Rabu, November 19, 2014

Menuntut 12 janji DAP di P.Pinang?


Mungkin sudah ramai yang terlupa tentang 12 janji pembangkang atau lebih tepat DAP antara 2005 hingga 2008 dalam usaha merampas Pulau Pinang daripada Barisan Nasional (BN). Janji-janji itu dijaja di seluruh negeri ini sebagai gula-gula untuk menarik penduduk negeri ini supaya menyokong mereka. Kini selepas enam tahun berlalu, penduduk Pulau Pinang berhak bertanya apa nasib dan kesudahan janji yang dibuat pembangkang itu? Jika terlupa, ada baiknya jika diingatkan semula sebahagian janji itu untuk penduduk Pulau Pinang sama-sama melihat di mana letaknya nilai janji-janji tersebut pada kerajaan negeri.

Menghapuskan rasuah, proksi dan kronisme

Isu ini dimainkan cukup hebat oleh pembangkang kononnya kerajaan BN di Pulau Pinang bergelumang dengan rasuah. Hari ini adakah Kerajaan DAP Pulau Pinang berani mengakui pentadbiran mereka benar-benar bersih dan bebas daripada unsur-unsur rasuah, menggunakan proksi dan kronisme? Jika begitu, apa penjelasan kerajaan negeri terhadap projek terowong dasar laut bernilai lebih RM60 bilion yang sehingga kini masih mencetuskan misteri berhubung pemberian tendernya? Bukan sahaja penduduk negeri ini yang mempersoalkan mengenai perkara itu, tetapi rakan mereka dalam pembangkang turut tertanya-tanya mengenai ketelusannya.

Mengatasi masalah banjir

Siapa yang dapat melupakan slogan DAP yang berbunyi ‘Masalah banjir 40 tahun dapat diselesaikan dalam sembilan bulan’? Namun malangnya sehingga ke hari ini, masalah banjir tidak juga selesai malah bencana itu turut berlaku di kawasan yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini termasuk di Bayan Baru baru-baru ini. Masalah banjir kilat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) juga semakin kerap meskipun ketika hujan tidak begitu lebat.

Menurunkan harga rumah yang terlalu tinggi

Hakikat harga rumah di negeri ini yang tidak masuk akal kerana terlalu mahal bukan lagi rahsia. Malah, harganya juga sudah mengatasi harga rumah di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan hanya mampu dibeli warga asing.

Memperbanyak pembinaan rumah rakyat

Kerajaan DAP sepatutnya berasa malu dalam isu ini kerana ketika mereka mendakwa kerajaan BN terdahulu tidak banyak membina rumah rakyat, mereka hari ini pula langsung tidak meluluskan satu unit pun rumah rakyat yang mahu dibina Kerajaan Pusat. Malah, usaha Kerajaan Pusat membina rumah mampu milik menerusi JKP Sdn. Bhd. dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) juga seolah-olah sengaja dilengah-lengahkan dan dikenakan pelbagai sekatan.

Mengurangkan kesesakan

Selepas enam tahun, masalah kesesakan nampaknya tidak juga selesai malah semakin buruk. Jalan-jalan dua hala yang ditutup menjadi sehala langsung tidak membantu malah makin menyukarkan penduduk. Bayangkan bagaimana sekiranya projek terowong dasar laut siap kelak yang bakal menyaksikan lebih banyak kenderaan memasuki negeri ini. Penduduk tempatan perlu bersiap sedia kerana mereka bakal terperangkap lebih lama dalam kesesakan.

Mengatasi masalah pencemaran alam sekitar

Bukit Botak atau Bukit Relau adalah contoh terbaik betapa ‘prihatin’nya kerajaan DAP terhadap masalah pencemaran alam sekitar di negeri ini. Bukit itu menghijau ketika era kerajaan BN tetapi hari ini, kegondolannya boleh dilihat sejauh dari atas jambatan Pulau Pinang.

Apa yang disebut di atas itu adalah sebahagian daripada janji DAP itu terhadap penduduk Pulau Pinang sebelum ini. Amat jelas sebahagian besar janji itu bukan sahaja gagal dilunaskan, malah semakin buruk di bawah tampuk pemerintahan mereka. Sebagai rakyat yang memberi kuasa kepada DAP mentadbir negeri ini, penduduk Pulau Pinang berhak mempersoalkan mengapa DAP membelakangkan janji-janji yang pernah dibuat mereka suatu ketika dahulu. Jika keadaan sebegini berterusan, ada baiknya penduduk Pulau Pinang menilai semula pilihan mereka kerana mereka sebenarnya sudah tertipu dan termakan dengan janji-janji palsu selama ini.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan