Ahad, Mac 22, 2015

Hudud: Polis siasat penyampai BFM dan individu mengugut?


Susulan video mengenai undang-undang hudud di Kelantan yang menjadi viral sejak Jumaat lalu, polis akan menyiasat penyampai stesen radio BFM terbabit serta individu yang mengugut penyampai itu.

Memetik laporan Mstar, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi status yang dimuat naik di Twitter menyatakan bahawa penulis skrip bagi video sensasi tersebut akan turut dipanggil untuk siasatan.

"Polis Diraja Malaysia akan menyiasat kedua-dua pihak iaitu penyiar BFM dan yang ugut penyiar. Penulis skrip penyiar juga akan dipanggil,” tegas Ketua Polis Negara.


Penyampai stesen radio BFM, Aisyah Tajuddin menerima ugutan selepas gambar-gambarnya tersebar secara meluas di laman Facebook dengan pelbagai kata-kata kesat ditujukan terhadapnya.

Bagaimanapun, BFM telah mengeluarkan video berkenaan dari halaman YouTube BFM.

Menerusi kenyataan stesen radio itu, pihaknya kesal dengan serangan peribadi terhadap Aisyah yang sebenarnya bukan penyampai tetap dalam segmen video tersebut.

Video satira dengan dua minit itu dinamakan ‘Hudud isi periuk nasi' dan mula disiarkan pada hari Khamis. Aisyah dilaporkan telah mengkritik Dewan Undangan Negeri Kelantan yang meluluskan pindaan Kanun Jenayah Syariah II 1993.

Video penuh kontroversi itu dihasil dan diarahkan oleh Projek Dialog yakni sebuah platform untuk membincangkan isu-isu penting di dalam negara.

Aisyah menyatakan bahawa agama telah digunakan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar seperti ekonomi dan kadar penggunaan dadah dan perceraian yang tinggi.

Menurut BFM, Aisyah bukanlah penulis skrip, justeru apa yang dilihat di video itu bukanlah pendirian peribadinya mengenai isu itu. Stesen radio itu turut memohon maaf di atas sebarang masalah yang mungkin timbul daripada video tersebut.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan