Khamis, April 28, 2016

#PRN Sarawak : PKR-DAP 
terus berbalah?


Konflik pertembungan antara PKR dan DAP dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN) semakin meruncing apabila pemimpin ke­dua-dua parti itu berbalas ke­nyataan berikutan pertembungan mereka di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketika PKR berkeras calonnya tidak akan menarik diri bagi memberi laluan kepada sekutunya itu, DAP pula me­negaskan, parti tersebut kini akan memberi fokus terhadap kesemua 31 kerusi yang ditandingi­nya dan tidak akan lagi memikirkan berhubung perebutan kerusi dengan PKR.

Dalam sidang akhbar di sini hari ini, Naib Presiden PKR, Dr. Xavier Jayakumar berkata, tindakan DAP yang menyatakan kesediaan untuk menarik diri di DUN Batu Kitang jika PKR berbuat perkara sama di lima kawasan lain bertindih menunjukkan DAP sebenarnya tidak serius untuk bertan­ding di DUN tersebut.

“Tiada sebab untuk meminta kami menarik diri di lima kerusi DUN sebagai pertukaran dengan Batu Kitang. Calon kami tidak akan menarik diri bagi memberi laluan kepada calon DAP sebagai pertukaran (kerusi DUN),” katanya.

Semalam, Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke menyatakan pi­haknya bersedia menarik diri di Batu Kitang jika PKR berbuat perkara sama di lima lagi kerusi bertindih iaitu Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong.

Mengenai DUN Ba­tu Kitang, Xavier berharap penyokong pembangkang memberikan undi kepada calon PKR, Voon Shiak Ni yang mempunyai peluang lebih tinggi untuk menang.

Sementara itu, Pe­ngerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mendakwa beberapa kawasan yang boleh dimenangi parti berkenaan pada PRN Sarawak telah terjejas dengan tindakan PKR itu kerana mencabuli perjanjian dengan DAP mengenai agihan kerusi.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan