Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Selasa, Mac 03, 2015
Pengajaran berguna buat Lim Guan Eng daripada komuniti Cina Chew Jetty?
Minggu lalu isu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang tidak dijemput menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Chew Jetty menjadi perbualan hangat masyarakat Cina di negeri ini.
Ramai yang melahirkan rasa hairan mengapa Guan Eng tidak dijemput sebagai tetamu khas dalam sambutan yang berlangsung penuh meriah di Weld Quay itu.
Sedangkan sejak DAP memerintah negeri ini pada 2008, beliau dan barisan Exco kerajaan negerinya tidak pernah terlepas menghadiri sambutan perayaan itu saban tahun.
Lebih membuatkan ramai tertanya-tanya apabila kedudukan Guan Eng sebagai tetamu khas dalam majlis itu digantikan Pengerusi MCA negeri, Datuk Chew Mei Fun dan Pengerusi Gerakan negeri, Teng Chang Yeow.
Situasi itu sudah semestinya satu tamparan hebat kepada Guan Eng kerana dari sudut pengaruh dan populariti, Ketua Menteri berkenaan nampaknya bukan lagi menjadi pilihan utama seperti tahun-tahun sebelum ini.
Maka tidak hairanlah apabila Ahli Parlimen Tanjong daripada DAP, Ng Wei Aik membuat kenyataan seolah-olah merajuk dan kecewa dengan tindakan persatuan itu tidak menjemput mereka.
Wei Aik sendiri pastinya lebih berasa terpinggir kerana beliau ialah wakil rakyat di kawasan itu tetapi turut tidak dijemput menghadiri perayaan besar-besaran tersebut.
Komuniti Chew ini antara masyarakat Cina terawal di negeri ini yang membuka penempatan di atas air di Pengkalan Weld.
Selain komuniti Chew, terdapat kira-kira lapan lagi komuniti masyarakat Cina di kawasan itu mengikut nama keluarga dengan ada daripadanya tidak lagi wujud kerana penempatan mereka dimusnahkan.
Komuniti Chew ini lebih besar dan paling popular sama ada dalam kalangan masyarakat tempatan atau pelancong.
Dengan kedudukan itu, tiada siapa boleh menafikan masyarakat Chew mempunyai pengaruh penting dalam landskap politik kaum Cina di negeri ini.
Namun untuk menyimpulkan apa yang berlaku itu sebagai isyarat perubahan masyarakat Cina di negeri ini pastinya sesuatu yang sangat bercita-cita besar. Tetapi apa yang berlaku itu boleh dilihat dari sudut positif bahawa pengaruh DAP bukanlah selamanya kekal dalam kalangan masyarakat Cina di negeri ini.
Apatah lagi banyak dasar Kerajaan DAP Pulau Pinang yang semakin tidak disenangi komuniti Cina.
Masyarakat Cina Chew Jetty juga difahamkan tidak berpuas hati dengan kenaikan cukai tanah yang dikenakan kerajaan negeri.
Isu-isu lain adalah kenaikan pelbagai caj terhadap penduduk seperti tarif air.
Isu kenaikan pelbagai caj ini sebenarnya bukanlah semata-mata kerana faktor bebanan kewangan kepada penduduk. Tetapi lebih kepada bagaimana DAP memungkiri janji mereka kepada rakyat sebelum mengambil alih pentadbiran negeri ini.
Isu ketiadaan rumah mampu milik juga semakin kritikal di negeri ini sedangkan projek komersial mewah silih-berganti diluluskan kerajaan negeri.
Nasib penduduk yang dihalau dari penempatan mereka bagi memberi laluan kepada projek pembangunan juga gagal diatasi sehingga kini.
Dalam isu sambutan perayaan Tahun Baharu Cina masyarakat Chew itu misalnya, meskipun Pengerusi Persatuan Chew Jetty, Chew Hock Ean seboleh-bolehnya menafikan kehadiran Mei Fun dan Chang Yeow adalah atas dasar politik, namun sesiapa pun boleh membuat andaian ke arah mana kecenderungan politik persatuan masyarakat Cina itu selepas ini.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan