Khamis, November 13, 2014

Rumah mampu milik atau mampu tengok?

Bakal pembeli rumah melihat contoh unit-unit rumah yang akan dibina oleh syarikat pemaju perumahan Sterling Prima pada majlis pelancaran projek perumahan mampu milik MasReca-19 di Cyberjaya baru-baru ini.

Mengikut portal har­tanah Global Property Guide, pada suku ke­­tiga tahun 2013, harga rumah di Kuala Lumpur adalah tertinggi di negara ini dengan harga purata sebuah rumah mencecah RM 620,758. Ini diikuti oleh Sabah dan Selangor, dengan harga purata masing-masing RM413,187 dan RM405,826.

Menurut seorang pekerja swasta yang menyewa rumah di Shah Alam dan bekerja di Subang Jaya, Futra Hurairah, - “Kalau keadaan begini berterusan, 10 tahun lagi pun belum tentu mampu membelinya.”

Portal yang sama menyatakan dalam suku ketiga tahun 2013, harga purata sebuah rumah teres di negara ini adalah sekitar RM238,337 manakala harga sebuah rumah berkembar adalah RM421,622 dan harga sebuah rumah banglo adalah RM458,858.

Pastinya harga sebenar sebuah rumah itu berbeza mengikut lokasi, dan tertakluk juga kepada elemen bekalan dan permintaan. Apa pun, secara mudah bolehlah kita katakan bahawa harga sebuah rumah teres sudah mencecah suku juta ringgit manakala jenis lain sudah mencecah setengah juta ringgit ke atas.

Tak hairanlah kita kenapa ramai orang muda yang penulis temui di Lembah Klang memberitahu bahawa rumah yang dibina oleh pemaju sudah tidak lagi berkategori “mampu milik”. Mereka berpendapat rumah yang dibina sekarang ditujukan kepada pembeli asing. Akibatnya, bagi golongan muda, rumah yang ada sekarang hanyalah rumah “mampu tengok” sahaja.

Mereka tidak mengatakan kerajaan tidak melakukan sesuatu meng­atasi masalah ini. Mereka tahu bahawa pada Januari 2010, harga lantai yang ditetapkan oleh kerajaan bagi pembeli asing adalah RM500,000 manakala pada Januari 2014 lalu, tahap ini telah dinaikkan lagi ke paras RM1 juta.
Hanya rumah kediaman yang berharga melebihi harga lantai itu sahaja yang boleh dibeli oleh pembeli asing.

Persoalannya, apakah langkah kerajaan menetapkan harga lantai ini sudah memadai mengekang selera pembeli asing membeli dan memiliki rumah kediaman di negara ini?

Tidak bolehkah pemaju perumahan kita dipaksa membina sekian peratus rumah mampu milik (mi­salnya di bawah RM250,000) bagi setiap projek perumahan yang mereka ingin bangunkan?

Kalau pada satu masa dulu, kerajaan ada dasar memaksa pemaju perumahan membina misalnya 30% rumah kos murah atau rumah kos sederhana, kenapakah dasar sedemikian itu tidak boleh dilaksanakan pada masa ini berhubung kes rumah mampu milik?

Pada Mei 2012 lalu, media me­laporkan kerajaan Sabah me­ran­cang mewujudkan satu dasar ba­­haru di mana setiap pemaju perumahan dikehendaki membina 30% rumah mampu milik sebelum dibenarkan membina rumah jenis mahal yang lain. Langkah ini segera dibantah dan ditentang oleh syarikat pemaju perumahan.

Sebuah portal berita tempatan baru-baru ini melaporkan bahawa di Johor Bahru, Johor harga satu unit kondominium yang ditawarkan oleh pemaju kini mencecah RM800,000 bagi unit bersaiz 800 kaki persegi dan ke bawah, manakala bagi unit bersaiz 1,000 kaki persegi dan berhadapan dengan laut, harganya melebihi RM1 juta.

Penduduk Johor Bahru meng­gelar kategori rumah sedemikian sebagai rumah “mampu tengok”, kerana pastinya rumah sedemikian itu di luar kemampuan sebahagian besar warga tempatan.

Warga Johor berharap mereka akan bernasib baik dapat membeli salah satu rumah yang akan dibina di bawah program Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) tajaan Kerajaan Negeri Johor atau rumah di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) tajaan Kerajaan Persekutuan.

Malangnya, menurut portal itu lagi, projek perumahan yang diusahakan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri itu “berjalan amat perlahan”, manakala kuantiti rumah yang ditawarkan di Johor Bahru tidak akan dapat menampung permintaan tinggi dari penduduk tempatan.

Pada 19 Oktober lalu, pengendali sebuah portal yang melakukan tinjauan di Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex 2014) yang berlangsung di Midvalley, Kuala Lumpur, mendapati hampir semua projek hartanah yang dipamerkan di situ adalah “Rumah Mampu Tengok”, memandangkan kesemuanya dijual dengan harga RM400,000 ke atas sehinggalah berjuta-juta ringgit. (Sila lihat http://www.eyriqazz.com/2014/10/laguna-biru-sungai-buloh-fasa-2.html)

Pada April lalu, Setiausaha Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Chang Kim Loong dipetik sebagai berkata, apabila HBA mencadangkan program rumah mampu milik dulu, HBA mahu kerajaan menggunakan bank tanahnya yang sedia ada dan membina rumah dengan kos yang paling minimum.

Malangnya, tujuan asal ini sudah diketepikan dan program PRIMA kini membolehkan usahasama dijalankan dengan pemaju swasta – yang pastinya berorientasikan matlamat keuntungan.

PRIMA ditubuhkan pada 2012 dengan matlamat utamanya membina rumah mampu milik untuk rakyat.

Sehingga April 2014, sudah ada 500,000 permohonan untuk mendapatkan 80,000 unit rumah. Pastinya angka ini bertambah sejak tarikh itu hingga akhir tahun ini.

Pada 1996, ketika penulis berhijrah ke Alor Setar, Kedah, penulis bernasib baik dapat membeli sebuah rumah sederhana besar setingkat, dengan keluasan tanah tak sampai 6,000 kaki persegi, dengan harga RM105,000.

Pada masa ini, kalau pun masih ada rumah seperti itu yang dibina dan dijual oleh pemaju, harganya pasti antara RM400,000 hingga setengah juta, apatah lagi jika dibangunkan atas tanah bukan Tanak Rizab Melayu dan loka­sinya begitu hampir dengan pusat bandar.

Presiden Institut Ejen Harta­nah Malaysia (MIEA), Siva Shanker menyatakan harga rumah kini terus melambung tinggi. Sebuah rumah berkembar yang pada tahun 2008 dijual dengan harga antara RM650,000 dan RM800,000 sudah melambung ke paras RM1.6 juta.

Lalu dia bertanya - “Macam mana harga rumah boleh melambung 100% dalam masa 5 tahun?”

Maka, kerajaan perlu mencari jawapannya. Andainya ia gagal menyelesaikan masalah “rumah mampu tengok” ini, negara berdepan dengan kewujudan satu generasi tanpa rumah (homeless generation), terdiri dari anak-anak kita sendiri. Ia satu gambaran yang mengerikan.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan