Jumaat, Disember 11, 2015

Masih ada ruang mohon maaf kepada UMNO!


Masih ada ruang untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memohon maaf kepada Umno di atas keterlanjuran sikap mereka, namun ia perlu dilakukan dengan ikhlas.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia bergantung kepada Timbalan dan Naib Presiden Umno itu untuk memohon maaf bagi merapatkan semula barisan kepimpinan tertinggi Umno seperti yang disarankan anggota parti.

Beliau tidak menafikan bagi pemimpin yang berada "di persimpangan atau kadangkala (dalam keadaan) terlanjur," memerlukan sedikit masa untuk dirapatkan semula ke dalam barisan kepimpinan parti.

Walaupun kedua-dua pemimpin itu mungkin mengemukakan permohonan maaf kepada parti berikutan tindakan mereka, namun siasatan terhadap tindakan mereka sebelum ini akan tetap dijalankan oleh jawatankuasa khas Umno, katanya dalam sidang media bersama Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri pada hari kedua Perhimpunan Agung Umno 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Beliau berkata, demikian apabila ditanya pemberita mengenai saranan perwakilan yang meminta agar barisan kepimpinan tertinggi parti merapatkan barisan, dan mereka yang terbabit memohon maaf.

Hishammuddin berkata, walaupun kedua-duanya mengkritik Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak, mereka tetap hadir ke perhimpunan Umno kali ini dan duduk sebaris dengan pemimpin parti di atas pentas.

"Saya lihat (mereka) tidak kekok langsung seperti yang diramalkan pemberita sebelum ini," katanya.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau pada solat Jumaat hari ini turut mendoakan moga Muhyiddin dan Shafie terbuka hati untuk memohon maaf di atas tindakan mereka sebelum ini, namun ia bergantung kepada mereka berdua.

Ditanya mengenai harapan perwakilan yang mahu melihat Najib dan Muhyiddin berpeluk di atas pentas di hari terakhir perhimpunan sebagai tanda berdamai, Ahmad Zahid berkata, beliau faham mengenai hasrat perwakilan Umno yang mahu melihat suasana itu.

Namun bukan tindakan fizikal yang menjadi ukuran tetapi juga keikhlasan hati untuk melakukannya, katanya.

"Bagi saya tidak perlu ada paksaan dalam melakukan itu tetapi yang penting ialah tindakan-tindakan yang dilakukan mesti menggambarkan wujud kebersamaan dalam kepimpinan parti," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan