Sabtu, Januari 31, 2015

Zulkifli ancam lawatan Pope Francis?

Zulkifli Khir (kiri) dan gambar yang dipercayai mayatnya.

Zulkifli Khir @ Marwan yang terbunuh dalam pertempuran dengan polis Filipina Ahad lalu didakwa pernah mengatur pe­rancangan untuk mengancam keselamatan pemimpin Vatican, Pope Francis yang hadir melawat Filipina, baru-baru ini.

Sumber mendedahkan, Zulkifli walaupun tidak lagi memberi ancaman terbesar kepada negara-negara di Asia Tenggara namun dia dikesan menjadi dalang kepada serangan-serangan di Filipina.

Risikan Filipina dikatakan pernah mendapat maklumat berhu­bung rancangan serangan terhadap pemim­pin agama berusia 78 tahun itu dan langkah berjaga-jaga telah diambil pihak berkuasa negara tersebut.

“Dia dipercayai merancang beberapa siri pengeboman di Filipina dan kononnya pada lawatan Pope dua minggu lalu, Zulkifli mahu mencetuskan aktiviti keganasan.

“Mungkin serangan pihak ber­kuasa Filipina Ahad lalu adalah mahu memberi tekanan kepada Zulkifli dan kumpulannya berda­sar­kan maklumat yang diterima dan dia akhirnya tewas,” kata sumber ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia men­­dedahkan, risikan polis me­nge­sahkan pengganas paling di­ke­­hendaki di Asia Tenggara itu dilaporkan telah terbunuh dalam serangan yang dilakukan pihak berkuasa Filipina di Wilayah Cotabato, Selatan Filipina.

Walaupun tanpa pengesahan rasmi daripada Filipina, sumber risikan daripada Filipina yakin ma­yat yang ditemui bersama puluhan pemberontak Barisan Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) adalah bekas pemimpin Jemaah Islamiah (JI) tersebut.

Bukti kematian itu berdasarkan satu mayat yang wajahnya menyerupai Zulkifli.

Sebelum itu akhbar Filipina melaporkan seramai 27 polis elit terkorban dalam misi itu dan Zul­kifli bersama Basit Usman yang merupakan pemimpin Barisan Pem­bebasan Islam Moro (MILF) dikatakan terperangkap dalam kepungan dan kemungkinan kehabisan peluru dalam pertempuran sengit itu.

Dalam perkembangan berka­itan, sum­ber turut memberitahu, kedudukan Zulkifli Hir yang dibu­ru polis sejak lebih 14 tahun lalu kemungkinan didedahkan oleh ‘orang dalam’.

Kata sumber, hadiah ganjaran RM17.5 juta yang pernah ditawarkan kerajaan Amerika Syarikat kepada sesiapa yang mampu memberi maklumat untuk menangkap atau membunuh Zulkifli masih lagi sah sehingga kini.

“Itu adalah hakikat yang sebenar dan kemungkinan ada pihak yang membocorkan maklumat sehingga pihak berkuasa Filipina terus menyerang lokasi persembunyian Zulkifli,” katanya.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan