Blogger Pembela Negara ( BPN ) bersama-sama dengan Perdana Menteri YAB Dato Seri Najib Tun Abd Razak di dalam mengutuk tindakan membakar 3 buah gereja yang telah dilaporkan berlaku awal pagi tadi. Ia terjadi sebelum demonstrasi membantah nama Allah kepada Gereja Katolik berlangsung di Masjid Negara, Masjid Kg Baru dan Masjid Negeri Shah Alam hari ini.
Perbuatan membakar rumah ibadat bercanggah dengan ajaran Islam dan semua pihak tidak patut menyokong tindakan tersebut kerana ia boleh mengancam keselamatan dan menghakis kedamaian yang kita nikmati sekarang ini.
Ketegasan Perdana Menteri di dalam mengutuk perbuatan tidak bermoral tersebut adalah bukti beliau benar benar mengamalkan tuntutan agama di dalam memelihara keamanan dan menjaga keselamatan rakyat tanpa mengira kaum, agama atau bangsa. Selaras dengan tuntutan Islam yang meminta umatnya menjaga rakyat yang dipimpin dengan adil dan saksama.
Pihak berkuasa perlu menyiasat dengan segera tindakan membakar gereja yang sangat berbahaya kepada perpaduan di negara kita. Apatah lagi jika ia didalangi pihak tertentu khasnya parti politik yang sememangnya ingin menjadikan negara kita di dalam suasana huru hara selepas mereka sudah tidak mampu lagi membawa isu isu yang lain bagi mendapatkan sokongan rakyat.
Atau ia boleh jadi satu cubaan jahat bagi memburukkan Islam selepas isu penggunaan nama Allah ditentang hebat oleh kita semua !
Insiden pergaduhan membabitkan agama di beberapa negara luar seharusnya sudah cukup menjadi panduan kepada kita semua betapa bahaya jika persengketaan berdasarkan agama ini berlaku di negara kita. Kita perlu berganding bahu memadamkan segera benih permusuhan yang timbul agar ia tidak memudaratkan semua pihak.
Meskipun kita membantah tindakan Gereja Katolik memohon penggunaan nama Allah di Mahkamah Tinggi tetapi mana-mana orang Islam kita tidak sepatutnya membuat tindakan yang bertentangan dengan undang-undang. Kerana kedaulatan undang-undang adalah asas kepada kestabilan sesebuah negara termasuk Malaysia. Bahkan agama kita tidak mengajar membakar rumah ibadat agama lain.
Keselamatan adalah harta pusaka yang akan kita tinggalkan sebagai warisan anak cucu dan janganlah tangan kita yang memusnahkan pusaka tersebut yang sudah dijaga dengan baik oleh datuk nenek kita terdahulu.
Marilah kita mengutuk tindakan membakar gereja tersebut dan bersama membantu menjaga keamanan agar ia berkekalan hari ini dan untuk selama-lamanya...
Yang benar,
YDP Blogger Pembela Negara
Salam Ziarah........
BalasPadamSokong untuk kutuk sekeras-kerasnya pembakaran gereja ni.Diharap semua pihak bertenang.Islam tidak mengajar kita untuk melakukan kemusnahan terhadap rumah ibadat kaum lain dan ianya mungkin juga sabotaj pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan terhadap isu kalimah ALLAH terhadap orang islam yang dianggap ekstrem.