Anwar Ibrahim bersama Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada sidang akhbar bagi mengumumkan pengutusan surat permohonan untuknya dan isteri yang juga Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail menghadap Sultan Selangor di sebuah hotel di Subang, malam semalam. Sultan Selangor bagaimanapun tidak memperkenankan permintaan itu.
Sudah pelbagai analisis dibuat melibatkan krisis politik di Selangor. Namun, persoalan yang masih gagal dijawab oleh sekutu-sekutu rapat Anwar Ibrahim adalah mengapa hanya isterinya sahaja yang layak diangkat menjadi Menteri Besar (MB) Selangor?
Tindakan ini juga dilihat membelakangkan Deklarasi Permatang Pauh yang mahukan nepotisme dihancurkan daripada politik negara ini.
Kini setiap tindakan dilihat terlalu terdesak dan terburu-buru seolah-olah terdapat satu agenda rahsia yang mahu direalisasikannya. Dan jelas kelihatan buat masa ini hanya DAP menyokong penuh setiap langkah Anwar untuk menggapai agenda rahsianya itu.
Percaturan politik Anwar ini memang adakalanya terlalu bijak namun percaturannya kali ini hanya menimbulkan pelbagai teori konspirasi.
Andai kata isterinya, Wan Azizah memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri Selangor, secara langsung Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) akan berada di bawah kawalan Wan Azizah atau dalam erti kata lain akan berada di bawah kawalan Anwar. Apa istimewanya MBI ini?
Tentunya keistimewaan MBI ini adalah terletak pada dana yang bernilai ratusan bilion ringgit.
Langkah Kajang merupakan perintis kepada segala kekusutan ini. Sebaik sahaja Wan Azizah menjadi menteri besar kelak, sekutu-sekutu rapat Anwar Ibrahim akan mula mengatur strategi untuk 'memujuk' ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
Dalam konteks ini, Anwar hanya memerlukan sekitar 30 orang ahli Parlimen daripada BN untuk lompat dan menyertainya.
Namun, Perdana Menteri dan BN khasnya tentulah tidak sebodoh itu untuk membiarkan semua ini terjadi.
Maka, strategi BN pula adalah untuk terus menyokong penuh pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang kini dituduh derhaka dan layak ke neraka oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sendiri.
Media pro-BN turut memberikan sokongan penuh kepada Abdul Khalid. Propaganda ini menimbulkan sentimen simpati kepada MB dan menambah kebencian kepada Anwar.
Permainan sentimen ini amat penting kerana bakal menjadi senjata kuat sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.
Potensi untuk BN merampas kembali Selangor juga tinggi apabila Datuk Seri Najib Tun Razak kini kelihatan lebih berkredibiliti selepas kejayaannya memujuk pemberontak puak pro-Rusia untuk menyerahkan kotak hitam MH17.
Pada masa yang sama, kredibiliti Anwar pula merudum ekoran kegilaannya untuk menjadi raja nepotisme.
Jika Abdul Khalid mengundur diri lalu memberikan laluan kepada Wan Azizah untuk menjadi MB, maka keseluruhan masa depan rakyat Selangor dipertaruhkan untuk memastikan Langkah Kajang ini dicapai.
Persoalan terakhir mengapa Anwar perlu lakukan semua ini? Adakah kerana panggilan penjara Sungai Buloh semakin dekat?
Justeru adakah dengan itu beliau terdorong untuk melancarkan gerak 'Langkah Kajang' dengan menjadikan Selangor sebagai premis dan platform untuk mencapai hala tuju dan matlamat akhirnya yang satu iaitu untuk ke Putrajaya?
Langkah yang bakal merealisasikan impian 16 September yang dicetuskan oleh Anwar sendiri. Maka jelaslah mengapa dari awal-awal lagi pucuk pimpinan Pas membangkang langkah Anwar ini.
Ini soal amanah rakyat. Ini soal integriti.
Apabila Abdul Khalid enggan bersuhabat dengan Anwar, serangan moral dilancarkan oleh 'pakar' strategi PKR, Rafizi Ramli.
Realitinya, Abdul Khalid hanya menjadi kambing hitam kepada keseluruhan wayang kulit yang didalangi oleh Anwar ini. -UMO
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan