Khamis, Julai 30, 2015

Rusia guna kuasa veto halang penubuhan tribunal?


NEW YORK - Seperti dijangka, Rusia menggunakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu untuk menghalang cadangan lima negara, yang dirintis Malaysia, untuk menubuhkan sebuah tribunal jenayah antarabangsa bagi membicarakan mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian menembak jatuh Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Ukraine pada 17 Julai 2014.

Malaysia mengambil inisiatif itu bersama-sama empat negara lain – Australia, Belgium, Belanda dan Ukraine - yang menganggotai Pasukan Penyiasatan Bersama mengenai nahas itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang mengemukakan draf resolusi mengenai mahkamah tribunal itu, memberitahu Bernama seperti empat negara lain yang rakyatnya terbunuh dalam kejadian itu, Malaysia 'amat,amat kecewa' dengan tindakan Rusia menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang cadangan itu.

Resolusi berkenaan menggesa penyiasatan teknikal antarabangsa yang sedang dijalankan, supaya menyiapkan dan memuktamadkan dengan segera hasil siasatannya tentang punca nahas itu yang mengorbankan 298 orang, disusuli dengan siasatan jenayah mengenainya.



Ketika membentangkan cadangan itu, Liow berkata 'satu siasatan penuh' telah dilakukan oleh para pakar Belanda dengan bantuan negara-negara lain, dan PBB berpuas hati bahawa ia dijalankan mengikut standard antarabangsa.

Menurutnya walaupun Rusia menghalang cadangan itu melalui kuasa vetonya, Malaysia tetap bertekad memastikan mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu dihukum dan memastikan kesemua anak kapal dan penumpang Penerbangan MH17 mendapat keadilan.

“Walaupun kini terlalu awal untuk bercakap secara konkrit mengenainya, tetapi kami akan menimbang dan mencari opsyen serta mekanisme pendakwaan lain yang sesuai untuk memastikan keadilan dilaksanakan dan pihak terbabit dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka itu," katanya.

Penyiasatan kejadian itu dibantu oleh para pakar dari pelbagai negara termasuk Australia, Perancis, Jerman, Rusia, Indonesia, Itali, Ukraine, United Kingdom dan Amerika Syarikat. - Bernama

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan