Jumaat, November 07, 2014

Kes liwat ll : Majlis Peguam, Suhakam amal dwi standard?


Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) tidak sewajarnya bersikap ‘memilih bulu’ dengan membiarkan sahaja para penyokong Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim mencabar sistem undang-undang dan menggunakan demonstrasi jalan raya untuk mempertahankan Ketua Pembangkang itu.

Kedua-dua institusi tersebut perlu sedar bahawa bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan juga mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan daripada sistem undang-undang di Malaysia tanpa dipengaruhi ugutan demonstrasi para penyokong Ketua Pembangkang itu serta provokasi terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipertanggungjawab menjaga keselamatan mahkamah.

Peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, Majlis Peguam sewajarnya ke hadapan bagi mempertahankan institusi undang-undang di negara ini dan mengecam tidak kira pihak mana pun yang membuat kenyataan menghina dan mengugut mahkamah.

“Sikap dwi standard dan berdiam diri terhadap tindakan pakatan pembangkang ini sangat jelas, saya melihat Majlis Peguam gagal memberi mesej yang betul kepada rakyat mengenai proses keadilan di negara ini,” katanya di sini hari ini.


Perbicaraan kes liwat Anwar dicemari dengan pelbagai provokasi penyokongnya yang cuba merempuh ke Istana Kehakiman, Putrajaya dan terbaru, beberapa pemimpin pembangkang didapati menghina mahkamah selain mengugut mengadakan perhimpunan besar-besaran di Dataran Merdeka sekiranya Anwar didapati bersalah dalam kes liwat itu.

Menurut Khairul Azam, sikap dwi standard Majlis Peguam juga amat ketara apabila sanggup mengetepikan resolusinya melarang bekas hakim dilantik mewakili mana-mana pihak di mahkamah dan memilih berdiam diri sahaja mengenai pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mewakili Anwar.

“Kita juga masih ingat betapa pantasnya Majlis Peguam mengecam tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyaman portal Malaysiakini atas kononnya menyekat kebebasan media tetapi mereka membiarkan sahaja pemimpin-pemimpin pembangkang menyaman media arus perdana yang lain,” katanya.



Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Negeri Sembilan, Ruslan Kasim berkata, kedua-dua pihak Majlis Peguam dan Suhakam perlu bertindak proaktif bagi mengutuk tindakan penyokong Anwar mencetuskan provokasi di Istana Kehakiman kerana dikhuatiri menjejaskan proses keadilan dilaksanakan.

“Kalau keadilan hanya untuk Anwar bagaimana pula keadilan untuk Mohd. Saiful, keadilan perlu diletakkan di tempatnya. Majlis Peguam dan Suhakam tidak boleh berdiam diri sahaja apabila pelbagai provokasi dilakukan penyokong Anwar sehingga mencabar pihak polis di Istana Kehakiman,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Presiden Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong, sikap berdiam diri Suhakam terhadap kes Mohd. Saiful terlalu ketara seolah-olah kes tersebut tidak berprofil tinggi dan tidak melibatkan isu-isu hak asasi manusia.


“Siapa yang benar, siapa yang salah, itu terpulang kepada mahkamah tetapi Suhakam juga perlu tonjol ke hadapan supaya kes ini tidak dilihat berat sebelah dan mereka juga perlu mengeluarkan pendirian mengutuk mana-mana pihak yang mencetuskan provokasi serta cuba mengganggu proses mahkamah,” katanya.

Jelas beliau, sekiranya kes mendiang Teoh Beng Hock boleh diberikan perhatian oleh Suhakam, kes antara Anwar dengan Mohd. Saiful itu juga perlu diberikan tumpuan sewajarnya agar keadilan dapat ditegakkan dan tidak dicemari penyokong pembangkang yang hanya mahu melakukan demonstrasi.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan