Selasa, Disember 30, 2014

Terkini....!!! Tragedi nahas AirAsia #QZ8501 : Reda ketentuan takdir!



30 DIS : Beberapa mayat tragedi pesawat QZ8501 yang ditemui terapung di dalam air sudah dibawa menaiki kapal tentera laut Indonesia.

Suasana sedih menyelubungi Pusat Krisis Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda yang dipenuhi ratusan waris dan anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia selepas pihak DCA negara itu mengesahkan penemuan serpihan pesawat sebentar tadi.

Suasana di pusat ini yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Surabaya yang pada awalnya terkawal, bertukar ratapan dan suasana sedih.

Ketua Badan Badan SAR Nasional (BASARNAS) di Surabaya, M Hernanto dilihat memberikan taklimat manakala pegawai penerbangan AirAsia Indonesia menenangkan para waris keluarga mangsa pesawat yang hilang itu.


Antara yang kedengaran ialah ‘sila bersabar’ dan sebahagian mereka dilihat berupaya mengawal emosi dengan ketenangan terpancar di riak wajah waris keluarga sekalipun menonton visual serpihan yang disiarkan stesen televisyen tempatan secara langsung dari kawasan pencarian.

Mereka melihat dan mendengar dakwaan Pembantu juruterbang Hercules C130 Indonesia yang mengaku melihat objek seperti mayat manusia terapung di Selat Karimata di mana objek lain seperti pelampung dan serpihan pesawat.


“Pada awalnya saya lihat seperti manusia melambai-lambai, mungkin dia menyedari kehadiran pesawat. Tetapi selepas kami dekati, nampak ia sudah membengkak. Ia kelihatan melambai-lambai mungkin kerana dipukul ombak,” kata Leftenan Satu Tri WibowoTri.

Pesawat Airbus 320-200 bersama 162 orang penumpang dan anak kapal berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi Ahad dan dijadualkan tiba di Singapura pada 8.20 pagi tetapi hilang komunikasi dengan menara kawalan trafik udara Indonesia pada 7.24 pagi.

Seramai 155 daripada mereka adalah warga Indonesia dan seorang dari Malaysia.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan