Selasa, November 04, 2014

Teguran Najib kepada UMNO Selangor - Bersikap jujur, bukan pentingkan kem?


Datuk Seri Najib Tun Razak memberi teguran keras kepada kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor agar bersikap jujur dan bukannya mementingkan kem tertentu dalam usaha menawan kembali negeri tersebut pada pilihan raya umum akan datang.

Malah, Presiden UMNO itu tanpa berselindung mengakui bahawa beliau malu, letih, perit dan serik dengan kemelut politik UMNO Selangor sebelum ini dan berharap, perkara sedemikian tidak berlaku lagi pada masa hadapan kerana merampas Selangor mesti menjadi kemestian utama.

Perdana Menteri juga secara terbuka meluahkan rasa tidak berpuas hatinya dengan proses penambahan ahli serta pendaftaran pengundi di Selangor, yang disifatkan sebagai masih lembab berdasarkan angka-angka semasa dan ujarnya, senario serupa turut berlaku di negeri-negeri lain.

Pada satu ketika juga, Najib dilihat menepuk ‘rostrum’ sebanyak tiga kali ketika mengupas mengenai kewujudan kem tertentu pada pilihan raya umum lalu serta penilaian tidak jujur oleh Badan Perhubungan UMNO Selangor berhubungan kriteria dalam soal pemilihan calon.


“Kalau kita nak memilih calon, tak boleh pilih kerana (dia) penyokong kuat dan dari kem kita, betul? Siapa patut dipilih? Kalau kawasan itu berkehendakkan pemimpin yang berwibawa, cuba kita huraikan apa maksud dan kriteria berwibawa? Malangnya semua kata mereka ‘winnable candidate’ (calon boleh menang).

“Hakikatnya kita tidak jujur kepada diri kita, kita tidak menilai dengan sebenarnya. Kita lebih mementingkan kedudukan kita daripada kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Kalau kita tidak berani buat perubahan ini, apa makna-nya kita bercakap soal perubahan?

“Maaf kalau saya bercakap dalam nada sedemikian tapi saya nak berterus terang, bahawa tiada apa dalam hati yang menggembirakan saya daripada melihat kita menebus maruah dalam pilihan raya umum akan datang, tidak ada yang menggembirakan saya daripada melihat kita kembali berkuasa,” katanya.


Ucapan keras Perdana Menteri semasa merasmikan Konvensyen UMNO Selangor 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu kemudiannya disambut dengan laungan ‘Betul!’ serta ‘Hidup Najib!’ oleh para hadirin.

Dalam pada itu, Najib menggesa Badan Perhubungan UMNO Nege-ri Selangor supaya segera bangkit dengan semangat baharu di samping menerima hakikat bahawa parti berkenaan tidak lagi berkuasa seperti sebelum ini, sebaliknya merupakan pembangkang menyebabkan gerak kerja parti perlu dilipat gandakan.

Katanya, seandainya semua pihak memiliki semangat untuk bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut dalam pilihan raya umum lalu, tiada sebab mengapa UMNO dan BN tidak boleh kembali menjadi parti yang memerintah Selangor.

“Saya berjanji akan membantu Selangor tetapi saya minta keberhasilan. Lakukan usaha ini dengan kos yang rendah tetapi keberhasilannya tinggi dan ingatlah, Allah tidak akan mengubah nasib kita melainkan kita sendiri berusaha untuk mengubahnya,” jelasnya.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan