Selasa, Oktober 28, 2014

PKR terus didesak jelaskan 
isu Azmin melobi jadi MB Selangor?


Pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus didesak memberi penjelasan kenapa tiada tindakan diambil ke atas Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali yang didakwa melobi diri sendiri menjadi Menteri Besar Selangor ketika parti memutuskan memilih Presiden, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bagi mengisi jawatan itu.

Naib Ketua PKR Cabang Lembah Pantai, Johari Musa berkata, pimpinan tertinggi PKR seolah-olah menyembunyikan perkara itu sedangkan Mohamed Azmin melanggar disiplin parti, justeru beliau sepatutnya dipecat atau sekurang-kurangnya dihukum.

Johari mendakwa, ketika krisis jawatan Menteri Besar Selangor masih belum selesai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu memberi arahan supaya lima wakil rakyat PKR di Selangor menandatangani akuan bersumpah yang dihantar kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membolehkan baginda melantik beliau menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Lima wakil rakyat ini sebenarnya sebelum itu telah menandatangani akuan bersumpah sebagai sokongan kepada Wan Azizah sebelum menerima arahan dan mengeluarkan dokumen lain yang menyokong Mohamed Azmin.

“Ini jelas memperlihatkan bahawa Mohamed Azmin telah banyak menyeleweng dan mengkhianati parti tetapi kenapa sampai hari ini masih tiada tindakan, malah pimpinan tertinggi cuba menyembunyikan perkara sebenar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Johari yang juga Ketua Biro Agama PKR Parlimen Lembah Pantai berkata, perkara tersebut ditimbulkan ekoran tindakan PKR yang memecat Abdul Khalid daripada parti itu pada Ogos lalu atas alasan melanggar disiplin.

Tegasnya, sekiranya Lembaga Disiplin PKR betul-betul telus, tindakan yang sama sepatutnya turut diambil terhadap Mohamed Azmin namun sehingga hari ini, pimpinan parti hanya berdiam diri.

Tambah Johari, apa yang berlaku kini, imej parti semakin tercalar disebabkan kegagalan memberi penjelasan kukuh mengenai sebab-sebab pemecatan Abdul Khalid yang diketahui menjalankan tanggungjawab beliau mentadbir Selangor dengan baik.

“Kalau dijelaskan kedua-dua perkara ini, siapa sebenarnya yang mengkhianati parti sedangkan pemecatan Abdul Khalid tidak langsung berkaitan dengan perbuatan khianat atau membelakangi usul parti.

“Oleh yang demikian, kami mahu parti memberi penjelasan tentang pemecatan itu kerana sehingga hari ini tiada langsung pertuduhan serta bukti yang dapat dikaitkan dengan pemimpin berkenaan,” jelasnya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan