Jumaat, Mei 15, 2009

Suara Jumaat : Sebab Allah haramkan babi !

Sejak manusia pertama dijadikan sudah diperintahkan agar tidak memakan daging babi. Falsafahnya Allah SWT sukakan yang baik dan menyuruh manusia pilih yang baik. Oleh yang demikian Allah SWT melarang umat manusia daripada memakan perkara yang boleh mengundang mudarat kepada jiwa dan raga.

Setiap suatu yang ditegah daripada memakannya pasti ada sebab musababnya. Allah SWT tidak menjadi suatu itu haram, melainkan ada mudaratnya dan menjadikan sesuatu itu halal pasti ada manfaatnya.

Wabak yang sedang hebat menular dan berjangkit tanpa memberitahu kepada mangsa. Influenza A (H1N1) yang menjadi pembunuh senyap yang memulakan operasinya di Mexico kini sudah sampai ke negara jiran, Thailand. dan hari ini diistiharkan di Malaysia dengan satu kes.

Sebelum ini masyarakat Malaysia hanya menatap dan membaca serta mendengar mengenai virus ini di samping meluahkan rasa simpati kepada mangsa. Itu dua minggu lepas tetapi hari ini Kementerian Kesihatan telah mengistiharkan bahawa di Malaysia sudah ada satu kes.

Seperti mana yang difahamkan oleh para saintis dan pakar-pakar perubatan bahawa virus ini merebak melalui udara, tidak semestinya di kampung kita ada babi baru boleh kena. Babi tak ada pun boleh kena, ini kerana udara yang membawanya.

Virus ini tersebar melalui titisan air pernafasan dan hubungan secara langsung atau tidak langsung. Persoalannya bagaimana manusia dijangkiti virus ini?

Jawapannya, manusia selalunya dijangkiti Influenza A (H1N1) melalui hubungan langsung dengan babi atau persekitaran yang dijangkiti virus ini.

Namun ada juga kes yang dicatatkan di mana manusia yang dijangkiti virus ini tidak mempunyai sejarah hubungan secara langsung dengan babi atau tiada kaitan dengan persekitarannya. Virus ini juga boleh berjangkit melalui manusia. Kalau begitu keadaannya, penyakit ini sudah ada vaksinnya? Jawapannya, setakat ini tiada vaksin yang boleh mencegah jangkitan virus ini.

Islam mempunyai penyelesaiannya, Allah SWT yang menjadikan manusia dan yang menjadikan selain manusia telah mengharamkan secara qatie (pasti) bahawa daging babi tidak boleh dimakan.

Firmannya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 173).

Ulasan Sayyid Qutub menarik minat saya untuk dikongsikan di sini, beliau menjelaskan: "Adapun persoalan mengenai memakan daging babi diperdebatkan oleh sekumpulan manusia... babi itu sendiri bersifat kotor dan menjijikkan jiwa yang menuntut kebersihan dan kesucian, sesungguhnya pada dagingnya, pada darahnya, dalam perutnya ada cacing-cacing yang sangat merbahaya.

Cacing yang sangat berbahaya

"Sedang manusia lupa bahawa ilmu mereka memerlukan tempoh yang cukup lama untuk mengesan satu kemudaratan daripadanya. Dalam masa yang sama siapa pula yang berani mendakwa tiada mudarat-mudarat lain yang membiak dan aktif dalam daging babi sedang belum diketahui oleh mereka yang bergelar pakar. Maka tidakkah mereka melihat bagaimana syariat Allah SWT mendahului kepakaran manusia sebelum puluhan kurun?" ( Sayyid Qutub, jld:1, hlm: 156).

Larangan ini juga termasuk menyentuh atau memegang binatang tersebut. Dunia perubatan pada hari ini telah membuktikan bahawa di dalam daging babi, darah dan usus-ususnya terdapat sejenis cacing yang sangat berbahaya (cacing pita dan telur-telurnya yang keras) yang boleh mendatangkan penyakit kepada manusia.

Inilah hikmah pengharaman ke atas binatang tersebut. Di sini telah terbukti betapa agungnya syariat Allah SWT yang mendahului ilmu pengetahuan manusia.

Dalam surah yang sama Allah SWT mengajak manusia keseluruhannya supaya makan makanan yang halal lagi baik, firman-Nya yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168).

Seruan "Wahai manusia", dalam ayat di atas memperlihatkan bahawa Allah SWT yang Maha Agung Pencipta segala sesuatu yang bersifat Rahman, menyeru agar siapa sahaja dia sama ada mukmin mahu pun kafir, Dialah Pencipta mereka dan Dialah yang menunjukkan kepada manusia yang mana harus dimakan dan yang mana tidak boleh dimakan.

Dan makanan yang dimakan itu mestilah sifatnya halal dan baik. Halal dari sudut hukum dan baik dari sudut zatnya.

Anehnya manusia suka mendekati yang haram yang jelas mendatangkan mudarat sedangkan yang halal cukup banyak. Ingatlah yang haram hanyalah sedikit dan yang halal itu tidak terhitung oleh manusia.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan