Khamis, April 21, 2016

Apabila sukar untuk terima kebenaran?


Walaupun Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir sudah mengesahkan wang RM2.6 bilion adalah derma tulen dari negara itu dan ia diberikan tanpa mengharapkan sebarang balasan, namun ada dalam kalangan anggota pakatan pembangkang tidak berpuas hati.

Justeru mereka cuba mengaitkan derma itu dengan soal lain pula termasuklah kononnya Malaysia telah dibeli oleh Arab Saudi untuk menyertai blok besar di Asia Barat. Dakwaan itu dinafikan dengan tegas oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyifatkan ia tidak berasas sama sekali.

Sebagai seorang menteri yang dikenali cukup rapat dengan kerajaan Arab Saudi, Hi­shammuddin sudah pasti memahami kedudukan sebenar, sebab itulah beliau menganggap apa yang dikatakan pembangkang sebagai tindak­an untuk mencetuskan polemik politik.

Mungkin pemimpin pembangkang berkenaan tidak berpuas hati selepas mengetahui segala tuduhan dan tohmahan mereka berhubung derma RM2.6 bilion tidak benar. Selama ini dengan kerjasama portal propembangkang seperti Malaysiakini pelbagai dakwaan mereka lakukan terhadap Perdana Menteri. Ini termasuklah menuduh RM2.6 bilion itu adalah wang 1MDB.

Tetapi sekarang kebenaran sudah terbukti, pembangkang malu sendiri kerana yang mengesahkan bahawa wang itu adalah derma bukanlah calang-calang individu sebaliknya Menteri Luar Arab Saudi.

Lanjutan itu, pakatan pembangkang dan beberapa pemimpin politik yang selama ini menjadikan derma RM2.6 bilion sebagai modal politik bagi memburuk-burukkan Perdana Menteri ‘tenggelam punca’. Mereka kehilangan satu modal politik yang selama ini digunakan hampir lebih setahun bagi menggambarkan betapa buruknya Perdana Menteri dan kerajaan.

Dalam keghairahan itu, mereka mengetepikan segala fakta, malah hasil siasatan yang dilaksanakan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga ditolak mentah-mentah. Seluruh negara mereka menjelajah untuk menguar-uarkan mengenai isu RM2.6 bilion.


Kini segala sudah jelas. Pakatan pembangkang perlu belajar untuk menerima fakta dan hakikat serta tidak harus mengikut nafsu politik dalam berhadapan isu derma RM2.6 bilion. Penjelasan Menteri Luar Arab Saudi sepatutnya diterima secara terbuka. Kalaupun mahu mencari populariti memandangkan parti yang diwakili ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’, tidak payah­lah mencari publisiti murahan de­ngan menuduh ‘Malaysia telah dibeli oleh Arab Saudi’.

Persoalannya, yang mana lebih baik, menjalinkan hubungan rapat dengan sebuah negara Islam se­perti Arab Saudi atau berkawan rapat dengan media asing bagi memburuk-burukkan negara sendiri? Sebenarnya, kalaupun bukan Arab Saudi yang menghulurkan derma itu, tohmahan tetap akan dilemparkan kepada Perdana Menteri. Oleh itu, biarkan sahaja ketidakmatangan politik oleh pakatan pembangkang berte­rusan.

Kita sudah tidak perlu lagi membuang masa melayan mainan politik oleh sesetengah pemimpin pembangkang. Pembang­kang hanya mahu melihat fakta yang dibentangkan menye­belahi mereka, kalau sebaliknya akan ditolak mentah-mentah. Se­bab itulah penulis melihat, tuduhan kononnya Malaysia dibeli oleh Arab Saudi berikutan derma yang diberikan menampakkan betapa muflisnya sesetengah pemimpin pembangkang dalam mencari isu meraih sokongan rakyat.

Jika benar berjuang atas nama kebenaran dan keadilan, mereka sudah tentulah menerima secara terbuka kenyataan Arab Saudi berhubung perkara itu, bukannya terus berusaha untuk memutar belit fakta atau membuat kenyataan politik yang mengelirukan.

Sememangnya kita memahami, pakatan pembangkang semakin ketandusan modal politik khususnya dalam menghadapi pilihan raya negeri Sarawak. Di negeri Bumi Kenyalang itu, antara PKR dan DAP masih belum mencapai kesepakatan mengenai kerusi yang akan ditandingi. Justeru mereka terpaksa mencipta isu bagi meng­alih pandangan rakyat terhadap kemelut dalam pakatan berkenaan. Namun mereka lupa rakyat tidaklah sebodoh yang disangka.

Rakyat menerima penjelasan kerajaan Arab Saudi mengenai derma RM2.6 bilion. Sekurang-kurangnya mereka mengetahui dari mana wang itu datang. Tetapi persoalannya pernahkah rakyat mengetahui dari mana pakatan pembangkang memperoleh dana politik mereka? Kalau pembangkang jujur sudah pastilah mereka akan mendedahkan dari mana mereka mendapat sumber kewangan bagi membiayai pertarungan dalam pilihan raya.

Setakat ini, kita tidak tahu apa-apa. Walaupun penulis mendengar bermacam-macam cerita mengenai punca wang yang diperoleh oleh pakatan pembangkang, namun penulis menganggapnya sekadar khabar angin biarpun banyak keraguan mengenai perkara itu.

Kalaulah pembangkang boleh mendesak kerajaan mendedahkan dari mana RM2.6 bilion, kenapa layanan yang sama tidak diberikan kepada soal dana politik kepada pembangkang? Bukankah ini juga berkaitan soal integriti dan ketelusan? Apapun kita percaya pembangkang seperti biasa hanya mengamalkan sikap ‘tuding kain orang terkoyak sedangkan kain sendiri sudah terlondeh’.

Kalau kerajaan buat semuanya salah, kalau dikaitkan dengan kerajaan semuanya be­tul. Namun kita tidak boleh mengeluh kerana itulah standard pakatan pembangkang di negara ini. Mereka mahu berpolitik sepanjang masa. Dalam kepala mereka penuh de­ngan pemikiran untuk mencari keuntungan politik, tidak lebih daripada itu.

Kesimpulannya, biarlah sesete­ngah pemimpin pembangkang te­rus ‘meroyan’ dalam isu RM2.6 bilion. Apa yang penting sekarang kerajaan perlu terus berusaha membawa rakyat ke arah ke­sejahteraan. Kalau mahu dilayan setiap tuduhan sampai kiamat pun belum tentu selesai. Oleh itu, biarlah pembangkang ‘terjun dengan labu-labu’, apatah lagi kalau yang membuat kenyataan berhubung sesuatu itu hanyalah bertaraf ‘badut politik’ dalam sebuah parti.-UMO

Suara Politik
Belantan

2 ulasan:

  1. Salam..mohon dipaut blog baru saya di blog Tuan..terima kasih

    http://sarawak-stylo.blogspot.com

    BalasPadam
  2. 1. Semoga kita dapat kenal dgn lebih rapat lagi Tuan Sheikh Adel Al-Jubeir ni. Terutama peranannya semasa menjadi Duta ke US.

    2. Cuba baca balik transkrip jawapan beliau berbanding soalan yg diajukan.

    3. Yang terus terlintas di hati aku bila membaca dan melihat klip kenyataan MenLu Arab Saudi ini ialah: kenyataan itu dibuat khas dan eksklusif utk penyokong Mohd Najib.

    BalasPadam