Ahad, November 08, 2015

Anwar berpesan dari dalam penjara - Henti 'ganggu' Dr M kerana kritik PM?


Bekas Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menegaskan, 'gangguan' perlu dihentikan segera terhadap Tun Dr Mahathir Mohamed dan beberapa individu lain hanya kerana mengkritik kelemahan pentadbiran kerajaan BN.

Dalam satu perutusan melalui peguamnya pada Jumaat, Anwar menyuarakan kebimbangannya apabila bekas 'bosnya' itu telah disoal siasat serta diambil keterangan oleh polis.

"Beliau tidak melakukan sebarang jenayah apabila bertanyakan soalan dan menyuarakan kritikannya terhadap Perdana Menteri mengenai krisis 1MDB.

"Daripada menyiasat Dr Mahathir, kerajaan seharusnya menjawab soalan yang diajukan itu, yang turut menjadi tanda tanya oleh rakyat biasa," kata Anwar dalam kenyataan itu.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melambaikan tangan kepada petugas media selepas diambil keterangan oleh polis di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur, 6 November 2015.

Semalam, polis dipercayai merakam keterangan bekas Perdana Menteri itu berhubung kenyataan yang dibuat di Pasar Seni pada perhimpunan Bersih 4.0, Ogos lalu.

Menurut laporan akhbar tempatan, polis menjalankan rakaman kenyataan Dr Mahathir di pejabat beliau di Yayasan Albukhary, di ibu negara, pada jam 11 pagi semalam.

Menurut Anwar juga, tindakan menyoal siasat mana-mana individu yang mengkritik kerajaan membuktikan hak demokrasi rakyat kian terancam.

"Jika beginilah caranya layanan terhadap Dr Mahathir, hak demokrasi rakyat Malaysia berada di tahap yang sangat terancam.

"Saya telah menyaksikan ketegangan kuasa autoritarianisme yang berada di tahap buruk dan sangat membimbangkan," ujar Anwar.

Anwar berkata lagi, usaha 'menutup mulut' pengkritik kerajaan hanya akan memburukkan lagi krisis keyakinan rakyat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan