PENGERUSI Gerakan Pulau Pinang, Dr Teng Hock Nan menerima kutukan berterusan daripada pelbagai pihak berikutan cadangannya baru-baru ini agar kerajaan membenarkan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang kini menetap di perkampungan khas di Selatan Thailand, pulang ke Malaysia.
Reaksi terbaru ialah daripada Naib Presiden Gerakan sendiri, Mejar (Kehormat) Huan Heng Guan yang mahukan rakan seperjuangan beliau itu disingkirkan daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.
Menurut Guan, anggota Gerakan pada peringkat akar umbi juga mahu tindakan diambil terhadap Dr Teng kerana menyebabkan parti terbabit dipandang serong dan dianggap buta sejarah. Sama ada Dr Teng akan akhirnya menerima hukuman setimpal daripada partinya kerana kenyataan yang cukup sumbang itu, bukanlah sesuatu yang relevan.
Apa yang lebih relevan dan perlu diberi perhatian serius ialah suasana yang melatari negara ketika kenyataan itu dibuat. Hakikat bahawa kenyataannya dikeluarkan pada saat negara sedang berdepan pelbagai kemelut sosial, politik dan ekonomi serta ketika parti politik pembangkang dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedang sibuk memperjuangkan apa yang mereka sifatkan sebagai penindasan terhadap golongan bawahan oleh pemerintah, tidak harus dipandang sepi.
Sejak akhir-akhir ini, pelbagai blog antikerajaan juga sering memuatkan tulisan yang seolah-olah bertujuan menimbulkan ketegangan dan pertelingkahan antara kelas di negara ini. Semua fenomena ini terlalu ketara untuk dianggap sebagai berlaku secara kebetulan.
Lagi pun, ini bukan pertama kali cadangan untuk membenarkan Chin Peng yang secara langsung bertanggungjawab terhadap pembunuhan ribuan anggota angkatan tentera, polis dan orang awam itu disuarakan oleh pihak tertentu.
Puluhan ribu lagi bekas tentera dan polis serta rakyat biasa dan anggota keluarga masing-masing terpaksa menderita kerana kecederaan, cacat anggota atau kehilangan keluarga tersayang angkara Chin Peng dan rakannya yang melancarkan perang gerila dari hutan belantara sepanjang tempoh darurat dulu yang bermula pada awal 1948.
Di samping itu, harta awam bernilai jutaan ringgit juga turut dimusnahkan oleh Chin Peng dan rakannya dalam usaha mereka mensabotaj ekonomi negara. Orang Melayu di Teluk Intan, Sungai Manik dan Parit di Perak, terutama warga emas, tentu masih belum boleh melupakan bagaimana ganasnya pengikut Chin Peng menggeledah kampung halaman mereka pada waktu malam untuk mencari apa yang mereka anggap sebagai anjing dan ejen kerajaan.
Akibatnya ratusan orang kampung yang tidak berdosa, termasuk ketua kampung dan imam, diseret keluar dari rumah masing-masing, lalu disembelih dengan kejamnya. Tanpa sebarang rasa peri kemanusiaan dan belas kasihan, mayat mereka dicampakkan ke dalam Sungai Perak dengan tidak dimandikan, dikapan atau disembahyangkan.
Begitulah kejamnya tindakan dilakukan anggota PKM terhadap orang Melayu dalam tempoh singkat ketika kebangkitan Bintang Tiga selepas Jepun menyerah kalah lalu berundur dari Tanah Melayu ketika tamatnya Peperangan Dunia Kedua dulu.
Peristiwa ini yang jelas tercatat dalam lipatan sejarah negara tidak mungkin dapat dilenyapkan oleh sesiapa hatta oleh mereka yang bersimpati atau pernah bersimpati dengan gerakan komunisme di Malaysia.
Oleh itu, sebarang usaha untuk menidakkan fakta sejarah ini apatah lagi untuk mewajarkan pemberontakan bersenjata yang dilancarkan PKM sepanjang tempoh darurat dulu sebagai perjuangan menuntut kemerdekaan seperti yang diajukan oleh beberapa pihak sejak kebelakangan ini, jelas bertujuan tidak lain dan tidak bukan untuk menghidupkan semula fahaman komunisme di negara ini.
Natijah ini diperkuatkan lagi oleh pelbagai petanda jelas dalam pergolakan politik tanah air pada waktu mutakhir ini. Seperti dinyatakan pada awal tadi, usaha untuk membawa pulang Chin Peng yang dilakukan serentak dengan kebanjiran tulisan dalam blog yang secara tersirat mendewa-dewakan komunisme serta kelantangan parti pembangkang dan NGO dalam menyuarakan perjuangan kelas atau class struggle' di Malaysia, memperlihatkan satu pola pendekatan yang sedia diatur secara sistematik.
Perbuatan menstruktur masyarakat menurut kelas tertentu ciptaan sendiri seperti Elit Pemerintah atau Elit Umno, Umnoputras, golongan terpinggir dan sebagainya tidak banyak perbezaan dengan istilah marhaen, proletariat atau bourgeois yang dipopularkan melalui teori dialectical and historical materialism ciptaan Karl Marx.
Tujuannya ialah untuk menimbulkan kemarahan rakyat biasa terhadap kerajaan dan golongan berada supaya satu hari nanti rakyat akan bangkit memberontak atau menentang kerajaan melalui cara yang tidak semestinya demokratik.
Tindakan yang dilakukan untuk mencapai matlamat perjuangan seperti demonstrasi jalanan, mogok lapar atau pelbagai kerenah lain yang berbentuk provokasi dan separa militan juga tidak banyak bezanya dengan kaedah digunakan oleh pergerakan buruh dan pertubuhan berhaluan kiri yang disokong oleh PKM suatu masa dulu.
Usaha menyemarakkan kuasa rakyat yang berjaya menumbangkan kerajaan yang sah di Filipina dan Thailand, tanpa menghiraukan undang-undang, juga satu lagi cara yang pernah digunakan oleh puak berfahaman kiri di negara ini suatu masa dulu.
Oleh itu, bukan sesuatu yang memeranjatkan apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin mengesahkan bahawa terdapat beberapa kumpulan di negara ini dikesan cuba menghidupkan ideologi dan nilai komunisme. Katanya, gerakan itu dipelopori badan tidak berdaftar dan tidak kurang juga di kalangan parti politik.
Sebenarnya, komunisme sebagai satu ideologi tidak pernah mati. Berakhirnya Perang Dingin yang menyaksikan kehancuran Soviet Union, penyatuan Vietnam dan keruntuhan kerajaan komunis di Eropah Timur pada awal 1980-an, tidak pernah membunuh komunisme.
Ia akan tetap muncul semula dari semasa ke semasa selagi ada pihak yang mempopularkan ideologi itu meskipun tidak semestinya dalam bentuk asal ia dicipta. Pendokong fahaman ini di Malaysia mungkin menolak sama sekali perjuangan bersenjata yang pernah dianjurkan oleh Chin Peng dan rakannya.
Mereka mungkin memilih cara yang boleh dilihat sebagai mesra rakyat dan kurang menakutkan. Mereka boleh melabel ideologi mereka sebagai neo-komunisme, kalau mereka mahu untuk mengaburi mata rakyat. Tetapi percayalah bahawa komunis tetap komunis walau apa juga baju yang mereka pakai. Bahayanya kepada masyarakat tetap sama.
Di mana taat setia penyokong Chin Peng?
ADAKAH saranan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dr. Teng Hock Nan mahu membawa Chin Peng ke negara ini telah mengambil kira sensitiviti majoriti rakyat? Tidakkah cadangan itu terang lagi bersuluh mengguris parut luka lama seluruh warga Malaysia terutama mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dengan kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) sehingga diisytiharkan darurat bermula bulan Jun 1948?
Hakikatnya, usahlah ada yang buat- buat lupa pada sejarah ganas komunis dahulu. Ramai pejuang kita terkorban akibat jerangkap samar dan bedilan senjata mereka.
Tidak kurang juga yang kemudiannya tergolong dalam kelompok orang kurang upaya (OKU). Mereka menjadi wira tidak didendang apabila ada yang belum mendapat sebarang pembelaan meskipun merekalah yang telah bergadai nyawa menentang komunis dahulu.
Malah, orang awam yang tidak berdosa turut menjadi mangsa sembelihan komunis. Atas sebab itulah, usah sama sekali begitu mudah untuk melupakan pahit maung hidup sengsara di bawah 'pemerintahan' komunis dengan senang hati membentang permaidani merah untuk Chin Peng sebagai ikon komunis Malaya untuk memijakkan kaki di tanah air ini kembali.
Walaupun atas premis kemanusiaan tetapi fikirkanlah dosa Chin Peng dan sekutunya yang 'berperikebinatangan' menzalimi bangsa kita dahulu. Seharusnya pihak yang beria-ia mahu mengiktiraf Chin Peng sebagai wira negara bertanyakan diri mereka terlebih dahulu.
Adakah mereka benar-benar sedar diri tentang di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung? Adakah taat setia mereka kepada "tanah tumpahnya darahku" seperti yang terkandung dalam lagu Negaraku telah tumpah ke 'tanah' lain?
Jika sedar mereka bukan berkiblatkan negara China tentulah tidak akan timbul isu mahu membawa balik Chin Peng dan pengaruh komunis ke negara ini.
Sebaliknya, apabila ketara mereka begitu teruja dengan 'jasa' Chin Peng yang pernah menjahanamkan keamanan hidup kita sebelum ini, nyatalah itu semua didorong atas nilai cauvinis kaum semata-mata tanpa mempedulikan keharmonian bermasyarakat dan sensitiviti orang lain.
Oleh sebab jelas ada yang taat setianya telah tidak berpasak di bumi bernama Malaysia yang asalnya dahulu dipanggil Tanah Melayu, tidak keterlaluan mereka juga sebenarnya tidak layak bermastautin di negara ini sama seperti Chin Peng.
Kisah kekejaman Komunis
Ayah dan bapa saudara saya diikat dengan tali antara satu sama lain, mereka diseksa, seluruh tubuh ditetak dan ditakik-takik sebelum leher kedua-duanya disembelih. "Semasa ditemui, mayat kedua-duanya hanya tinggal rangka dan tulang, bercampur antara satu sama lain tanpa kepala, amat jelas kesan takikan bertubi-tubi seperti sebatang pokok kayu yang ditakik-takik bagi dikeluarkan getahnya."
Demikian cerita Profesor Dr. Amat Juhari Moain, bekas Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau berkata, jenazah bapanya, Moain Saridin @ Shahidin dan Hassan Akasah yang dibunuh dengan penuh kejam tanpa perikemanusiaan oleh komunis itu kemudian dikebumikan dalam satu liang lahad di Kampung Sungai Dulang Darat, Rengit, Batu Pahat Johor.
Mengimbas kejadian menyayat hati yang berlaku pada akhir Jun 1945 tetapi masih lagi segar di ingatan seolah-olah baru berlaku semalam, Amat Juhari, 69, berkata, semasa dia dan bapanya mandi di tepi Sungai Dulang pada waktu petang, mereka didatangi beberapa penduduk yang meminta bantuan.
Menurut beliau, arwah ayahnya, seorang ketua kampung, dimaklumkan mengenai penangkapan seorang alim yang dikenali dengan nama Wak Sulaiman oleh sekumpulan komunis.
"Adalah menjadi tanggungjawab arwah ayah untuk membantu anak buahnya, lantas dia yang berselempang kain merah segera bergegas ke kawasan hutan di pinggir kampung, kawasan yang menjadi persembunyian komunis itu dengan ditemani oleh Hassan.
"Sehingga lewat tengah malam ayah, Hassan dan Wak Sulaiman masih tidak pulang dan selepas beberapa minggu, langsung tiada berita mengenai mereka bertiga, sama ada hidup atau mati.
"Pada malam yang sama terdapat seorang Cina bersenjata mundar-mandir di kawasan rumah kami, seperti tidak membenarkan kami keluar mendapatkan bantuan.
"Keadaan itu berlarutan sehingga beberapa minggu menyebabkan kami sekeluarga menjelang malam terpaksa menyorok di kawasan pokok buluh berhampiran bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya.
Beberapa minggu selepas itu apabila keadaan telah menjadi aman, penduduk kampung mula berani keluar rumah untuk mengerjakan kebun masing-masing dan ketika itulah mayat Moain dan Hassan ditemui di bahagian hutan.
Sementara itu, Amat Juhari berkata, pada akhir Mei tahun sama, sebelum kejadian itu berlaku, sekumpulan kira-kira 20 komunis yang lengkap bersenjata mengunjungi bapanya di rumah bagi mempelawa dan meyakinkan arwah supaya menyertai kumpulan haram mereka, tetapi telah ditolak.
Tambah beliau, kekejaman komunis tidak hanya terhenti di situ malah ramai lagi penduduk kampung yang berpengaruh seperti penghulu, orang alim dan pendekar dibunuh kerana enggan memberikan sokongan dan kerjasama kepada mereka.
"Saya masih ingat lagi kejadian di Kampung Sungai Tongkang berhampiran kampung kami apabila komunis menyerang rumah penghulu, mereka tembak bertubi-tubi sebelum dibakar menyebabkan kira-kira 30 orang yang berlindung di rumah berkenaan mati," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, arwah bapanya sebenarnya telah menghidu lebih awal kegiatan komunis di negara ini apabila mendapat maklumat melalui pembacaan dalam Utusan Melayu dan Utusan Zaman yang dilanggan terus daripada Singapura pada masa itu.
Bahaya Sentimen, Propaganda Komunisme
KINI, isu komunis kembali diperkatakan. Namun ia bukan isu baru. Perjanjian damai antara kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) di Hatyai, Thailand pada 1 Disember 1989 hanyalah untuk menamatkan pertempuran antara tentera Malaysia dan gerila PKM sahaja. Itulah hakikatnya.
Pada peringkat awal rundingan damai itu, Malaysia mahu PKM dibubarkan tetapi ia ditolak oleh pihak komunis. PKM hanya bersetuju meletak senjata.
Parti itu juga bertegas tidak mahu perjanjian tersebut dilihat sebagai 'penyerahan diri beramai-ramai.' Fakta itu dimasukkan ke dalam perjanjian akhir yang menyebut bahawa semua kenyataan selepas itu hendaklah dalam 'semangat perjanjian' tersebut dan tidak mengandungi sebarang 'unsur fitnah yang mengaitkannya sebagai penyerahan atau menyerah diri (oleh PKM).'
Walaupun lemah, PKM tidak mahu dilihat sebagai menyerah kalah dan itulah prinsip PKM terutama Setiausaha Agungnya, Chin Peng, sejak Rundingan Baling pada 1955.
Kerajaan memberi peluang sebanyak dua kali kepada PKM untuk menyerah diri. Pertama ketika Rundingan Baling dan kedua, selepas mencapai kemerdekaan. Kedua-duanya ditolak oleh Chin Peng.
Dalam siri rundingan damai di Hatyai yang bermula pada Mac 1989, PKM mahu Malaysia menerima parti itu dan juga Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya (PKMRM) secara sah. Sedangkan ketika itu PKM adalah pertubuhan yang diharamkan.
Dalam pusingan ketiga rundingan itu, PKM menyatakan hasrat untuk menubuhkan parti baru iaitu Parti Buruh Sosialis Malaysia (SLPM) berlandaskan ideologi Marxist. Ia merupakan 'jawapan' kepada permintaan Malaysia supaya PKM dibubarkan.
Malaysia menyatakan cadangan itu tidak boleh diterima kerana Marxist adalah ideologi asing dan PKM patut mengelak daripada memberi gambaran bahawa SLPM adalah sebahagian daripada PKM.
Akhirnya, perjanjian itu mencapai persetujuan untuk empat perkara iaitu:
Pertama: Menamatkan aktiviti ketenteraan. Selepas menandatangani perjanjian itu, Malaysia dan PKM akan menghentikan serta-merta aktiviti ketenteraan.
Kedua: Membubarkan unit ketenteraan, memusnahkan senjata, peluru, bahan letupan dan jerangkap samar.
Ketiga: Penempatan di Malaysia. Anggota PKM dan anggota unit tenteranya yang berasal dari Malaysia dan ingin tinggal di Malaysia, akan dibenarkan berbuat demikian selaras dengan undang-undang. Mereka yang bukan berasal dari Malaysia, jika mereka mahu, juga boleh berbuat demikian selaras dengan undang-undang Malaysia.
Keempat: Bantuan oleh pihak berkuasa Malaysia. Selaras dengan Perkara Ketiga, kerajaan akan membantu mereka memulakan hidup baru.
Jika sebelum 1989, tumpuan komunis hampir semuanya di hutan. Tetapi selepas itu, apabila operasi ketenteraan berakhir, isu itu berpindah ke bandar-bandar.
Buku-buku yang menceritakan kegiatan komunis dan puak kiri mula membanjiri pasaran, termasuk buku Alias Chin Peng: My Side of History, yang diterbitkan pada 2003.
Selain daripada desakan oleh pihak tertentu supaya Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia, terdapat tuntutan lain supaya pengiktirafan diberi kepada pejuang berhaluan kiri dalam konteks kemerdekaan.
Hakikatnya, walaupun komunis dikalahkan daripada segi ketenteraan di Malaysia, ideologinya masih hidup. Dan ia juga mahu terus disemarakkan.
Jika tidak kenapa PKM tidak mahu membubarkan parti itu? Malah ia mahu meneruskan ideologi Marxist. Inilah yang perlu difahami oleh seluruh warga Malaysia.
Walaupun di negara-negara lain ia kelihatan berundur, bukan bererti kita tidak perlu memberi perhatian lagi. Memang mudah untuk memecahbelahkan berbanding membina. Lebih-lebih lagi kita sebagai sebuah negara berbilang kaum.
Ingatan keras oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim adalah kena pada tempatnya. Tetapi ia tidak memadai.
Jawapan yang lebih menyeluruh harus datang daripada Kabinet. Mungkin Kabinet wajar menimbang untuk mengeluarkan satu Kertas Putih mengenai PKM dari awal hingga membawa kepada Perjanjian Damai di Hatyai.
Tidak ramai yang mengetahui mengenai perjanjian itu. Mungkin laporan-laporan ketika itu agak terhad. Kini sampai masanya satu penjelasan lebih komprehensif dibuat.
Jika sesuai, jadikan ia sebagai satu Kertas Putih yang boleh digunakan untuk menjelaskan kekeliruan. Ia harus merangkumi kegiatan PKM sejak 1948-1989.
Penjelasan itu boleh dilakukan kerana Mahkamah Persekutuan sudah memutuskan mengenai kes Chin Peng dan ia tidak perlu dikhuatiri sebagai sesuatu yang sub-judice lagi.
Bahaya sentimen Chin Peng, propaganda halus komunisme
KENAPA Pengerusi Parti Gerakan, Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan Chin Peng pulang? Apa kaitan musuh negara itu dengan gagasan Satu Malaysia?
Kita berasa pelik dengan tindakan beberapa pemimpin bukan Melayu dan penulis blog yang 'bersemangat' memperjuangkan Chin Peng@Ong Boon Hua sejak kebelakangan ini.
Adakah mereka berkongsi ideologi yang sama? Ini yang sedang difikirkan oleh banyak pihak yang pastinya tidak dapat melupakan kekejaman Bintang Tiga pada zaman dua fasa darurat dahulu - dari 1948 hingga 1960 dan 1968 hingga 1984.
Dari semasa ke semasa bagaikan ada satu gerakan untuk terus mencanangkan nama Chin Peng daripada dilupakan oleh rakyat.
Daripada usaha menjadikan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu sebagai pejuang kemerdekaan hinggalah kepada tuntutan untuk membenarkan beliau pulang ke kampungnya di Sitiawan, Perak.
Kerajaan Persekutuan beberapa tahun lalu membuat keputusan tidak membenarkan Chin Peng kembali. Malah Mahkamah Rayuan tahun lalu juga menolak permohonan bekas Setiausaha Agung PKM itu.
Tetapi, nampaknya usaha membawa masuk pemimpin itu digerakkan dari dalam negara pula melalui media cetak dan blog dengan membuat penilaian dan peranan baru terhadap Chin Peng.
Jadi adalah tepat apabila Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyifatkan perbuatan pihak tertentu itu sebagai durjana jika cuba menggalakkan kemunculan semula komunis di Malaysia.
Secara mudah, cuba kita bayangkan keadaan dan suasana negara kita hari ini jika PKM berjaya menggulingkan kerajaan pilihan rakyat melalui perjuangan kejamnya.
Komunis ialah musuh kita dan kita berjaya mencapai kestabilan politik dan ekonomi seperti hari ini kerana mengalahkan mereka. Janganlah diungkit-ungkitkan lagi tentang Chin Peng. Apa ruginya kalau kita tidak memberi pujian dan bernolstagia dengan komunisme?
Pihak-pihak yang 'memuja' parti politik haram itu patut sedar bahawa Chin Peng bukanlah pejuang kemerdekaan negara ini. Sebaliknya dia seorang penderhaka yang mengetuai sebuah pergerakan yang membunuh ramai orang tidak berdosa.
Chin Peng dan PKM sebenarnya masih berdegil untuk membubarkan pergerakan komunis walaupun mereka telah menandatangani Perjanjian Damai dengan Kerajaan Malaysia di Hatyai pada 1989.
Dalam perjanjian itu mereka cuma setuju untuk memberhentikan perjuangan bersenjata, maknanya ia boleh diteruskan kemudian. Perjuangan PKM sebenarnya adalah perjuangan kejam, tanpa perikemanusiaan dan penuh tragedi berdarah.
Ingatlah kepada para balu, anak-anak dan ibu bapa para anggota keselamatan yang terkorban demi mempertahankan semua rakyat negara tercinta ini.
Ingatlah kepada anggota keselamatan yang cacat anggota tubuh badan akibat perbuatan ganas PKM. Memberi pengiktirafan kepada perjuangan PKM dalam apa bentuk sekalipun adalah satu pengkhianatan terhadap jasa bakti semua pahlawan negara.
Oleh itu tidak perlu pun kita cuba menghidupkan nostalgia Chin Peng.
Kita mengharapkan Kabinet dapat membuat keputusan bagi menamatkan cerita tentang musuh negara itu. Yang penting sesuatu perlu dilakukan bagi menghalang sentimen Chin Peng dan propaganda halus ideologi komunis daripada meresap ke dalam fikiran anak-anak muda.
Suara Politik
Taminsari
Tahniah atas penulisan anda!!
BalasPadamDari zaman Marxist, kebangkitan Lenin bersama radikal Bolseviks, era perang dunia II,Revolusi Budaya Mao,Revolusi Cuba,PKM di Malaya hingga keruntuhan Soviet Union, kita sudah sedia maklum ideologi komunisme adalah gagal sama sekali, dari segi kemanusiaan, sosial, ekonomi dan spiritual.
Tak perlulah kita di Malaysia hari ini dok buat simpati,feeling terlebih akan nasib Chin Peng(the last Communist)(The hidden Butcher), tak perlu dipolitikkan isu ini oleh sesetengah pemimpin yang partinya tak sekuat mana dah, hanya asyik menekan dan meminta yang itu dan ini kepada kerajaan.sudah-sudahlah,enough is enough!! Cuba sedar diri sikit Dr. Teng,DUN Pulau Tikus yang menjadi kubu kuat GERAKAN suatu ketika dahulu dah pun dirampas, cuba kuatkan parti dari sudut yang lain bukan dok wat feel lebih!!