Selasa, Jun 03, 2014

Pengebom berani mati warga Malaysia?

Rakan Ahmad Tarmimi Maliki melihat gambar pemuda itu ketika mereka menjalani latihan ala ketenteraan di Port Dickson, Negeri Sembilan, tahun lalu.

Ahmad Tarmimi Maliki, 26, adalah seorang pekerja kilang biasa di Selangor tetapi di luar rutin aktiviti hariannya, dia rupa-rupanya telah direkrut sebagai pengebom berani mati.

Tanpa diketahui oleh keluarga dekatnya di Pahang, dia yang diberi nama Abu Ahmad Al-Malizzi telah menjadi pengebom berani mati dalam serangan di Ibu Pejabat Skuad Emas Pasukan Taktik dan Senjata Khas (SWAT) di daerah Al-Anbar, Iraq pada 26 Mei lalu.

Ahmad Tarmimi yang dikesan pernah mengikuti latihan ala ketenteraan sebuah kumpulan militan di Port Dickson akhir tahun lalu meletupkan dirinya bersama sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) tentera jenis Hummers sarat membawa beberapa tan bahan letupan sebelum disusuli serangan hendap oleh pasukan tentera kumpulan militan Daulah Islamiah Iraq dan Sham (ISIS).

Serangan itu dikatakan telah membunuh 25 anggota Skuad Emas SWAT di bangunan berkenaan.

Berita tentang serangan itu disiarkan di dalam media rasmi ISIS dengan tajuk utama Mujahidin Malaysia Syahid Dalam Operasi Martyrdom yang disertakan gambar Ahmad Tarmimi.

Dalam laporan itu turut dinyatakan pasukan ISIS merampas sejumlah besar senjata api termasuk raifal, mesingan ringan dan peluru.

Ahmad Tarmimi dipercayai menjadi rakyat Malaysia pertama terbunuh sebagai pengebom berani mati kerana sebelum ini terdapat beberapa kematian rakyat negara ini di luar negara dalam peperangan di Syria tetapi bukan sebagai pengebom berani mati,

Dalam pertemuan eksklusif Utusan Malaysia dengan Halimah, 34, kakak kepada Ahmad Tarmimi memberitahu, keluarganya mengetahui berita tentang adiknya itu melalui Facebook yang dikongsi oleh rakannya beberapa hari selepas kejadian.

Katanya, dia dan seluruh ahli keluarga sangat terkejut kerana kali terakhir berjumpa Ahmad Tarmimi di kampung pada Mac lalu, adiknya itu hanya memaklumkan akan ke Asia Barat untuk mendalami ilmu agama.

"Selama ini pun dia yang bekerja di sebuah kilang dan menetap di Selangor sejak 2012, tidak pernah bersikap luar biasa apabila pulang ke kampung kecuali menjadi lebih warak, suka menyendiri dan berahsia.

"Keluarga juga tidak tahu tentang penglibatan Ahmad Tarmimi di dalam mana-mana pertubuhan yang mempunyai kaitan dengan anasir pengganas.

"Malah kami pada mulanya tidak percaya dengan berita kematiannya di internet sehinggalah pihak polis datang ke rumah (semalam) dan memaklumkan perkara berkenaan. Hancur luluh hati kami apabila mendengar berita itu," katanya sebak.

Kata Halimah, berikutan itu mereka sekeluarga telah membuat bacaan tahlil ringkas semalam,

Suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Rozman, 38, pula memberitahu, dia dan keluarga kini bimbang sekiranya kejadian itu boleh mengancam keselamatan keluarga khususnya anaknya yang berusia tujuh tahun.

Menurutnya, dia memelihara Ahmad Tarmimi sejak berusia sembilan tahun selepas kematian ibu mentuanya manakala bapa mentuanya meninggal dunia tiga tahun sebelum itu.

Dalam pada itu, seorang bekas tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang ditangkap dalam operasi polis baru-baru ini dan telah dibebaskan beberapa hari lepas mengesahkan Ahmad Tarmimi adalah salah seorang ahli kumpulannya yang pernah mengikuti latihan ala ketenteraan bersamanya serta sembilan yang lain di Port Dickson akhir tahun lalu.

Dia yang enggan dikenali berkata, pemergian Ahmad Tarmimi ke Syria melalui Turki diketahuinya melalui Facebook.

"Selepas beberapa hari saya gagal berkomunikasi dengan dia sehinggalah mengetahui tentang kematiannya selepas saya dibebaskan.

"Saya terkejut kerana tidak menyangka dia sanggup mengorbankan nyawanya dengan menjadi pengebom berani mati," katanya ketika ditemui di ibu negara, hari ini.-UMO

Suara Politik
Belantan


Tiada ulasan:

Catat Ulasan