Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Jumaat, November 21, 2014
Mahu bawa UMNO ke mana?
Setahun berlalu, pertemuan orang Melayu terbesar kembali lagi. Enam puluh lapan tahun berlalu, UMNO masih menjadi rumah kepada orang Melayu dan bumiputera malah terus memayungi pelbagai kaum di negara ini.
Cuma dari tahun ke tahun orang Melayu semakin berasa sesak nafas. Hal yang demikian kerana UMNO menjadi satu-satunya parti siasah tempat bergantung dan berharap. Rumah lain sudah lama tidak peduli hal Melayu. Mempertahan dan memperjuangkan hal berkaitan Melayu bagi mereka tidak lagi sesuatu yang perlu dan dianggap ketingalan zaman malah mudah dilabel rasis. Mahu diharap Pas, parti itu sudah tidak ketahuan arahnya.
PKR dari sejak ditubuhkan tidak lain hanya lebih sibuk mengurus masalah moral ketuanya sehinggakan apa sahaja ‘benda’ asing yang disogok akan diterima. Dan, terlalu naif jika ada sesiapa yang mengharapkan DAP dapat memperjuangkan nasib Melayu. Tiada tanda-tanda, jauh panggang dari api.
Dalam keadaan Melayu, Islam dan institusi raja dihambat dengan ancaman dari segenap penjuru dan pilihan raya umum berbaki tiga tahun lagi, UMNO bertungkus lumus membetulkan rumahnya agar terus relevan dengan tuntutan dan harapan orang Melayu terutama golongan muda.
Sekali lagi perhimpunan kali ini diadakan dalam keadaan orang Melayu masih berpecah belah. Perasaan gusar dan rasa terancam orang Melayu yang menjadi tunjang kepada kemakmuran bernegara yang dinikmati selama ini semakin meluas. Sebab itu pertemuan kali ini lebih kepada ujian tahap mana UMNO mahu mendengar suara orang Melayu selain membetulkan tingkah pemimpin-pemimpinnya yang masih terlihat lebih sibuk menguruskan kepentingan diri sendiri.
Apakah UMNO benar-benar telah berubah? Kunci utama kepada transformasi adalah ketua bahagian. Ketua bahagian yang sentiasa peka dengan persekitarannya, kreatif berinteraksi dengan masyarakat termasuk menawan ahli baharu dan mampu berfikir di luar kotak. Rasanya tidak sukar untuk mengenal pasti ketua bahagian yang bertingkah songsang, hanya bijak mencatur strategi bagi mengukuhkan kedudukannya sedangkan rakyat di persekitarannya tidak dipedulikan.
Orang Melayu kini semakin gusar kerana masa depan yang samar. Apa yang dilakukan belum mencukupi. Bilangan orang Melayu sahaja bertambah tetapi kualiti hidup relatifnya tiada anjakan yang signifikan. Pokoknya, orang Melayu berasa masih tertinggal di negara sendiri.
Menggugat
Orang Melayu melihat pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tambah menggugat kedudukan paksi-paksi asas negara. Ketiadaan akta pencegahan itu telah menyebabkan agama, negara dan bangsa terdedah dengan ancaman. Sebab itu UMNO mengambil langkah yang betul jika kelak menolak saranan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. Siapakah yang bersungguh-sungguh mahukan akta itu dimansuhkan? Mengapa perlu dilayan pembangkang dan kumpulan NGO mereka?
Pembangkang di Malaysia memang aneh. Tidak berbaloi menuruti kemahuan dan desakan mereka. Dulu menentang pembangunan mega, setelah berkuasa lakukan hal sama. Dulu mengecam pengambilalihan syarikat tetapi itulah yang mereka lakukan apabila berkuasa.
Dulu menentang Kidex (Lebuh raya Bertingkat Damansara-Kinrara) kini menyokong projek itu dengan catatan “kita gunakan cara berbeza”. Dulu menghasut rakyat membenci KLIA, Putrajaya dan lebuh raya kini mahu membina terowong dasar laut yang belanjanya juga berbilion ringgit.
Sama juga dulu mengecam IPP (pengeluar tenaga bebas) kerana lubuk mudah mengaut keuntungan tetapi mereka cepat-cepat mengherdik kerajaan apabila mahu mengambilalih IPP. Bagi pakatan pembangkang, tugas mereka hanya semata-mata mahu menunjukkan kerajaan yang ada adalah buruk dan tidak relevan daripada segala sisi. Hal yang sama nescaya akan mereka lakukan kepada Akta Hasutan.
Dalam pada itu, kos sara hidup yang semakin menghimpit rutin harian terutama Melayu bandar selain rasuah dan ketirisan yang berlaku dalam kerajaan perlu diselesaikan segera. UMNO harus diihat mengambil daya usaha membetulkan kepincangan ini.
UMNO harus dilihat sebagai sebuah parti yang sihat. Parti yang sihat seharusnya mempunyai ciri-ciri mudah didekati, inklusif dan kepemimpinan yang berkesinambungan selain khidmat kepada khalayaknya dapat dirasai.
Kesederhanaan kerajaan yang dijadikan alasan kepada pihak-pihak tertentu sesuka hati mengadaptasi nilai-nilai songsang yang menjadi ancaman kepada agama, bangsa dan negara juga perlu ditangani secara bijaksana. Dalam keadaan kerajaan sukar melakukan kawalan berikutan langit sudah terbuka dan dunia tanpa sempadan, UMNO mesti menggunakan segala cara untuk meyakinkan rakyat bahawa parti ini tetap tegar mempertahankan Melayu dan memayungi kaum-kaum lain.
Dalam keadaan kejernihan berfikir dan ketulusan hati dilihat semakin menjauhi sanubari sebahagian pemimpin akar umbi UMNO, parti ini perlu segera mengambil inisiatif menangani kepincangan ketara itu. Sekali lagi kata kuncinya ialah ketua bahagian. Mahu dibawa ke mana UMNO banyak bergantung kepada sikap dan cara berfikir ketua bahagian dalam menanggapi aspirasi dan harapan rakyat.Ketua bahagian jugalah yang perlu bijak menasihati dan membetulkan salah tingkah pemimpin kanan parti.
Yang jelas, koordinasi dan sinergi antara semua peringkat parti perlu diperkemaskan lagi. Jangan ada sikap berasa paling berjasa dan paling berperanan dalam kalangan pemimpin parti kerana mereka kini menghadapi bukan sekadar cabaran tetapi ancaman yang berbeza.
Oleh : Warung Rakyat
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan