Sabtu, Januari 24, 2015

Mahkamah Benar Permohonan Saiful Pinda Tuntutan Saman Terhadap Anwar?


KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan, untuk meminda pernyataan tuntutan dalam saman RM50 jutanya terhadap ketua pembangkang itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu di dalam kamarnya selepas mendengar hujahan peguam Zamri Idrus yang mewakili Mohd Saiful dan Shahid Adli Kamarudin yang mewakili Anwar.

Zamri memberitahu media bahawa mahkamah memerintahkan Anwar memfailkan pernyataan pembelaan pindaan sebelum 23 Feb dan mahkamah menetapkan 13 Mac untuk pengurusan kes.

Pada 16 Jan lepas Mohd Saiful memfailkan permohonan untuk meminda pernyataan tuntutannya itu bagi memasukkan butiran terperinci berhubung dakwaan fitnah oleh Anwar mengenai laporan polis yang dibuat oleh Mohd Saiful mengenai kejadian liwat, enam tahun lepas.

Pada 23 Jun tahun lepas, Mohd Saiful, 30, memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi RM50 juta selepas mendakwa beliau mengalami kesakitan fizikal dan menanggung penderitaan sejak 2008 sehingga kini akibat diliwat oleh Anwar.


Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Saiful mendakwa Anwar menuduh laporan polis yang dibuat pada 28 Jun 2008 mengenai kejadian liwat itu sebagai satu fitnah dan konspirasi terhadap Anwar.

Mohd Saiful juga mendakwa beliau tidak pernah berbohong dengan kandungan laporan polis itu yang menyatakan Anwar telah meliwatnya dan kali terakhir kejadian itu berlaku pada 26 Jun 2008, di Unit 1151, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, di sini.

Mohd Saiful mendakwa beliau telah dipandang rendah oleh masyarakat yang mempercayai tuduhan Anwar terhadapnya, dicemuh di laman-laman sosial dan telah mengalami tekanan teruk akibat daripada fitnah dan kejadian liwat itu.

Sehubungan itu, Mohd Saiful memohon ganti rugi RM50 juta, ganti rugi am, khas, teruk, faedah, kos dan lain-lain relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Anwar dalam pernyataan pembelaan yang difailkan 8 Okt tahun lepas menafikan beliau meliwat Mohd Saiful dan berkata dakwaan liwat itu adalah tidak benar kerana menurutnya kejadian itu tidak pernah berlaku – BERNAMA

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan