Jumaat, Disember 05, 2014

Adakah peringatan kosong semata-mata - Henti tuntut Timbalan Speaker?


Pas Selangor mengingatkan sekutunya, DAP supaya menghentikan serta-merta tuntutan kerusi jawatan Timbalan Speaker II Dewan Undangan Negeri (DUN).

Timbalan Pesuruhjaya I Pas negeri, Sallehen Mukhyi berkata, tuntutan tersebut dilihat tidak kena pada tempatnya memandangkan jawatan tersebut telah diisi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi daripada Pas, Mohd. Shafie Ngah.

“Saya tidak setuju supaya diadakan jawatan Timbalan Speaker II DUN (sebagaimana yang dituntut oleh DAP). Tidak ada keperluan jawatan itu diwujudkan.


“Tugas Timbalan Speaker DUN juga hanya terhad semasa persidangan dewan. Daripada terus berpolemik dengan tuntutan sebegini, nanti rakyat melihat kita sebagai gila jawatan,” katanya yang juga ADUN Sabak ketika ditemui di lobi DUN, di sini hari ini.

Semalam, DAP Selangor menetapkan pendirian akan terus menuntut kerusi Timbalan Speaker DUN seperti yang dijanjikan oleh Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali meskipun jawatan itu telah diberikan kepada Pas.

Menurut Timbalan Setiausaha DAP Selangor, Ng Suee Lim, tuntutan itu dibuat selepas kedua-dua parti berkenaan menunjukkan sokongan penuh ketika krisis Menteri Besar Selangor sebelum ini.

Dalam pada itu, Sallehen menafikan tuntutan DAP tersebut sebagai satu tindakan ‘balas dendam’ kerana Exco-exco parti berkenaan tidak bersama-sama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan semasa krisis Menteri Besar sebelum ini.


“Saya tidak fikir ada perbalahan. Kalau ada sentimen individu, saya tidak pastilah,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN negeri, Datuk Shamsudin Lias menyifatkan tuntutan DAP jelas membuktikan parti ter­babit tamak kuasa dan tidak memahami prinsip demokrasi yang dilaungkan mereka selama ini.

Katanya, hal demikian kerana pelantikan jawatan Timbalan Speaker DUN pada 24 November lalu dibuat menerusi undian yang menyaksikan Mohd. Shafie mendapat 28 undi manakala Suee Lim yang mewakili DAP hanya mendapat 14.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan