Isnin, September 01, 2014

( Video Guan Eng cabar KPN di dalam ) Polis tahan 154 anggota PPS ?

Sebahagian daripada 250 peserta Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang yang ditahan ketika menyertai perarakan Hari Kemerdekaan peringkat Pulau Pinang di Padang Kota Lama, Pulau Pinang, semalam.



Sebahagian daripada 250 peserta Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang yang ditahan ketika menyertai perarakan Hari Kemerdekaan peringkat Pulau Pinang di Padang Kota Lama, Pulau Pinang, semalam.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyahut cabaran Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berfikir semasak-masaknya sebelum mengambil tindakan terhadap Pasukan Peronda Sukarela (PPS) dengan penahanan 154 anggota PPS, hari ini.



Kesemua ahli PPS yang berusia antara 20 dan 40 tahun termasuk tujuh wanita itu ditahan selepas mereka berarak dengan menampilkan diri sebagai pasukan PPS lengkap memakai jaket keselamatan dalam perbarisan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 peringkat negeri di Padang Kota Lama di sini, kira-kira pukul 10.15 pagi.

Tindakan pasukan itu sekali gus dilihat seolah-olah sengaja mencabar kenyataan Khalid yang sebelum ini menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap ahli-ahli PPS sekiranya pasukan terbabit tetap meneruskan aktiviti mereka.


Sebaik sahaja ditahan, kesemua ahli PPS terlibat dibawa ke Balai Polis Lebuh Pantai sebelum dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di Jalan Datuk Keramat dekat sini, dengan menaiki trak Black Maria, bas sekolah dan van untuk diambil keterangan.


Difahamkan, semua ahli PPS itu akan ditahan di lokap IPD Timur Laut sehingga esok bagi membantu siasatan sebelum perintah reman dikenakan terhadap mereka.

Khalid ketika dihubungi Bernama hari ini berkata, kesemua anggota PPS itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan kerana tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuan (ROS).

"Polis mula mengambil tindakan (menahan) terhadap anggota PPS selepas mereka tetap menjalankan aktiviti sedangkan sebelum ini saya telah beri amaran. Pertubuhan itu telah diharamkan dan semua aktiviti perlu dihentikan segera.

"Mereka degil (jalankan aktiviti) dan seperti sengaja nak cabar undang-undang negara serta gertak polis supaya ambil tindakan jika (polis) berani. Kita ambil tindakan kerana mereka salah, ini (tindakan PPS teruskan aktiviti) memang perbuatan gengster," katanya.

Khalid berkata, sepatutnya PPS menggantung semua aktiviti dan menulis surat kepada ROS untuk minta penjelasan serta menggunakan saluran undang-undang yang ada dan bukan meneruskan aktiviti seperti hari ini.


Katanya, polis bertindak mengikut undang-undang dan akan menjalankan siasatan serta merujuk kes berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan.

"Dalam tempoh 24 jam ini, memang mereka tidak dibenarkan bertemu sesiapa termasuk peguam kerana polis sedang menjalankan siasatan dan kita bimbang ia akan mengganggu siasatan, jadi kepada barisan peguam anggota PPS yang tidak berpuas hati itu (tidak dibenarkan bertemu anggota PPS yang ditahan) saya minta mereka rujuk semula buku undang-undang.

"Jika polis tidak dapat selesaikan siasatan dalam tempoh 24 jam ini, kemungkinan kami akan meminta perintah reman terhadap mereka yang ditahan itu daripada mahkamah pagi esok untuk melengkapkan siasatan, semasa dalam tahanan reman itu peguam boleh bertemu anak guam mereka," katanya.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid mengesahkan penahanan semua ahli PPS terbabit dan memberitahu, penahanan tersebut dibuat berdasarkan kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Antara yang ditahan ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh bagi membantu siasatan berhubung penubuhan PPS.

Boon Poh yang juga Pengerusi PPS ditahan ketika hadir memberi keterangan di IPD Timur Laut pada pukul 4.15 petang.

Sementara itu, polis turut memanggil Guan Eng untuk memberi keterangan berhubung perkara serupa.

Difahamkan, kesemua ahli PPS wanita dan yang berusia 60 tahun ke atas yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis sejurus selepas keterangan mereka diambil.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan