Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Rabu, Mei 28, 2014
Al-Fatihah...Sultan Perak, DYMM Sultan Azlan Shah Mangkat.
Sultan Perak, DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah, 86, mangkat pada jam 1.30 tengah hari Rabu dan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar, Khamis.Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Februari 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.
“Penghormatan terakhir oleh pembesar-pembesar negeri akan dilakukan pada pukul 9 pagi Khamis, manakala bagi orang ramai pula antara pukul 11 pagi hingga 2 petang.
“Seterusnya, sultan-sultan, raja-raja dan pembesar negara asing boleh memberi penghormatan terakhir mulai pukul 2 petang hingga 3 petang,” katanya menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 3.45 petang Rabu.
Bagi menghormati istiadat pemakaman Almarhum baginda, Zambry berkata, kerajaan negeri Perak mengisytiharkan Khamis sebagai cuti umum di negeri berkenaan.
Beliau berkata, sepanjang tempoh berkabung selama 100 hari, bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang bermula petang Rabu, manakala bendera Malaysia pula dikibarkan separuh tiang selama tujuh hari.
“Sepanjang tempoh perkabungan tujuh hari tersebut, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan adalah dibatalkan,” katanya.
Zambry berkata, sesungguhnya seluruh rakyat di negeri Perak merasai kehilangan sultan yang dikasihi dan berjiwa rakyat.
“Saya Dr Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan mewakili seluruh rakyat jelata negeri Perak Darul Ridzuan merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah di kalangan para Anbiya, Syuhada dan Solihin,” katanya dengan sebak.
Baginda meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang putera, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012.
Suara Politik
Belantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan