Rabu, Disember 10, 2014

Kedudukan Guan Eng tergugat?


Kedudukan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri disifatkan seolah-olah berada di hujung tanduk ekoran wujud desakan supaya beliau digantikan oleh Pengerusi DAP negeri, Chan Kon Yeow.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, desakan supaya Kon Yeow yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu-lintas dan Tebatan Banjir menggantikan Guan Eng bukan sesuatu yang baharu di negeri ini.

Malah menurut beliau, desakan itu juga bukan merupakan serangan politik oleh musuh DAP, sebaliknya merupakan suara akar umbi parti tersebut yang secara terbuka mahukan perubahan dalam kepemimpinan kerajaan negeri.

“Desakan itu amat bersesuaian dan bertepatan pada masanya kerana bukan sahaja merupakan kebangkitan ahli-ahli DAP, malah daripada masyarakat Cina dan majoriti penduduk negeri ini sendiri yang mahukan seorang Ketua Menteri yang boleh mendengar rintihan serta mudah didekati mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rahmad Isahak

Beliau mengulas desakan pihak tertentu yang dipercayai dari dalam DAP sendiri supaya Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota menggantikan Guan Eng sebagai Ketua Menteri.

Desakan itu dibuat secara terbuka menerusi kain rentang yang digantung di beberapa lokasi di negeri ini termasuk di Jambatan Pulau Pinang beberapa hari lalu.

Dalam pada itu, Rahmad menyifatkan pemilihan Kon Yeow bagi menggantikan Guan Eng adalah tepat memandangkan Kon Yeow amat memahami situasi geopolitik negeri ini kerana sudah berkhidmat beberapa penggal sebagai ADUN dan ahli Parlimen.

Selain itu katanya, Kon Yeow juga mudah diterima masyarakat tempatan kerana sudah bermastautin di negeri ini lebih 30 tahun serta turut disegani ahli-ahli DAP dan lawan politik.


Tambahnya, Guan Eng tidak perlu meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Kon Yeow sebaliknya diganti oleh pemimpin dan ahli akar umbi secara demokratik demi kepentingan rakyat.

“Rakyat berpandangan tidak perlu menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang bagi merealisasikan episod ubah berkenaan.

“Jawatan Ketua Menteri perlu diubah dari sekarang jika ahli akar umbi serius dalam isu tersebut kerana pemimpin DAP tidak boleh terlalu yakin dan optimistik mereka akan terus berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan