Isnin, November 23, 2015

'Kita tak perlu pihak luar ajar urus negara'?


Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama diingatkan supaya tidak campur tangan dalam urusan negara apabila mengeluarkan kenyataan supaya polisi kerajaan menerima konsep perkahwinan sejenis.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), Nasharudin Mat Isa berkata, Malaysia khususnya merupakan sebuah negara merdeka dan berdaulat yang tidak terikat dengan cadangan pihak luar dalam pentadbirannya.

"Kita tak perlu mana-mana pihak luar mengajar kita bagaimana untuk mengurus negara kita. Kita yang berhak mentadbir dan mengurus kedaulatan negara ini.

"Apa yang orang lain buat di negara masing-masing itu hak mereka. Dalam konteks Malaysia, kita ada Perlembagaan yang jelas meletakkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan," katanya ketika ditemui selepas pelancaran buku The Middle Path of Moderation in Islam, di sini, hari ini.

Dalam kunjungannya ke Malaysia baru-baru ini, Obama dilaporkan berkata, negara patut menghormati hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai hak asasi.

Kata Obama, polisi kerajaan mengenai perkahwinan juga perlu adil kepada semua pihak termasuk perkahwinan sejenis.

Mengulas lanjut, Nasharudin berkata, undang-undang antarabangsa juga telah jelas menggariskan agar sesebuah negara tidak mencampuri urusan negara lain.

"Saya merasa sangat kesal dengan kenyataannya. Dia (Obama) nak suarakan pandangan itu hak dia tetapi Malaysia harus kekal dengan pendirian kita letakkan Islam sebagai hukum tertinggi dalam negara kita," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai jawatan disandangnya di GMMF sejak sebulan lalu, Nasharudin berkata, beliau akan memberi tumpuan agenda memerangi Islamophobia.

"Selepas insiden di Paris, Islam sekali lagi dihentam kiri kanan dan wajah Islam serta umatnya dipandang negatif. Perspektif ini perlu diperbetulkan dan kita ada pelbagai pendekatan.

"Selain pencegahan, saya juga mahu menumpukan pendekatan melihat apakah punca sebenarnya tindakan ektremisme dan sebagainya. Tumpuan kepada anak muda amat penting dan kita sudah mengaturkan pelbagai program dengan pelajar kita di luar negara untuk mempromosikan agenda ini," katanya.

Sementara itu Veteran UMNO dalan satu kenyataan berkata, sila baca di sini.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan