Isnin, Julai 28, 2014

#MH17 : Tamparan buat Eropah?


Kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berunding dengan puak pemisah Ukraine menjadi tumpuan antarabangsa sehingga menjadi artikel yang paling banyak dibaca dalam laman berita antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ).

Berita bertajuk ‘Malaysia’s Risky Talks With Rebels in Ukraine Paid Off’ berada pada kedudukan pertama dalam senarai berita di laman web http://online.wsj.com kelmarin sekali gus mencetus imej positif terhadap usaha Malaysia dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.

Artikel berkenaan mengupas mengenai risiko berani yang diambil oleh Najib untuk berunding dengan puak pemberontak memandangkan tiada negara Eropah lain yang sanggup melakukannya.

"Najib yang telah memelihara pendirian tradisi Malaysia tidak menyebelahi mana-mana pihak termasuk Amerika Syarikat (AS), Rusia dan China dengan dia telah bergerak menelefon pemimpin-pemimpin dunia.

"Tetapi, Najib yang dikenali sebagai seorang yang tenang dan perunding pragmatik secara senyap mencari saluran untuk bercakap dengan puak pemberontak dan berjaya berhubung dengan Alexander Borodai," katanya.

Najib yang bercakap dengan Borodai sekurang-kurangnya dua kali melalui telefon secara jelas menyatakan matlamat Malaysia iaitu mendapatkan mayat, kotak hitam pesawat serta akses ke tapak kejadian untuk siasatan.

Artikel berkenaan mengupas mengenai pendirian negara-negara Eropah tidak berunding dengan puak pemisah itu kerana tidak mahu mengiktiraf pergerakan Republik Donetsk, namun Malaysia mengenepikan segala birokrasi bagi memberi pembelaan kepada mangsa tragedi itu sekali gus mencari kebenaran.

Sementara itu, dalam ruangan komen pada artikel tersebut, seorang pembaca, Domingo Trassens menyatakan, kejayaan mendapatkan mayat dan kotak hitam daripada puak pemberontak itu telah mengubah imej negatif yang terpaksa diterima Malaysia akibat nahas pesawat itu.

"Kejayaan Malaysia telah menutup mulut banyak pemimpin-pemimpin Barat yang hanya banyak bercakap tetapi hasilnya tiada," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pembaca, Don Brazier menyatakan kejayaan tidak boleh dicapai tanpa risiko dan negara-negara Eropah wajar mencontohi Malaysia yang sanggup mengenepikan protokol diplomatik dan ancaman keselamatan bagi menangani tragedi udara itu.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan