Sabtu, Februari 28, 2015

Soksek-soksek akhbar berbahasa Cina - DAP “CEMARI” TAHUN BAHARU CINA?

Keratan akhbar China Press bertarikh 25 Februari 2015.

Akhbar China Press bertarikh 25 Februari 2015 menyiarkan artikel yang menyentuh mengenai tindakan dua ahli DAP yang mencetuskan kontroversi apabila memuat naik beberapa keping gambar mereka berjudi di tempat terbuka dan membakar mercun dalam Facebook semasa perayaan Tahun Baharu Cina, baru-baru.

Artikel bertajuk ‘Bermula sahaja Tahun Baharu Cina DAP sudah berkulat’ ditulis oleh Lim Eng Theng itu disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C17.

Kontroversi tercetus setelah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Eddie Ng Tien Chee dan Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Lai Wai Chong cuba mewajarkan tindakan mereka, biarpun secara terang-terangan telah melanggar undang-undang dan peraturan.

Mengaku gambar itu adalah dirinya, Wai Chong menganggap pembakaran mercun tidak harus dijadikan satu kesalahan, lebih-lebih lagi aktiviti itu akan memeriahkan lagi suasana perayaan Tahun Baharu Cina.

Hakikatnya, beliau terlepas pandang bahawa jika pihak berkuasa memberi kelonggaran itu, permintaan mercun di pasaran meningkat, sekali gus mendorong banyak simpanan stok mercun.

Padah dapat dilihat apabila sebuah kedai runcit di Pangsapuri Emas, Butterworth, Pulau Pinang yang menyimpan pelbagai jenis bunga api dipercayai untuk dijual sempena Tahun Baharu Cina musnah terbakar pada 8 Februari lalu.

Kebakaran kedai runcit yang terletak di tingkat bawah bangunan lima tingkat dalam kejadian pukul 11.31 malam itu turut menyebabkan tiga motosikal di hadapan kedai terbakar, selain tiga buah rumah yang berada di tingkat atas kedai runcit mengalami keretakan.

Penulis menyifatkan Wai Chong tidak bersikap matang apabila hanya memikirkan keseronokan tanpa mengambil kira kesan mudarat dan bahaya kepada orang awam akibat kelonggaran diberi kepada masyarakat itu untuk bermain mercun secara berleluasa.

Berbanding Wai Chong, Tien Chee pula berhasrat untuk me­ngambil tindakan saman malu terhadap pihak yang cuba menjatuhkan maruahnya ekoran penyebaran gambar dirinya yang berjudi secara terbuka.

Lebih mengelirukan orang ramai, beliau sendiri tidak dapat mengesahkan bahawa dalam gambar itu adalah dirinya biarpun mengaku pernah terlibat dengan perjudian beramai-ramai.

Pada hemat penulis, sebagai seorang ADUN, Tien Chee perlu menjaga imej wakil rakyat sebagai sebahagian pendokong undang-undang. Tindakannya itu jelas menjejaskan DAP dan parti itu sewajarnya mengenakan tindakan disiplin, biarpun pihak polis tidak mengambil sebarang tindakan.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan