Isnin, November 02, 2015

Kotak hitam pesawat Rusia ditemui!

Bangkai pesawat Rusia yang terhempas

KAHERAH – MESIR. Pasukan penyelamat berjaya menemui kotak hitam pesawat Rusia, Kogalymavia 9268 (KGL-9268) yang terhempas di kawasan pergunungan terpencil Mesir di Semenanjung Sinai, semalam.

Memetik laporan The Telegraph, kotak hitam tersebut yang mana kedudukannya terletak di bahagian ekor pesawat telah ditemui sebelum dihantar kepada pakar untuk dianalisa.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Mesir, sehingga kini, pasukan penyelamat berjaya memindahkan 129 mayat dari lokasi nahas untuk dibawa ke rumah mayat di Kaherah.

Difahamkan, pesawat tersebut membawa 217 penumpang dan tujuh anak kapal.

Ia terhempas 20 minit sesudah berlepas dari pusat peranginan terkenal di Laut Merah, Sharm el-Sheikh, Mesir ke St Petersburg, Rusia.

Sebelum terhempas, pesawat tersebut dilaporkan hilang dari radar di ruang udara Cyprus.

Dalam pada itu Perdana Menteri Mesir, Sherif Ismail yang melawat tempat kejadian memaklumkan, peluang pasukan penyelamat menemui mangsa yang terselamat adalah tipis.

Pihak berkuasa ketika ini masih menyiasat punca sebenar nahas.

Sebelum ini,kumpulan militan IS mendakwa bahawa pihaknya bertanggungjawab menembak jatuh pesawat berkenaan.

Bagaimanapun kenyataan tersebut disanggah perdana menteri Mesir dengan mengatakan bahawa pesawat tersebut tidak boleh dijatuhkan dalam mana-mana ketinggian.

Manakala Menteri Penerbangan Awam, Mesir Hossam Kamal berkata, pihaknya tidak menolak berlaku sebarang masalah dalam penerbangan terbabit.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan