Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Ahad, Mac 15, 2015
Politik janggal Azmin Ali?
Ibarat beradu silat, Azmin Ali berjaya mengunci langkah pendahulunya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Abdul Khalid yang diangkat oleh pakatan pembangkang sebagai menteri besar paling bersih, cekap dan prorakyat dilayan seperti tidak ada meninggalkan sebarang legasi.
Nol, tiada warisan bernilai yang boleh dibanggakan. Inilah yang sekurang-kurangnya mahu digambarkan. Abdul Khalid yang pernah dipuja dan diagung-agungkan untuk memancing undi rakyat itu mahu dilupakan begitu sahaja, ibarat habis manis sepah dibuang.
Azmin bahkan sanggup 'memukulnya' semasa beliau sudah melangkah keluar daripada kerusi menteri besar. Pentadbiran Azmin mengambil langkah luar biasa apabila menarik balik pampasan RM2.6 juta lapan pegawai kanan Abdul Khalid termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), Faekah Husin.
Kerajaan negeri pimpinan Azmin menggunakan alasan pembayaran wang melalui Skim Pengasingan Bersama (MSS) dibuat secara salah dan tanpa mendapat kelulusan. Isu itu kini diselesaikan mengikut undang-undang.
Dengan kata lain, Azmin seperti mahu menyatakan Abdul Khalid yang menjadi seteru dalam PKR tidaklah bersih seperti diuar-uarkan. Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ini dan pegawai-pegawai yang dilantiknya mahu digambarkan sebagai tidak amanah dan sanggup menggunakan wang rakyat untuk kepentingan diri.
Azmin seperti berjaya memberi gambaran itu. Langkah Abdul Khalid dan orang-orangnya terlihat benar-benar terkunci. Menangkis tuduhan pun seperti hilang daya apatah lagi untuk membuat serangan balas ke atas Azmin. Yang ada hanyalah sekali-sekala suara daripada Faekah bagi mempertahankan pentadbiran dahulu.
Yang dulu dianggap seperti bukan kerajaan PKR. Yang dulu dianggap seperti Kerajaan Abdul Khalid. Apa yang dibuat dahulu serba-serbinya salah. Yang dulu perlu diperbetulkan malah sampai ke peringkat dibatalkan.
Ini sama dengan tanggapan yang mereka mahu paksakan ke atas Kerajaan Persekutuan. Apa yang dilakukan Kerajaan Persekutuan semuanya dituduh berbau kronisme dan tidak menguntungkan rakyat.
Inilah yang berlaku ke atas Projek Lebuh Raya Damansara-Kinrara (Kidex) bernilai bilion ringgit yang dibangunkan untuk mengurangkan kesesakan teruk di kawasan itu. Projek kontroversi yang diuar-uarkan politikus pakatan pembangkang ada kepentingan politik UMNO itu dibatalkan.
Sia-sialah usaha Abdul Khalid yang menentang arus politik pakatan pembangkang terutama PKR dan DAP apabila meluluskan projek persekutuan itu. Yang menentang projek ini sebenarnya kelompok kecil tetapi mempunyai pengaruh dan mendapat sokongan ahli politik DAP. Projek ini pun mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.
Mangsa
Yang majoriti, kumpulan senyap akhirnya menjadi mangsa politik Azmin ini. Mungkin setelah menyedari hal itu dan mendapat teguran, Azmin seperti mahu berpatah balik apabila menyatakan projek berkenaan tidak dibatalkan.
Hanya kelulusan pembangunan yang dibatalkan. Kenyataan terbaharu Azmin itu menyebabkan rakyat biasa keliru. Dari satu segi beliau menggambarkan sanggup menggotorkan diri demi rakyat tetapi seringkali bertingkah sebaliknya dengan menjadikan rakyat sebagai mangsa.
Tidak tahulah mungkin ‘rundingan semula’ sedang diatur. Peliknya kerajaan Azmin tidak pula memberikan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di kawasan berkenaan. Yang mereka tahu batal sahaja tanpa melihat kesannya. Ada yang tersiratkah?
Isu Kidex belum selesai, Azmin terus mempertontonkan jurus janggal. Lagi-lagi keputusan yang dimuktamadkan antara kerajaan Abdul Khalid dahulu dengan Kerajaan Persekutuan dibatalkan.
Seperti juga Kidex, Azmin bertindak melulu dengan membatalkan perjanjian penstrukturan industri air dengan Putrajaya. Memang dari awal projek ini tidak mendapat sokongan penuh kepemimpinan PKR dan DAP.
Kebijaksanaan Abdul Khalid untuk memuktamadkan penstrukturan air Selangor termasuk mengambil alih syarikat konsesi dianggap sebaliknya oleh ahli politik pakatan pembangkang. Tidak tahulah nasib siapa sebenarnya yang mereka mahu perjuangkan.
Hujah Abdul Khalid bahawa perjanjian itu penting demi rakyat Selangor nampaknya tidak dikongsi oleh kerajaan negeri sekarang. Jika dahulu mereka marah kononnya dasar kerajaan bertukar apabila ada menteri baharu, kini mereka benar-benar melakukan hal berkenaan.
Tetapi di depan rakyat, Azmin menggunakan dalih demi rakyat sebagai hujah membatalkan projek penting berkenaan.
Atas kertas, keputusan ini hanya akan merugikan kerajaan negeri. Ini akan menyebabkan syarikat konsesi menaikkan tarif air sebanyak 52 peratus. Tindakan itu juga bakal menutup peluang kerajaan negeri mengambil alih ekuiti empat syarikat konsesi air yang selama ini didakwa mengaut keuntungan tidak munasabah atas kesusahan rakyat.
Tanpa kawalan sepenuhnya terhadap industri air, kerajaan Selangor berkemungkinan besar tidak mampu meneruskan pemberian air percuma 20 meter padu setiap bulan yang dilaksanakan sejak Jun 2008 kerana kekurangan dana. Jadi, apakah perhitungan sebenar Azmin? Sekali lagi Azmin mahu melakukan rundingan semula dengan Kerajaan Persekutuan.
Yang dapat kita lihat, ternyata Azmin tidak mahu kehebatan pentadbiran Abdul Khalid membayanginya. Sejarah peninggalan Abdul Khalid seperti lebuh raya dan penstrukturan air mahu ditulis semula.
Beliau mahu memahat nama sebagai menteri besar yang menyelesaikan masalah, punya pencapaian hebat berbanding menteri besar terdahulu. Cuma caranya janggal yakni, dengan menimbulkan masalah.-UMO
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan