Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Ahad, Ogos 16, 2015
Ancaman Politik Terhadap UMNO?
“UMNO parti keramat, UMNO parti harapan orang Melayu dan UMNO tonggak pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).” Itulah fakta yang sekian lama melekat di hati orang Melayu dan rakyat negara ini.
Namun senario politik yang semakin berubah dan cabaran yang semakin getir dihadapi oleh parti itu memungkinkan fakta-fakta tersebut semakin luntur dalam kalangan orang Melayu. Pelbagai isu yang berlaku mahu tidak mahu harus diakui semakin melemahkan UMNO.
Awal bulan ini apabila mesyuarat persidangan UMNO bahagian bermula di seluruh negara, pemimpin-pemimpin parti itu tidak mempunyai banyak pilihan, mereka hanya ada satu pilihan iaitu memperkukuhkan UMNO dalam segenap segi bagi meraih sokongan rakyat jika tidak mahu terhumban ke lembah kekalahan dalam pilihan raya umum akan datang.
UMNO sudah berusia 68 tahun dan sudah memerintah negara ini bersama-sama rakan dalam komponen BN sejak 58 tahun lalu.
Ketika berbual-bual dengan seorang Ketua UMNO Bahagian baru-baru ini, beliau menyenaraikan 19 perkara yang harus diberikan tumpuan oleh parti itu bagi mengembalikan keyakinan rakyat khususnya orang Melayu.
Penulis tidak perlu menyatakan secara terperinci apakah 19 perkara itu tetapi yang pasti amat berkaitan rapat dengan kehidupan rakyat setiap hari dan menjadi tumpuan atau keluhan termasuklah soal kos sara hidup, pengangguran dan hak Bumiputera serta orang Melayu.
Ketika ini sudah ada suara-suara yang mempersoalkan apa orang Melayu dapat setelah 58 tahun UMNO menjadi teraju pemerintahan negara? Walaupun hakikatnya, UMNO sememangnya banyak jasa kepada orang Melayu tetapi sekarang sudah semakin dilupakan.
Dalam grup sembang WhatsApp yang disertai penulis, sudah ada kelompok yang selama ini menyokong perjuangan UMNO bertanya, sampai bila orang Melayu perlu terikat dengan kata-kata bahawa hanya UMNO dapat memperjuangkan nasib mereka?
Pandangan seumpama ini tidak harus dibiarkan merebak atau terpahat dalam fikiran orang Melayu. Pemimpin-pemimpin UMNO perlu sedar bahaya yang menanti dan bukannya terus mengabaikannya dengan tanggapan UMNO masih kuat dan orang Melayu tetap bergantung kepada parti berkenaan.
Fahamilah situasi sudah berbeza. Usaha untuk meyakinkan orang Melayu dan rakyat terus menyokong UMNO tidak boleh lagi melalui retorik dan ‘sandiwara politik’, sebaliknya melalui tindakan dan langkah dengan menjadikan kedudukan dalam kerajaan sebagai platform untuk membela nasib orang Melayu.
Agenda Bumiputera dan memperkasakan kedudukan orang Melayu dalam pelbagai bidang khususnya ekonomi harus menjadi keutamaan. Orang Melayu tidak boleh dilihat sekadar pemerhati apatah lagi penumpang kepada kejayaan kaum lain.
Apa juga yang dirancang oleh kerajaan mestilah mengutamakan orang Melayu dan Bumiputera tanpa meminggirkan kaum lain.
Seperti mana ditegaskan oleh pemimpin Melayu daripada pelbagai bidang sebelum ini UMNO tidak harus apologetik dalam memperkasakan kedudukan orang Melayu kerana kelompok itulah yang menjadi penentu survival politik parti Melayu tersebut.
Pemimpin-pemimpin UMNO tidak boleh lagi mengamalkan sikap ‘sudah terang lagi bersuluh’ apabila masih takut-takut untuk bercakap soal membela nasib orang Melayu kerana bimbang akan menyinggung pihak lain sedangkan selama ini UMNO terus bertahan dan mencapai kejayaan dalam pilihan raya kerana sokongan orang Melayu.
Itulah perkara yang perlu menjadi agenda UMNO sekarang selepas menempuh pelbagai kemelut dalaman dan ketika berada dalam situasi yang dikatakan semakin terhakis sokongan orang Melayu dan rakyat terhadap parti itu.
Pemimpin-pemimpin UMNO khususnya mereka yang berada dalam Kabinet perlu memberi tumpuan penuh kepada usaha berkenaan bukannya sekadar berani mencerca atau mengkritik pemimpin-pemimpin yang tidak lagi berada dalam kerajaan.
Kalaulah merasakan diri cukup hebat kerana dilantik sebagai menteri maka laksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan, bukannya membuat kenyataan-kenyataan yang hanya akan menyebabkan suasana dalam UMNO menjadi tidak harmoni.
UMNO memerlukan satu pasukan yang kukuh tidak kira mereka mempunyai jawatan dalam kerajaan atau tidak. Yang akan menentukan hidup mati UMNO bukan sekadar tiga juta ahli parti itu tetapi orang Melayu secara keseluruhan termasuklah pengundi atas pagar.
Jangan biarkan kelompok berkenaan berasa muak dengan gelagat dan telatah sesetengah pemimpin UMNO yang merasakan dirinya lebih hebat kerana berada dalam kerajaan. Hebat atau tidak, bukan diukur dari segi kepetahan membuat kenyataan semata-mata tetapi bekerja untuk rakyat.
Musuh yang akan dihadapi oleh UMNO bukanlah rakan dalam parti sendiri tetapi pakatan pembangkang. Oleh itu seperti mana digesa oleh pemimpin-pemimpin pelbagai lapisan ketika persidangan UMNO peringkat bahagian di seluruh negara semalam, UMNO perlu merapatkan barisan dan bersatu.
Terlalu banyak isu yang perlu ditangani khususnya melibatkan persepsi rakyat terhadap parti itu. Ini memandangkan UMNO bukannya buntu untuk menyelesaikan masalah tetapi terlalu lemah memerangi persepsi.
Persepsi wujud kerana ‘kebijaksanaan’ musuh-musuh politik UMNO mengambil kesempatan dan ditambah pula dengan kehadiran penulis blog atau portal berita yang kononnya pro-UMNO tetapi ibarat menjadi ‘duri dalam daging’ kepada parti itu kerana suka menyerang pemimpin UMNO lain atau membuat spekulasi berhubung rombakan sesuatu jawatan.
Itulah cabaran utama UMNO. Pemimpin dan ahli UMNO tidak boleh leka dalam berhadapan situasi tersebut kerana ramai yang sudah terpengaruh dengan persepsi berbanding mahu mengetahui fakta sebenar di dalam sesuatu isu.
Tetapi mereka tidak akan berupaya menangani persepsi, kalau ada dalam kalangan mereka sendiri yang menyebabkan persepsi wujud. Oleh itu dalam apa keadaan sekalipun utamakan perjuangan UMNO demi untuk memastikan parti itu terus kukuh dan kuat bagi membolehkan parti tersebut mendapat sokongan dalam pilihan raya umum akan datang.
Kesimpulannya, apa yang diharapkan pemimpin dan ahli UMNO perlu memahami kedudukan mereka kini dan sedar ancaman yang menanti. Jangan terus dibuai mimpi merasakan rakyat khususnya orang Melayu tetap bersama parti itu sedangkan realitinya di akar umbi ‘agak mengerikan’.
Oleh itu bergeraklah sebelum terlambat kerana masa berlari terlalu pantas.
Suara Politik
Belantan
Penulis blogger atau portal berita kononnya pro-Umno tetapi ibarat menjadi ‘duri dalam daging’ contoh yang sebenarnya ialah :
BalasPadam1. din turtle
2. kluang diomond :)
penulis blog yang tersebut di atas memang selalu bertujuan melemahkan Umno. Adakah K Penerangan Multimedia sedar?
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadamKetiga-tiga faktor iaitu:
BalasPadam1. soal kos sara hidup,
2. pengangguran
3. hak Bumiputera serta orang Melayu
Adalah sangat wajib di kekalkan oleh Umno. Tetapi kos sara hidup adalah masa’alah semua Negara diglobal, bukan sahaja Negara Malaysia. Memang benar DAP,GHB,PKR atau PAS pun tidak akan boleh mencapai visi nombor satu. Dari itu kita mesti realistic.
Fakta yang kedua dan ketiga lebih wajib, kerana hanya UMNO sahaja yang boleh mempertahankan kepentigan warganegara Melayu Malaysia.
Yang bagusnya tentera ATM dan PDRM dan kesatuan semua Sultan-sultan Melayu
bekerjasama mengambil alih pemerintahan dengan cara pemberontakan jika DAP, PKR dan GHB ambil alih pemerintahan mengalahkan BN atau UMNO.