Sabtu, Mac 28, 2015

Petronas rakan kongsi terbaik F1!

PETRONAS dan Grand Prix Malaysia berjaya membentuk kerjasama yang menakjubkan.

Juara dunia, Lewis Hamilton pernah menyifatkan Petronas sebagai rakan kongsi terbaik Formula Satu (F1), malah menganggap kepakaran teknikal syarikat petroleum negara itu dalam mengeluarkan formula bahan api serta pelincir merupakan penyumbang utama kepada prestasi cemerlang pasukan Mercedes AMG Petronas musim lalu.

Pasukan Mercedes mendominasi musim 2014 dengan memenangi 16 daripada 19 perlumbaan, 11 menerusi Hamilton, manakala lima diraih Nico Rosberg.

Peningkatan besar yang ditunjukkan pasukan yang berpangkalan di Britain tersebut membuktikan Petronas semakin mengukuhkan kedudukan sejak melibatkan diri dalam F1 buat kali pertama pada 1995 menerusi tajaannya bersama Red Bull-Sauber Petronas.

Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah F1 buat kali pertama pada 1999 telah membuka ruang lebih luas kepada mereka untuk terus mengembangkan sayap dalam sukan termahal dunia itu.

Menjadi penaja utama Grand Prix Malaysia sejak 16 tahun lalu sehinggalah sekarang, Petronas sentiasa memberi komitmen bagi memastikan perlumbaan F1 dapat dilangsungkan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Sejak 1995 sehingga 2005 pula, Petronas telah menjadi rakan kongsi eksklusif Sauber dan kemudian pada 2006 hingga 2009, mereka menjalinkan kerjasama bersama BMW Sauber F1 Team.

Bermula tahun 2010, syarikat petroleum nasional itu memilih Mercedes Grand Prix sebagai pertaruhan untuk meneruskan perjuangan dalam F1. Pada peringkat awal kerjasama, mereka sekadar menjadi penaja utama pasukan, sebelum mengorak langkah lebih jauh dengan membangunkan formula petrol baharu untuk enjin V6 pada 2012.

Hasil kerja keras warga Petronas, impian mereka akhirnya menjadi realiti apabila minyak pelincir dan bahan api jenama syarikat itu digunakan buat pertama kali untuk jentera Mercedes dalam perlumbaan kompetitif F1, tahun lalu.

Malah, pertaruhan sulung Petronas nyata membuahkan hasil yang cukup lumayan apabila pasukan Mercedes AMG Petronas muncul sebagai pemenang untuk kategori pengeluar, selain Hamilton dinobatkan sebagai juara dunia. - UMO 

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan