Sabtu, Oktober 18, 2014

Harga rumah terus meningkat, mampukah kita?


Harga rumah kini semakin 'menggila'. Di manakah silapnya? Rata-rata pakar ekonomi menyatakan spekulasi yang mendorong dan menjadi punca kenaikan harga ini. Apa pula peranan pemaju dan kerajaan?

Rakyat pula terus dimomokkan oleh pemaju yang kononnya "lagi tunggu, lagi harga naik."

Akibat harga rumah yang semakin 'lumayan' (di mata pemaju), pemaju berlumba-lumba mencari tanah untuk membina projek perumahan.

Kepadatan Kuala Lumpur dengan ruang yang semakin terhad dan padat, mendorong pemaju menukar arah ke kawasan Bangi, Dengkil, Putrajaya, Cyberjaya, Nilai dan Seremban. Kawasan-kawasan ini kini menjadi lubuk emas kepada pemaju perumahan.

Lebih menyedihkan, kehijauan hutan dan kemegahan pokok kelapa sawit semakin lenyap dari pandangan. Manakan tidak, berniaga rumah lebih menguntungkan daripada komoditi sawit.

Bayangkan dengan terjualnya 2 unit rumah sahaja sudah mencecah jutaan ringgit. Bayangkan sekiranya 1,000 unit rumah berjaya dijual.

Putrajaya, yang sepatutnya sebagai "payung berteduh" kakitangan awam dengan megah dan selambanya kini sudah mula mengiklankan rumah teres mencecah harga jutaan ringgit.

Hanya mereka yang berpendapatan puluhan ribu ringgit sebulan sahaja yang mampu. Siapa yang mampu? Kakitangan awam sudah pasti hanya mampu memandang.

Akibat trend rumah jutaan ringgit kini satu fenomena 'biasa' maka rumah yang berharga RM600,000 hingga RM800,000 kini menjadi 'sangat biasa'. Persoalan yang sama, siapakah yang mampu? Penulis yakin majoriti rakyat tidak mampu.

Namun bagi mereka yang tiada pilihan, suami dan isteri terpaksa membuat pinjaman bersama bagi memastikan mencapai kelayakan pinjaman.

Malangnya, mereka masih perlu menokok dengan membuat pinjaman peribadi daripada institusi perbankan terutama untuk membayar bayaran muka 10%.

Akhirnya, hampir 70% (bayaran balik pinjaman perumahan + bayaran balik pinjaman peribadi) gaji terpaksa dikorbankan kerana membeli rumah.


Bagaimana pula dengan kos sekolah anak? Belanja dapur? Makan minum? Bayaran kenderaan? Perbelanjaan harian dan berbagai-bagai perbelanjaan lain yang terpaksa dikawal dengan seketat-ketatnya.

Sia-sialah kerajaan berjuang untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju dengan melahirkan rakyat berpendapatan tinggi tetapi hakikatnya rakyat pada masa yang sama 'dimiskinkan' oleh harga rumah yang melampau.

Fenomena harga rumah yang melampau ini juga mengakibatkan kuasa beli rakyat menyusut. Manakan tidak, baki gaji bulanan setelah potongan rumah dibuat hanya mampu menyara benda yang wajib sahaja.

Penulis tidak dapat bayangkan sekiranya suatu hari nanti ekonomi dunia dan negara terjejas (minta dijauhi Allah S.W.T) berapa ramai yang akan sengsara sekiranya rumah mereka dilelong akibat tidak lagi mampu membayar bayaran bulanan bank yang tinggi.

Penulis bukan seorang pakar ekonomi. Namun demikian, saya mendapati harga rumah pada masa sekarang adalah over priced dan seolah-oleh berlaku spekulasi yang terancang.

Namun apa pun, tidak kira akibat spekulasi atau permintaan, kerajaan dan pemaju harus berunding dan berbincang untuk menurunkan harga rumah.

Tiada pilihan lain. Kepada pemaju janganlah terlalu rakus mengejar keuntungan. Kepada pentadbiran Putrajaya pula, kajilah semula peranan anda.

Jangan terlalu ghairah menjual rumah jutaan ringgit. Anda mampu mengubahkannya. Penulis tidak dapat bayangkan berapa harga rumah yang bakal dihadapi oleh anak cucu kita 5 hingga 10 tahun akan datang.

Mungkin pada masa itu, rumah hanya mampu disewa untuk selamanya bukan lagi untuk dimiliki. Wallahuallam.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan