengan 'sistem kasta' seperti yang diamalkan di negara India itu sendiri.

Perkara itu memang tidak boleh dinafikan. Kita boleh lihat sendiri cara-cara golongan bertaraf sederhana dan tinggi (kasta atasan) berinteraksi dengan golongan bertaraf rendah. Golongan bertaraf tinggi pada kebiasaan akan memandang rendah golongan bertaraf rendah.

Agak sukar untuk dipercayai apabila ada kalangan masyarakat India yang masih berpegang kepada amalan ini. Sebab itu kita boleh lihat orang kaya dari golongan bertaraf tinggi akan bertambah kaya, manakala yang miskin dari golongan bertaraf rendah akan menjadi bertambah miskin.

Yang kaya agak sukar untuk membantu golongan miskin. Mereka tiada kata sepakat dalam mencari jalan untuk membantu kaum mereka sendiri. Mungkin atas sebab inilah mendiang Tan Sri Pandithan keluar dari MIC dan menubuhkan parti IPF kerana kecewa dengan tindak-tanduk MIC tidak mahu membantu golongan miskin keturunan India. Contohnya penduduk-penduduk India di estet-estet di seluruh negara.

Saya masih teringat kata-kata mendiang Pandithan semasa beliau terlantar sakit di hospital suatu ketika dahulu:

"Saya akan berjuang dalam IPF sehingga ke akhir titisan darah saya. Ada pihak berkata Pandithan akan menjual parti, membubarkan IPF setelah kembali berdamai dengan Samy Vellu. Ini semua tidak benar. Hari ini saya jawab kesemua tuduhan yang dilemparkan ke atas saya. Pandithan akan mati sebagai ahli IPF dan tidak akan membubarkan parti ini sehingga akhir nyawa saya," katanya.

Antara kata-kata lain mendiang yang begitu menyentuh hati adalah, "Bukan pilihan saya untuk lahir dalam keluarga berkasta rendah, ini semua ditentukan oleh Tuhan yang juga menentukan siapa yang akan dilahirkan sebagai Melayu, Cina atau India. Malangnya manusia tidak menyedarinya."

Selagi ikatan 'kasta' tidak terlerai, selagi itulah masyarakat India akan berdepan dengan masalah kemiskinan tegar dan masalah lain kerana di kalangan mereka sendiri tiada kata sepakat. 'Sistem kasta' inilah yang sebenarnya menjadi batu halangan kepada masyarakat India di Malaysia untuk bersatu dalam memajukan bangsa mereka sendiri.

Dan apabila mereka gagal, mereka akan menyalahkan orang lain terutamanya UMNO seperti yang didakwa oleh Hindraf kononnya kerajaan BN yang ditunjangi oleh UMNO gagal membantu mengatasi masalah kaum India di Malaysia. Hakikatnya orang India sendiri yang gagal membantu kaum mereka sendiri.

Suara Politik
Taminsari
Shah Alam