Ahad, Januari 11, 2015

Ekor QZ8501 berjaya diapungkan?

Stesen televisyen tempatan KompasTV menyiarkan secara langsung proses pengangkatan ekor QZ8501.

PANGKALAN BUN - Pasukan penyelam gabungan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) serta Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) negara itu akhirnya berjaya mengangkat bahagian ekor bangkai pesawat AirAsia QZ8501 daripada dasar laut Selat Karimata, dekat Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah hari ini.

Pencarian bahagian ekor pesawat jenis Airbus A320-200 itu menjadi misi penting kerana bahagian tersebut menyimpan kotak hitam yang merakamkan pelbagai data penerbangan yang diharap mampu membantu siasatan insiden nahas tersebut.

Laporan pemantauan Kompas.com dari Kapal Banda Aceh, yang turut menyiarkan secara langsung peristiwa itu menjelaskan bahawa belon yang digunakan untuk mengangkat ekor pesawat berhasil mengapungkan bangkai pesawat tersebut kira-kira jam 11.50 pagi waktu tempatan.

Kelibat ekor pesawat berkenaan juga sudah mula terlihat di permukaan laut yang berombak.

Kerja-kerja pengapungan ekor pesawat itu sudah bermula sejak Khamis lalu namun pasukan penyelam berdepan pelbagai rintangan seperti faktor cuaca, kekuatan arus dan juga jarak pandangan akibat keadaan berlumpur.

Pasukan gabungan TNI-AL dan BASARNAS akhirnya pada Sabtu berjaya mengangkat sebahagian daripada ekor QZ8501 daripada dasar Selatan Karimata menggunakan ‘lifting bag‘ atau belon pengangkatan yang diikatkan pasukan penyelam ke ekor pesawat sehingga terapung ke permukaan laut.

Berikut kronologi proses pengangkatan bermula jam 6 pagi tadi waktu Indonesia Barat (WIB):-

06.00 WIB: Penyelam mula turun tahap 1 hingga tahap 4.

10.12 WIB: Pengisian udara ke dalam enam biji belon pengangkatan.

11.14 WIB: Selaman tahap kelima, untuk mengapungkan ekor bermula.

11.31 WIB: Penyelam tiba di permukaan laut.

11.40 WIB: Selaman keenam mennimbulkan ekor pesawat bermula.

11.48 WIB: Penyelam timbul di permukaan.

11.50 WIB: “Lifting bag” atau belon pengangkatan muncul ke permukaan dan serpihan ekor QZ8501 berjaya.

12.20 WIB: Bangkai ekor QZ8501 muncul di permukaan dan dalam proses ditunda menghampiri kapal Crest Onyx.

Belum dapat dipastikan sama ada kotak hitam QZ berada bersama serpihan ekor yang berjaya diangkat kerana sebelum ini dilaporkan alat pengesan sonar dari kapal navigasi TNI-AL, Jadayat mendapati kotak hitam itu sudah terpisah daripada bahagian ekor pesawat dan dihanyutkan arus sejauh 1.7 batu nautika.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan