Isnin, Januari 05, 2015

AirAsia #QZ8521 : Banyak mayat dalam bangkai pesawat?


Gabungan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari pelbagai negara percaya banyak mayat penumpang serta anak kapal QZ8501 masih berada dalam bangkai pesawat AirAsia Indonesia tersebut.

Justeru, fokus utama gabungan pasukan penyelamat ketika ini ialah untuk mendapatkan segera lokasi tepat kedudukan sebenar bangkai QZ8501, yang dipercayai terbenam dalam keadaan terbalik di Laut Jawa.

Menurut Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, kepercayaan itu bersandarkan kepada beberapa faktor, terutama corak kemalangan pesawat hasil dari serpihan dan mayat yang ditemukan.

“Kita percaya banyak mayat berada dalam badan pesawat dan tertenggelam bersama-sama ke dasar laut. Fokus sekarang ialah mencari lokasi sebenar kedudukan QZ8501 bagi meleraikan segala persoalan tersebut.


“Selain mayat mangsa, kedudukan lokasi sebenar badan pesawat adalah penting kerana dari situ harapan untuk mendapatkan kotak hitam adalah tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kemungkinan mayat terbenam bersama-sama bangkai pesawat itu menguatkan andaian bahawa QZ8501 sempat melakukan pendaratan cemas di laut, sebelum akhirnya tenggelam akibat keadaan laut bergelora.

Malah, bekas Ke­tua Staf Angkatan Udara Indonesia, Chapy Hakim berkata, buat masa ini andaian tersebut adalah paling munasabah berdasarkan petunjuk keadaan mayat serta serpihan pesawat berkenaan.

Pesawat QZ8501 membawa seramai 162 penumpang dan anak kapal, tetapi selepas enam hari operasi SAR digerakkan, hanya 16 mayat berjaya ditemukan sehingga kini manakala bakinya belum dapat dikesan.


Dalam pada itu, Abdul Aziz mengesahkan bahawa tumpuan operasi pasukan SAR adalah di sektor IV dan V sekitar Pulau Belitung, kerana pesawat QZ8501 dipercayai terbenam di kawasan tersebut.

Bagaimanapun kata beliau, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diminta memantau kawasan pencarian di sektor II dan III kerana pihak Indonesia sudah menghantar kapal khas, Baruna Jaya 1 ke lokasi terbabit.

“Sehingga kini, TLDM berjaya menemukan empat mayat tetapi hanya tiga dapat dinaikkan dan saya cukup berbangga dengan komitmen serta nilai profesionalisme mereka meskipun dalam keadaan cuaca mencabar,” katanya.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

  1. Tahniah kepada TLDM dan seluruh warga yg sedang dalam misi menyelamat. Kita doakan semua yg terlibat dalam misi ini sentiasa dilindungi dan dipermudahkan oleh Allah swt. Amin.

    AG KL

    BalasPadam