Isnin, April 10, 2017

ISYARAT UNTUK UMAT ISLAM

WAKIL Pakatan Harapan yang diketuai DAP, Lim Kit Siang mencelah sebelum Abdul Hadi Awang membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat, kelmarin. Pembentangan oleh Presiden Pas itu tertangguh hampir 35 minit apabila beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan menggunakan pelbagai hujah memetik Peraturan Mesyuarat bagi menghalang pembentangan itu.

APABILA Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan Rang Undang-undang (RUU 355) diluluskan untuk perbahasan pada sidang dewan yang akan datang, beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan bagaikan ‘ter­kena histeria’ dan bersikap seperti kanak-kanak tadika.

Mereka menjerit ke arah Pandikar yang sedang meninggalkan dewan persidangan dengan pelbagai kata-kata termasuk menyatakan sidang hari itu hanya untuk Pas dan UMNO. Ternyata mereka tidak dapat menerima hakikat akhirnya Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya membentangkan rang undang-undang tersebut.

Selama beberapa bulan sejak awal tahun lalu lagi, pembangkang khususnya DAP dan PAN tidak dapat ‘tidur lena’ apabila isu RUU 355 dibangkitkan. Mereka melakukan pelbagai usaha untuk menggambarkan bahawa pembentangan RUU itu bertujuan membolehkan hukum hudud dilaksanakan.

Walaupun amat menyedari RUU 355 bertujuan memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah dan melibatkan hanya orang Islam, tetapi puak-puak DAP dan PAN sengaja menutup mata dan memekakkan telinga bagi mene­rima fakta tersebut.

Sehubungan itu mereka mempertingkatkan ‘serangan’ ke atas Pas, UMNO dan memburuk-burukkan RUU 355 sebaik sahaja Abdul Hadi membentangkannya kali pertama pada 26 Mei 2016. Bagaimanapun perbahasan ditangguhkan dan beliau membentangkan versi yang disemak se­mula pada November 2016.

Berikutan itu parti-parti dalam Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP cuba mencari helah bagaimana mahu menggagalkan pembentangan dalam sesi sidang Dewan Rakyat kali ini, mereka ‘berpesta’ apabila Barisan Nasio­nal (BN) memutuskan tidak akan membentangkan rang undang-undang itu sebaliknya menyerahkan kepada Abdul Hadi berbuat demikian.

Keputusan BN itu dianggap detik terbaik untuk mereka menyebarkan propaganda politik bahawa Pas ditipu oleh UMNO dan RUU 355 adalah hipokrasi politik tertinggi kedua-dua parti ber­kenaan.

Namun dalam keghairahan tersebut mereka terlupa firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 54 yang bermaksud: “Dan mereka merancang (tipu daya), Allah juga merancang (membalas tipu daya), dan Allah sebaik-baik perancang (membalas tipu daya).”

Akhirnya tepat pukul 12 tengah hari kelmarin, Abdul Hadi bangun membentangkan rang undang-undang berkenaan selepas segala usaha terakhir beberapa ahli Parlimen khususnya daripada DAP dan PAN menghalang pembentangan berkenaan gagal.

Beberapa ahli Parlimen daripada Pas dilihat sebak dan menitis air mata. Perasaan itu wujud memandangkan mereka terpaksa menempuh pelbagai kesukaran dan ranjau sebelum RUU tersebut dibentangkan.

Semua itu berlaku bukanlah kerana RUU 355 boleh menghuru-harakan negara, tetapi ia ‘dihuru-harakan’ oleh sikap tidak bertanggungjawab DAP dan PAN yang cuba mengaitkannya de­ngan pelaksanaan hukum hudud. Malang sekali demi kemaruk undi dan bimbang kehilangan soko­ng­an politik, parti-parti tersebut sanggup memutarbelitkan fakta.

Namun begitu apa yang membanggakan dalam kalangan ahli Parlimen beragama Islam khususnya UMNO mereka memberi sokongan padu kepada pembentangan Abdul Hadi manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) khususnya Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menunjukkan sikap positif.

Berdasarkan senario politik di sidang Dewan Rakyat itu, ia seharusnya memberi isyarat dan pengajaran kepada seluruh umat Islam di negara ini, itulah akibatnya apabila kita berpecah-belah.

Perasaan hormat dan gerun kepada ahli politik dan parti yang bertunjangkan orang Melayu serta Islam sudah semakin terhakis. Kalaulah RUU 355 yang jelas-jelas ‘eksklusif’ melibatkan umat Islam ditentang habis-habisan bagaimanakah dengan soal-soal lain yang menyentuh kepenti­ng­an orang Melayu secara keseluruh­annya?

Apa yang mendukacitakan, tentangan itu diketuai oleh DAP - sebuah parti yang cukup berkuasa dalam Pakatan Harapan. Mereka disokong penuh oleh ‘pak turut-pak turut’ dalam PAN. Pemimpin kedua-dua parti ini sehati sejiwa untuk bangkit bersama menentang RUU 355.

Atas sebab itulah, ‘drama’ di sidang Dewan Rakyat tersebut seharusnya menyedarkan sebahagian orang Melayu mengenai perangai sebenar DAP dan bagaimana pula mereka memanipulasikan sepenuhnya perpe­cahan dalam kalangan umat Islam khususnya akibat berbeza fahaman politik.

Umat Islam tidak harus melihat RUU 355 sekadar satu pembentang­an atau membuat andaian jahil bahawa ia mainan politik UMNO dan Pas. Biarlah tafsiran ini hanya dilakukan oleh puak-puak atau parti yang sanggup ‘menyembah’ DAP demi mahu meraih secebis kuasa.

Sebaliknya umat Islam perlu melihat ia sebagai peringatan daripada Allah SWT untuk me­nyedarkan kita betapa dahsyatnya natijah jika terus berpecah-belah hanya kerana memiliki ideologi politik berbeza.

Seperkara lagi, RUU 355 juga adalah ujian kepada seluruh ahli Parlimen beragama Islam untuk membuat pilihan sama ada mereka akan menyokong usaha memartabatkan mahkamah syariah atau terus mengikut rentak politik DAP.

Majoriti ahli Parlimen Islam adalah golongan cerdik pandai dan ada antara mereka mempunyai latar belakang undang-undang. Oleh itu janganlah memperbodohkan diri dengan bersekongkol dengan DAP.

Abdul Hadi sudah menjelaskan segala-galanya ketika membentangkan RUU berkenaan. Oleh itu bukalah minda dan lapangkan hati untuk menyokong rang undang-undang tersebut.

Janganlah biarkan fikiran terus dibelenggu oleh politik kepartian yang sempit dan menjadi ‘alat’ kepada puak lain untuk melemahkan agama Islam.

Suara Politik
Belantan

Azmin sedia disiasat semula berhubung kes pemilikan harta?


Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau sedia disiasat semula berhubung dakwaan harta luar biasa yang dimilikinya sewaktu menjadi Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, 22 tahun lalu.

Beliau sentiasa terbuka dan akan memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemilikan harta itu.

“Terpulang kepada mereka (sekiranya mahu menyiasat semula). Ia bukan benda baharu, sebelum ini pun SPRM telah melakukan siasatan terhadap pentadbiran kerajaan negeri dan kepimpinan (kerajaan negeri),” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan kewangan kepada pesawah padi Parit 10 Sungai Besar, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah semalam bahawa kes itu akan dibuka semula sekiranya terdapat bukti baharu walaupun ia telah ditutup oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1997.

Baru-baru ini pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa SPRM membuka semula kertas siasatan kes pemilikan harta luar biasa Mohamed Azmin yang didakwa ditutup oleh BPR tanpa alasan munasabah.- BERNAMA

Suara Politik
Belantan

Jumaat, Januari 13, 2017

Abang Johari sah Ketua Menteri Sarawak keenam.


KUCHING 13 Jan. - Timbalan Presiden II Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, 66, secara rasminya dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang keenam menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem hari ini.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri sebelum ini, mengangkat sumpah jawatan tersebut di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan disaksikan oleh barisan menteri kabinet negeri serta para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Astana Negeri pada pukul 4.09 petang ini.

Anak bongsu kepada bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak pertama, iaitu Allahyarham Tun Abang Openg Abang Sapa’iee itu dipilih mengisi kekosongan jawatan ekoran kematian Adenan akibat kompilasi jantung, kelmarin.

Perlantikan beliau dipilih sebulat suara menerusi mesyuarat PBB yang diadakan di kediaman Abdul Taib di Demak Jaya, Jalan Bako di sini, pagi ini.

Suara Politik
Belantan

Khamis, Januari 12, 2017

Perginya pemimpin berkarisma.


Pemergian Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem ke rahmatullah dalam usia 72 tahun 1.30 petang semalam tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Seribu kedukaan buat rakyat Sarawak. Sarawak bukan sahaja kehilangan seorang pemimpin yang berintegriti tetapi le­bih daripada itu memiliki aspirasi tinggi untuk membawa Bumi Ke­nyalang ke tahap pemba­ngunan lebih baik.

Allahyarham seorang ikon yang berjaya mengubah Sarawak dalam banyak segi dengan pendekatan dan perwatakan beliau sebagai seorang strategis.
Bak lilin yang membakar diri, beliau sebelum ini sedar dirinya berdepan penyakit jantung yang serius. Tetapi dalam kesakitan itu demi Sarawak, Adenan gagah­kan diri.

Penulis sendiri yang berpeluang membuat liputan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-11 sekitar Mei tahun lalu hairan dengan kesanggupan arwah berbuat demikian.

Beliau hadir dalam keba­nyakan majlis kempen Barisan Nasional (BN) biarpun dalam keadaan sakit. Bukankah itu menambah lagi kesakitannya?
Semua ini menyerlahkan ke­azaman tinggi dan kekentalan semangat Allahyarham untuk mentransformasikan Sarawak serta mengotakan segala janji kepada rakyat negeri itu.

Mac tahun lalu, Adenan berkongsi penga­laman dengan me­dia saat-saat apabila beliau hampir meninggal dunia akibat sakit jantung tiga tahun lalu. Dan bagaimana beliau ‘bersedia untuk kembali’ kepada Pencipta.

“Tiga tahun lalu, saya memang sakit. Saya berada di IJN (Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur) dan di Si­ngapura. Pada masa itu saya menyangkakan yang saya akan pergi. Saya panggil semua saudara saya, anak dan cucu saya.

“Mereka semua datang dan anda tahu bila anda panggil semua anak-anak dan cucu anda, kamu sudah pasti tahu apa sebabnya. Saya sudah bersedia untuk pergi. Namun Allah itu maha hebat dan saya pulih dan kembali normal,” katanya.

Adenan yang mengambil alih teraju Sarawak daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 28 Fe­b­ruari 2014 dalam pertemuan itu bersyukur apabila Tuhan memberi nafas baharu - yang Dia seolah-olah menyampaikan mesej sebagai satu bayangan mengenai “apa yang patut saya lakukan”.


Hasilnya dua bulan kemudian dalam PRN ke-11, 7 Mei 2016, BN yang diterajui Team Adenan menang besar menguasai 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

Ini sekali gus suatu tsunami ke atas pembangkang yang me­nerima tamparan apabila terlepas sebahagian besar kerusi bandar pada PRN 2011.

Penulis dimaklumkan daripada sumber kerajaan negeri, sejak November lalu lagi tahap kesihatan Adenan agak merosot. Banyak program dan acara rasmi tidak dapat dihadirinya dan diserahkan kepada timbalan dan menterinya.

Bahkan, pada November, beliau sepatutnya hadir dalam satu majlis perjumpaan dengan belia di Kuching tetapi tidak dapat berbuat demikian.
Dalam ketegasan Adenan mentadbir Sarawak, tersembunyi hatinya yang murni tetapi mudah tersentuh.

Rakyat Sarawak tidak akan lupa bagaimana beliau membuat tuntutan autonomi daripada Persekutuan terhadap hak-hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Adenan menghapuskan tol (tiada plaza tol lagi di Sarawak), cukai pintu serta berjanji dalam tempoh dua tahun (selepas BN menang) menyuntik RM2 bi­lion untuk pembangunan luar bandar Sarawak. Di bawah pentadbirannya, tiada lagi lesen baharu diberikan kepada syarikat-syarikat pembalakan di Sarawak. Lebih 30 syarikat pembalakan ditutup.

“Saya ingin hentikan pencabulan terhadap hutan-hutan kami. Saya ingin hentikan kemusnahan terhadap alam sekitar kerana isu ini mempunyai kaitan dengan rasuah,” kata Adenan dalam Persidang­an Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 di Putrajaya, September lalu.

Hasrat beliau tinggi untuk mengubah Sarawak secara drastik dengan beliau sendiri ‘menghitung’ bulan dan tahun.

Pemerhati politik Sarawak, Dr. Jeniri Amir yang turut dihubungi penulis semalam menyatakan rasa hairan dari mana Adenan mendapat kekuatan untuk be­kerja.

“Beliau juga suka menyanyi dan menghiburkan rakyat. Allahyarham suka makan di mana yang beliau suka tanpa protokol. Juga tidak mahu gelaran panjang-panjang, simple sahaja,” kata Jeniri.

Allahyarham memahami aspirasi rakyat Sarawak, maka tidak hairanlah BN berjaya menterjemahkan sehingga 85 peratus sokongan rakyat Bumi Kenyalang.

Adenan pemimpin ikhlas, merendah diri. Beliau menjadi ikon politik baharu dan me­ninggalkan legasi yang akan dikenang sampai bila-bila.

Al-Fatihah. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan diletakkan dalam kalangan orang yang soleh.

Suara Politik
Belantan

Sabtu, Januari 07, 2017

Notis usul Guan Eng, Li Koon didengar 7 Feb.?


Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 7 Februari ini bagi mendengar permo­ho­nan Ketua Menteri Pulau Pi­nang, Lim Guan Eng dan ahli per­niagaan wanita, Phang Li Koon untuk mengisytiharkan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas peguam Li Koon, Datuk V. Sithambaram memaklumkan notis usul untuk permohonan itu telah difailkan oleh pihaknya, dua minggu lalu manakala peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng turut memfailkan notis sama hari ini.

Pada prosiding itu, Hakim Hadhariah berkata, akta pencegahan rasuah sudah lama wujud dan tiada sesiapa boleh sewenang-wenangnya meminda akta ber­kenaan.

Pada masa sama, beliau mene­gaskan, tarikh perbicaraan kes rasuah melibatkan Guan Eng dan Li Koon yang dijadualkan bermula pada 27 Mac ini dan dijangka berakhir 21 Julai tetap dikekalkan kerana kes itu sudah lama tertangguh melebihi enam bulan.

Pada 30 Jun tahun lalu, Guan Eng, 56, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri, menggunakan kedudukannya un­tuk mendapatkan suapan bagi beliau dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya negeri ini kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Pertuduhan tersebut didakwa dilakukan Ahli Parlimen Bagan itu ketika mempengerusikan me­syuarat Jawatankuasa Perancang negeri di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini pada 18 Julai 2014.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan itu di­dakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pertuduhan kedua pula, Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam mendapatkan untuk diri­nya suatu barang berharga de­ngan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, di sini daripada Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan nilaian semasa har­tanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Puteh itu mengetahui bahawa Li Koon mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Guan Eng di rumah banglo terlibat pada 28 Julai 2015 dan untuk itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Li Koon, 44, pula mengaku ti­dak bersalah atas pertuduhan bersubahat bagi mendapatkan untuk Guan Eng lot tanah dan rumah banglo terlibat pada tarikh serta tempat sama dan dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Suara Politik
Belantan